Tuesday, February 24, 2009

Keputusan Pertandingan Mencipta Logo PPTI

Panel Penilai Pertandingan Mencipta Logo PPTI telah mengadakan mesyuarat bagi pemilihan logo PPTI pada 19 Februari 2009. Sebanyak 16 penyertaan telah diterima daripada ahli. Logo yang terpilih akan menjadi logo rasmi persatuan. Pemenang Tempat Pertama dan Dua Pemenang Saguhati telah dikenalpasti dan akan dihubungi oleh Setiausaha untuk hadir di majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Penerangan mengenai logo:
1. Warna Hijau melambangkan persekitaran yang kehijauan dan nyaman.
2. Warna Biru Cair melambangkan bulatan bumi yang aman.
3. Warna Biru Gelap melambangkan keceriaan, perpaduan dan setiakawan.
4. Warna Kuning melambangkan kedaulatan.
5. Warna Merah melambangkan ketegasan dan bersatupadu dalam membanteras jenayah.
6. Gambar Orang membawa maksud semangat kekeluargaan penduduk.
7. Gambar Rumah membawa maksud suasana kediaman yang selesa.
8. Moto logo "Kejiranan Membawa Berkat".

Pelancaran Logo Dan Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan akan dilakukan oleh Tuan Haji Mohd Jamal Bin Awang (Ahli Majlis Bandar Baru Salak Tinggi) semasa perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-2 PPTI.

Tahniah diucapkan kepada pemenang dan terima kasih juga diucapkan kepada ahli yang telah mengambil bahagian menyertai pertandingan ini. Keputusan panel penilai adalah muktamad.

Sunday, February 22, 2009

Program Gotong Royong Cegah Denggi Taman Ixora


Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Program Gotong Royong Cegah Denggi Taman Ixora pada tarikh dan tempat seperti berikut:-

Tarikh : 22 Feb 2009 (Ahad)
Masa : 8.30 Pagi hingga 12.00 Tengahari
Tempat Berkumpul : Taman Permainan Kanak-kanak Jalan Ixora 1/9

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Bandar Baru Salak Tinggi, Puan Rohaya Binti Mohd Shahir. Tuan Haji Mohd Jamal Bin Awang turut hadir bersama-sama penduduk menyertai program gotong-royong ini. Sambutan dan penyertaan penduduk Taman Ixora amat menggalakkan. InsyaAllah program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan menjadi aktiviti tahunan penduduk Taman Ixora.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma


Pemeriksaan kesihatan percuma telah diadakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sepang semasa Program Gotong-Royong Cegah Denggi Taman Ixora pada:-

Tarikh : 22 Februari 2009 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi hingga 12.00 Tengahari
Tempat : Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan 1/9

Seramai 73 orang penduduk telah melakukan pemeriksaan kesihatan. Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang yang telah memberikan kerjasama mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk Taman Ixora. Semoga kerjasama yang diberikan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Saturday, February 21, 2009

Majlis Penyerahan Sumbangan Derma Kilat Kematian Keluarga Ahli Persatuan


Pada hari Sabtu, 21 Januari 2009 jam 10.00 malam, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi, Timb. Pengerusi, Setiausaha, Pen. Setiausaha, Bendahari dan dua orang ahli jawatankuasa telah mengunjungi rumah En. A. Rahman Bin Che Din di No. 16, Jalan Ixora 1/5 untuk menyerahkan hasil kutipan sumbangan derma kilat daripada ahli-ahli persatuan. Kutipan yang dibuat adalah untuk kematian anak lelaki sulung beliau. Jumlah sumbangan yang dikutip daripada ahli-ahli persatuan adalah sebanyak RM215.00 dan sumbangan daripada tabung persatuan sebanyak RM50.00. Semoga sumbangan ikhlas yang diberikan ini dapat membantu meringankan beliau dan keluarga.

Sumbangan Persatuan Bagi Kelahiran Cahaya Mata


Pada hari Sabtu, 21 Februari 2009 jam 3.30 petang, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari telah berkunjung ke rumah En. Mohd Fadzli Bin Amat di No. 96, Jalan Ixora 1/1 untuk mengucapkan tahniah di atas kelahiran cahayamata ketiga beliau. Isteri beliau telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Assunta Petaling Jaya pada 9 Februari 2009. Bayi berkenaan diberi nama Azrief Mifzal.
Semua ahli persatuan mendoakan semoga anak yang dilahirkan dikurniakan kesihatan yang baik dan menjadi anak yang soleh. Amin.

Friday, February 20, 2009

Majlis Bacaan Yasin Dan Tazkirah Kaum Ibu


Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin Dan Tazkirah Kaum Ibu pada:-

Tarikh : 21 Februari 2009 (Sabtu)
Masa : 2.30 Petang
Tempat : Taska Permata Ixora, Jalan Ixora 1/2

Majlis berkenaan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara semua kaum ibu di Taman Ixora disamping dapat berbincang aktiviti-aktiviti yang dapat dilaksanakan bagi manfaat bersama. Majlis berkenaan telah dihadiri oleh 23 orang kaum ibu dan ucapan perasmian telah disampaikan oleh Pengerusi PPTI. Semua kaum ibu sepakat untuk mengadakan majlis berkenaan setiap dua minggu sekali untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama muslim.

Sunday, February 15, 2009

Sumbangan Persatuan Bagi Ahli Yang Ditimpa Musibah


Pada hari Ahad, 15 Februari 2009 jam 3.30 petang, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi, Timb. Pengerusi, Setiausaha dan dua orang ahli jawatankuasa telah berkunjung ke rumah En. Azhar Bin Ismail di No. 3, Jalan Ixora 1/5 untuk bertanya khabar mengenai musibah yang menimpa beliau. Rumah beliau telah dimasuki oleh 4 orang perompak warganegara Indonesia pada 5 Januari 2009 jam 4.00 pagi.

Beliau telah membuat laporan polis dengan anggaran kerugian sebanyak RM5,000.00. Keluarga beliau masih lagi trauma mengingati kejadian berkenaan di mana anak beliau telah diacukan dengan senjata tajam dan tangan beliau telah diikat dengan tali.

Semua ahli persatuan mendoakan semoga beliau bersabar dengan musibah yang menimpa sesungguhnya setiap musibah itu ada hikmah disebaliknya. Persatuan telah memberikan sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM50.00 kepada beliau dan berharap semoga kunjungan ikhlas ke rumah beliau dapat merapatkan lagi ukhuwah dikalangan ahli persatuan.

Saturday, February 14, 2009

Taklimat Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora

Taklimat penubuhan kawasan rukun tetangga di Taman Ixora telah diadakan pada 14 Februari 2009 (Sabtu) jam 9.00 malam bertempat di Dewan Besar Masjid Sultan Hishamudin, BB Salak Tinggi.

Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Perpaduan Kanan Daerah Sepang (En. Musa Bin Osman). Seramai 43 orang penduduk telah hadir mendengar taklimat berkenaan. Semua penduduk yang hadir telah bersetuju untuk mewujudkan kawasan rukun tetangga di Taman Ixora.

Buat permulaan diperingkat penajaan, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora (PPTI) akan diserapkan sebagai Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora semasa mengemukakan permohonan. Pegawai berkenaan menjelaskan ini adalah untuk memudahkan proses kelulusan. Dalam tempoh sebulan selepas permohonan diluluskan Jawatankuasa hendaklah mengadakan Mesyuarat Khas untuk membuat pelantikan Jawatankuasa Tetap
Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat setiap 2 bulan sekali dan dihadiri oleh 1/3 ahli Jawatankuasa. Skim rondaan sukarela (SRS) boleh diwujudkan selepas rukun tetangga telah diluluskan oleh Jabatan Perpaduan. Pegawai berkenaan memaklumkan proses permohonan akan mengambil masa selama 6 bulan untuk diluluskan.

Kawasan rukun tetangga akan diberikan peruntukan kewangan sebnayak RM4,800 setahun untuk urusan pentadbiran dan menjalankan aktiviti. Peruntukan tambahan boleh dimohon dengan mengemukakan kertas kerja aktiviti yang akan dilaksanakan. Diantara jenis aktiviti yang boleh dijalankan adalah melalui biro sosial, pendidikan, kebudayaan, sukan, kesihatan, agama, pendidikan dan keselamatan.

Sesi taklimat berakhir jam 11.00 malam.

Sumbangan Persatuan Bagi Kemasukan ke Hospital


Pada hari Sabtu, 14 Februari 2009 jam 6.30 petang, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, Pen. Setiausaha dan seorang ahli telah berkunjung ke rumah En. Zuhairi Bin Haji Amin di No. 22, Jalan Ixora 1/1 untuk bertanya khabar mengenai kesihatan beliau. Beliau telah dimasukkan ke KPJ Healthcare Seremban pada 31 Januari 2009 sehingga 2 Februari 2009 kerana rawatan pinggang dan belakang badan. Dimaklumkan ini mungkin disebabkan oleh tugas beliau sebagai mekanik kapal terbang yang bertugas membaikpulih dan mengangkat peralatan kapal terbang yang berat.

Alhamdulillah beliau telah beransur pulih selepas menjalani pembedahan berkenaan dan memaklumkan doktor telah memberikan cuti rehat selama dua minggu. Semua ahli persatuan mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.
Persatuan telah memberikan sumbangan berbentuk hamper kepada beliau dan berharap semoga kunjungan ikhlas ke rumah beliau dapat merapatkan lagi ukhuwah dikalangan ahli persatuan.

Friday, February 13, 2009

Ucapan Takziah Kepada En. MOHD ZAN BIN ABDUL RAHMAN

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...

Dukacita dimaklumkan bahawa ibu kepada Encik MOHD ZAN BIN ABDUL RAHMAN (No. 4, Jalan Ixora 1/5) telah kembali ke rahmatullah pada tengahari 13 Februari 2009(Jumaat). Sehubungan dengan itu persatuan mengucapkan takziah kepada beliau dan mendoakan supaya roh ibu beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah.

Takziah buat Encik MOHD ZAN BIN ABDUL RAHMAN sekeluarga ...

Al-Fatihah.

Thursday, February 12, 2009

Dialog Wakil Persatuan Penduduk Bersama Timbalan Yang DiPertua MPSp

Pada 12 Februari 2009 (Khamis) jam 3.15 petang, Timbalan Yang DiPertua (Abdul Razak Bin Jaafar) bersama beberapa orang pegawai kanan Majlis Perbandaran Sepang telah mengadakan sesi dialog bersama wakil Persatuan Penduduk Taman Ixora Bandar Baru Salak Tinggi bertempat di Bilik Melur, MPSp untuk membincangkan beberapa isu yang melibatkan Taman Ixora.

Diantara isu yang dibincangkan dan dipersetujui ialah:-
1. Kemudahan Dewan Serbaguna di Taman Ixora - TYDP memaklumkan 0.5 ekar tanah untuk tapak pembinaan dewan serbaguna, 0.5 ekar tanah untuk tapak pembinaan surau dan 0.24 ekar tanah untuk tapak pembinaan tadika telah diperuntukkan oleh pemaju di Taman Ixora. MPSp akan memohon peruntukan daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan untuk pembinaan dewan serbaguna di Taman Ixora pada tahun 2010.
2. Pembinaan bonggol - TYDP memaklumkan sebanyak 7 bonggol telah diluluskan untuk dibina di persekitaran Taman Ixora. Pembinaan bonggol berkenaan akan dimulakan penghujung bulan Mac 2009.
3. Tiada pagar diantara longkang dalam di Taman Permainan Kanak-kanak Jalan 1/9 - TYDP memaklumkan satu sesi lawatan akan dilakukan oleh pegawai MPSp untuk pengesahan perkara berkenaan.
4. Kemudahan telefon awam - TYDP memaklumkan persatuan hendaklah membuat permohonan dengan pihak Telekom Malaysia untuk menyediakan kemudahan berkenaan. Pihak Telekom akan merujuk kepada MPSp untuk pemasangan telefon awam berkenaan.
5. Pengurangan cukai pintu - TYDP memaklumkan MPSp akan memberikan maklumbalas bertulis mengenai perkara berkenaan kepada penduduk dan persatuan.
6. Penyelenggaraan lanskap - TYDP memaklumkan Bahagian Lanskap akan melakukan lawatan dan mengenalpasti pokok yang akan dicantas bersama wakil penduduk.
7. Kutipan sampah - TYDP memaklumkan kontraktor yang baru telah dilantik (Alam Flora) untuk memungut sampah di Taman Ixora. Terdapat perubahan jadual dan masih belum diuruskan dengan baik oleh kontraktor.
8. Papan kenyataan berkunci - TYDP memaklumkan permohonan berkenaan telah diluluskan oleh YDP dan penduduk hendaklah mengenalpasti lokasi pemasangan dan berhubung dengan pejabat Ahli Majlis untuk di bawa ke Mesyuarat JPP.
9. Surat-menyurat - TYDP memaklumkan semua surat-menyurat yang diajukan kepada MPSp akan diberikan jawapan secara betulis.

Saturday, February 7, 2009

Sumbangan Persatuan Bagi Kemasukan ke Hospital


Pada hari Sabtu, 7 Februari 2009 jam 5.30 petang, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi, Timb. Pengerusi, Setiausaha, Pen. Setiausaha, Bendahari dan seorang AJK telah berkunjung ke rumah En. Ishak Bin Mohd Salleh di No. 12, Jalan Ixora 1/1 untuk bertanya khabar mengenai kesihatan beliau. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Serdang kerana menjalani pembedahan membuang selaput mata kanan.

Alhamdulillah beliau telah beransur pulih selepas menjalani pembedahan berkenaan dan memaklumkan doktor telah memberikan cuti rehat selama sebulan. Semua ahli persatuan mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Persatuan telah memberikan sumbangan berbentuk hamper kepada beliau dan berharap semoga kunjungan ikhlas ke rumah beliau dapat merapatkan lagi ukhuwah dikalangan ahli persatuan.

Monday, February 2, 2009

Takziah Untuk En. A. RAHMAN BIN CHE DIN Sekeluarga

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...

Dukacita dimaklumkan bahawa anak lelaki sulong Encik A. RAHMAN BIN CHE DIN (No. 16, Jalan Ixora 1/5) telah meninggal dunia pada tengahari 2 Februari 2009(Isnin).

Sehubungan dengan itu persatuan akan mengadakan kutipan derma kilat untuk membantu beliau sekeluarga . Sumbangan boleh diberikan kepada AJK Persatuan untuk disalurkan kepada beliau.

Takziah buat Encik A. RAHMAN BIN CHE DIN sekeluarga ...

Al-Fatihah.