Sunday, September 27, 2009

Aduan Simpang Masuk Dan Keluar Merbahaya Ke Taman Ixora

Satu aduan rasmi telah dikemukakan oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora kepada Majlis Perbandaran Sepang mengenai simpang keluar dan masuk merbahaya ke Taman Ixora. Nombor siri aduan adalah 7493 bertarikh 16 September 2009.

Adalah didapati simpang berkenaan merbahaya kepada kenderaan yang keluar dan masuk ke Taman Ixora. Pengguna terpaksa memerhatikan kiri dan kanan jalan dengan teliti sebelum melintas. Penglihatan adalah terbatas kerana dihalang oleh landskap (pokok bunga dan hiasan di pembahagi jalan kiri dan kanan).

Persatuan mencadangkan beberapa tindakan diambil oleh pihak MPSp iaitu:-
1. Tidak menanam sebarang pokok, bunga dan hiasan di pembahagi jalan sepanjang 50 meter di kiri dan kanan simpang jalan berkenaan.
2. Memasang lintasan belang bagi jarak 50 meter di kiri dan kanan simpang berkenaan bertujuan bagi memperlahankan kenderaan yang menghampiri simpang berkenaan.
3. Memasang lampu isyarat di persimpangan jalan berkenaan.

Persatuan amat berharap aduan ini mendapat tindakan yang segera daripada pihak MPSp kerana telah berlaku 4(empat) kejadian kemalangan di simpang berkenaan.

Surat akuan terima aduan telah diterima daripada MPSp pada 17 September 2009 dan tindakan menyiasat aduan akan dibuat dalam tempoh Empat Belas (14) hari bekerja. Sebarang kemusykilan tuan/puan bolehlah berhubung terus di Unit Aduan Awam di talian telefon 03-83190200 @ 03-83190300 sambungan 429/431/432 atau faks ke 03-83204200.

Sila klik di sini untuk melihat gambar lokasi simpang berkenaan.

Tuesday, September 15, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri Dan Maaf Zahir Batin

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua penduduk Taman Ixora. Semoga dengan kedatangan lebaran ini dapatlah kita bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Terutama sepanjang kami melaksanakan tugas mungkin ada salah dan silap haraplah dimaafkan.

Kepada penduduk yang balik ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga tercinta, kami mendoakan semoga selamat tiba ke destinasi. Pandu cermat jiwa selamat. Ingatlah orang yang tersayang.

Sunday, September 13, 2009

Cadangan Penubuhan Perpustakaan Desa Di Bandar Baru Salak Tinggi

Satu mesyuarat bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS), wakil persatuan penduduk Taman Ixora danTaman Mawar 2 telah diadakan seperti butiran berikut:-

Tarikh : 11 September 2009 (Jumaat)
Masa : 3.00 Petang
Tempat : Bilik Mesyuarat Tingkat 2, Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

Mesyuarat berkenaan telah dihadiri oleh:-
1. Pengarah PPAS (Puan Mastura Bt Hj Muhamad)
2. Ketua Seksyen Perkhidmatan Rangkaian Perpustakaan (Puan Suzliana Bt Abd Hamid)
3. Ketua Bahagian Perancangan dan Pembangunan (En. Norazhan Bin Sahlan)
4. Ketua Perkhdimatan Zon Daerah 2 (En. Mohamed Fadzli Bin Mohd Fauzi)
5. En. Rasyid (Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mawar 2)
6. En. Mohd Hasiady (Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Ixora)
7. En. Mohd Iqbal (Penduduk Taman Ixora)

Diantara agenda mesyuarat adalah:-
1. Membincangkan cadangan pihak persatuan penduduk untuk mewujudkan perpustakaan desa di BBST bagi manfaat kepada semua pengguna perpustakaan.
2. Menjalin hubungan yang berterusan diantara persatuan penduduk dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Diantara keputusan mesyuarat yang dipersetujui ialah:-
1. Cadangan lokasi adalah Business Park (Pejabat Majlis Perbandaran Sepang lama)
2. Lawatan tapak akan diadakan pada minggu pertama bulan Oktober.
3. Target penubuhan adalah pada 1 Julai 2010.

Setakat ini 15 cadangan penubuhan perpustakaan desa dalam pertimbangan untuk kelulusan.

Mesyuarat juga dimaklumkan kos untuk mewujudkan sebuah perpustakaan desa adalah sebanyak RM150,000 yang terdiri daripada:-
1. Ubah Suai Bangunan RM50,000
2. Koleksi Perpustakaan RM50,000
3. Perabot Dan Kelengkapan RM30,000
4. Komputer RM20,000

Cadangan berkenaan mendapat reaksi yang positif daripada PPAS. Perbincangan lanjut akan diadakan dari semasa ke semasa untuk merealisasikan penubuhan perpustakaan desa di BBST untuk kemudahan kita bersama.

Friday, September 11, 2009

Kerja-kerja Pembaikan Dan Penurapan Jalan Di Taman Ixora

Pada 9 September 2009, kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Sepang telah melakukan kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan di Taman Ixora. Jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan 1/1, 1/2 dan 1/7. Kerja-kerja ini dibuat berdasarkan kepada laporan kerosakan jalan yang telah dibuat oleh pihak persatuan pada 13 Mei 2009. Di dalam laporan berkenaan disertakan gambar lokasi jalan-jalan yang mengalami kerosakan.

Pihak persatuan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Sepang yang telah membaik pulih kerosakan jalan berkenaan. Semoga perkhidmatan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Monday, September 7, 2009

Perjumpaan Penduduk Lorong 1/13, Taman Ixora

Penduduk lorong 1/13 telah mengadakan satu perjumpaan pada tarikh dan tempat seperti berikut:-

Tarikh : 5 September 2009 (Sabtu)
Masa : 10.30 Malam
Tempat : Rumah Ustaz Mohd Zuki (No.10, Jalan 1/13)

Perjumpaan ini adalah yang pertama kali diadakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan daripada 35 orang penduduk. Disamping itu juga, terdapat beberapa orang penduduk dari lorong 1/1 dan 1/2 turut menyertai perjumpaan ini.

Diantara agenda perjumpaan tersebut adalah:
1. Sesi taaruf - semua penduduk yang hadir memperkenalkan diri masing-masing.
2. Perbincangan keselamatan rumah pada musim perayaan.
3. Penerangan mengenai Persatuan Penduduk Taman Ixora (PPTI).
Tujuan perjumpaan ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim dan saling kenal mengenal antara satu sama lain. Perjumpaan ini juga bertujuan untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat di antara penduduk.

Perjumpaan ini turut membincangkan beberapa perkara dan aktiviti untuk kebaikan bersama. Antaranya ialah kawalan musim perayaan, penerangan tentang PPTI, pelantikan AJK lorong, mengadakan majlis bacaan yasin dan solat hajat, kawalan malam, pondok kawalan, kutipan yuran lorong, kenderaan laju dan isu bonggol. Borang keahlian PPTI juga turut diedarkan kepada penduduk (bagi yang belum menjadi ahli).

Antara beberapa keputusan yang telah dipersetujui bersama:
1. Pelantikan AJK Lorong
2. Kawalan oleh syarikat security pada musim perayaan (3 @ 4 hari)
3. Majlis bacaan yasin sebulan sekali (1 rumah)
4. Kawalan malam & pondok kawalan
5. Menyenaraikan aktiviti & yuran lorong
6. Mengutarakan isu kenderaan laju & bonggol dalam mesyuarat PPTI

InsyaAllah perjumpaan ini menjadi titik permulaan yang baik kepada penduduk Jalan Ixora 1/13. Adalah diharapkan perkara dan aktiviti yang dirancang ini dapat dijalankan untuk menghidupkan dan memberi kebaikan kepada penduduk Jalan Ixora 1/13. Di samping itu, adalah diharapkan penduduk Jalan Ixora 1/13 dapat bersama-sama memberi sokongan kepada Persatuan Penduduk Taman Ixora (PPTI) dalam merencanakan aktiviti yang telah, sedang dan akan dijalankan untuk kebaikan taman kita.

Tuesday, September 1, 2009

Banjir Lumpur Di Taman Ixora

Pada jam 10.00 pagi, 1 September 2009, beberapa buah rumah di Taman Ixora telah dilanda banjir lumpur. Tapak pembinaan rumah di atas bukit yang masih belum mempunyai saliran yang baik menyebabkan kejadian berkenaan berlaku. Banjir lumpur daripada atas bukit berkenaan telah melimpahi Jalan 1/1 dan membanjiri beberapa buah rumah penduduk.

Kejadian berkenaan telah menyebabkan beberapa rumah penduduk dibanjiri lumpur daripada belakang rumah, dapur sehingga ke ruang tamu. Diantara rumah penduduk yang terlibat adalah No. 33, 35, 37 Jalan 1/2 dan No. 34, 36 Jalan 1/1. Pihak pemaju (Getrahome) telah memberikan bantuan untuk membersihkan banjir lumpur berkenaan dengan bantuan beberapa orang pekerja daripada tapak pembinaan.

Kejadian berkenaan berlaku disebabkan oleh kelemahan sistem perparitan yang dibina oleh pemaju yang tidak dapat menampung pengaliran air yang banyak akibat hujan lebat yang turun mulai jam 9.00 pagi hingga jam 11.30 pagi.

Disamping itu, kerja-kerja pengorekan kabel elektrik oleh sub kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menyumbang kepada kejadian ini. Ini adalah kerana saliran air keluar di atas bukit ke sungai berhampiran telah ditutup untuk kerja-kerja pengorekan berkenaan. Walaubagaimanapun tindakan pantas pemaju mengorek saliran keluar tersebut telah mengurangkan pengaliran air ke kawasan perumahan.

Satu laporan polis telah dibuat oleh penduduk mengenai kejadian berkenaan dan beberapa anggota polis telah membuat tinjauan mengenai kejadian berkenaan.

Penduduk yang ditemui menyatakan ini adalah kali kedua kejadian yang seumpama ini berlaku di Taman Ixora.

Diharap pihak pemaju (Getrahome) dapat mengambil inisiatif untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang. Diantara inisiatif yang dicadangkan ialah:-
1. Memperbesarkan longkang yang mengalirkan air saluran utama daripada Jalan 1/1, Jalan 1/2 dan aliran air daripada atas bukit
2. Membina tembok penghadang air di Jalan 1/1 untuk menghalang air daripada melintasi Jalan 1/1 dan seterusnya memasuki rumah penduduk

Sila klik disini untuk melihat gambar semasa kejadian berkenaan.