Sunday, November 29, 2009

Majlis Ibadah Qurban 1430 Hijrah Anjuran PPTI

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan Ibadah Qurban pada tarikh dan tempat seperti berikut:-

Tarikh : 29 November 2009 (Ahad)
Masa : 8.00 Pagi
Tempat : Taman Permainan Kanak-kanak, Taman Ixora
Bayaran Satu Bahagian : RM370.00

Seramai 21 orang penduduk telah menyertai ibadah berkenaan. Sebanyak 3 ekor lembu telah dikorbankan pada hari itu. Daging korban telah diagihkan kepada penduduk Taman Ixora.

PPTI amat berpuashati dan berterima kasih di atas kerjasama yang telah ditunjukkan oleh penduduk semasa mengerjakan ibadah berkenaan. InsyaAllah ibadah ini akan diadakan pada tahun hadapan dengan lebih banyak penyertaan daripada penduduk Taman Ixora.

Diantara fadhilat berqurban ialah:-
1. Menambah amal kebajikan, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.: "Orang yang berqurban itu akan dikurniakan bagi setiap bulu binatang qurbannya dengan satu kebajikan".
2. Sebagai penebus dosa, seperti sabda Rasulullah S.A.W. kepada Sayyidatina Fatimah Radhiallahu 'Anha: "Wahai Fatimah pergilah ke tempat qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya dengan titisan darahnya yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosamu yang telah lalu".
3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W: "Wahai manusia, kamu lakukanlah ibadat qurban dan berharaplah pahala daripada Allah dengan darahnya itu, sesungguhnya darah qurban itu jika ia jatuh ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah 'Azza Wa Jalla".

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, November 20, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1430H


InsyaAllah kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha 1430H pada 27 November 2009. Persatuan Penduduk Taman Ixora ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua penduduk Taman Ixora. Maaf Zahir dan Batin.

Kepada penduduk yang pulang ke kampung halaman berhati-hatilah di jalan raya semoga selamat pulang dan selamat kembali. Kepada penduduk yang tidak pulang berhari raya marilah kita bersama-sama membantu semasa ibadah Qurban anjuran PPTI pada 29 November 2009.

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PPTI Bil. 10/2009

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan mesyuarat pada 19 November 2009, jam 9.30 malam dan membuat beberapa keputusan berikut:-

1. Persatuan telah menghantar notis tunggakan yuran keahlian bagi tahun 2008 dan 2009 kepada 100 orang ahli yang belum menjelaskan yuran. Daripada jumlah itu hanya 20 orang ahli yang menjelaskan yuran. Terdapat 10 orang ahli yang belum menjelaskan yuran keahlian bagi tahun 2008 dan belum menjadi ahli persatuan secara sah. Pengerusi mengingatkan yuran hendaklah dijelaskan oleh ahli untuk membiayai sebarang aktiviti PPTI.
2. Jawatankuasa bersetuju untuk melantik En. Saharuddin Bin Mat, No. 14, Jalan 1/4 sebagai AJK Dalaman PPTI bagi menggantikan Ustaz Yusmi yang telah meletakkan jawatan.
3. Perbincangan Mengenai Ibadah Qurban Taman Ixora:-
- Akan diadakan pada 29 Nov 2009 bertempat di Taman Permainan Kanak-kanak Taman Ixora mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
- Mesyuarat bersetuju untuk menempah banner bagi memaklumkan semua penduduk Taman Ixora mengenai aktiviti tersebut.
- Menempah dua (2) buah khemah untuk tujuan tersebut.
- Kupon pembahagian daging Qurban akan diagihkan kepada penduduk dalam waktu terdekat.
- Seramai 21 orang penduduk (3 ekor lembu) telah menyertai ibadah qurban.
4. Menangguhkan Majlis Makan Malam Amal yang dirancangkan dan akan dijadikan aktiviti bagi tahun 2010.
5. Persatuan telah membeli sebuah telefon bimbit untuk kegunaan persatuan dengan harga RM100.00. Talian hotline persatuan adalah 019-3673386.
6. Permohonan pembinaan bonggol Fasa 2 di Taman Ixora akan dibuat pada tahun 2010 kerana dimaklumkan pihak MPSp tidak mempunyai peruntukan kewangan pada tahun ini. AJK mencadangkan supaya pihak MPSp memberikan kebenaran bertulis kepada penduduk untuk membina bonggol dengan pembiayaan sendiri. Satu kertas cadangan akan dikemukakan kepada pihak MPSp.
7. Cadangan untuk mengadakan kawalan keselamatan berbayar di Taman Ixora akan dibawa sebagai salah satu usul di dalam Mesyuarat Agung tahun 2010.
8. Jawatankuasa mengucapkan syabas dan tahniah kepada penduduk di lorong-lorong yang telah membuat kawalan keselamatan dengan berjaga malam secara sukarela. Skim Rondaan Sukarela secara menyeluruh di Taman Ixora akan diadakan setelah permohonan Rukun Tetangga di Taman Ixora diluluskan.
9. Menyemak status pembinaan Balai Islam di Taman Ixora dengan pemaju Getrahome untuk dipercepatkan.
10. Mengemukakan aduan kepada pihak MPSp untuk menebang pokok hiasan di persimpangan masuk Taman Ixora kerana menghalang pandangan.

Mesyuarat berakhir jam 11.30 malam.

Monday, November 16, 2009

Kerja-Kerja Penurapan Jalan di Jalan Ixora 1/2

Pada 16 November 2009 (Isnin), kontraktor yang dilantik oleh Tenaga Nasional Berhad telah melakukan kerja-kerja penurapan jalan di Jalan Ixora 1/2. Kerja-kerja ini adalah untuk menambahbaik struktur jalan yang telah dikorek untuk kerja-kerja pemasangan kabel elektrik baru-baru ini.

Keperihatinan pihak TNB untuk menurap semula jalan tersebut amatlah dihargai untuk keselesaan penduduk.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.