Friday, March 27, 2009

Kerja-Kerja Mencantas Pokok Di Taman Ixora

Majlis Perbandaran Sepang telah melantik kontraktor untuk mencantas pokok di keseluruhan Taman Ixora yang melepasi talian elektrik. Kerja-kerja telah dimulakan pada 23 - 26 Mac 2009. Kerja-kerja mencantas pokok ini adalah merupakan keputusan dan persetujuan di antara Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Majlis Perbandaran Sepang semasa Majlis Dialog bertempat di MPSp pada 12 Februari 2009.

Penduduk Taman Ixora mengucapkan ribuan terima kasih di atas keperihatinan MPSp menyelenggara lanskap di Taman Ixora. Semoga bantuan yang diberikan dapatlah diteruskan lagi pada masa akan datang.

Thursday, March 26, 2009

Cadangan Pelekat Kenderaan Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora akan memperkenalkan pelekat kenderaan di Taman Ixora untuk tujuan keselamatan. Sehubungan dengan itu berikut dicadangkan beberapa rekabentuk pelekat kenderaan berkenaan.


A) B)
C) D)

Bayaran bagi pelekat kenderaan dicadangkan sebanyak RM5.00 bagi sebuah kereta. Harga yang ditetapkan ini termasuklah sumbangan kepada persatuan bagi menjana kewangan persatuan. Sebarang cadangan dan pandangan daripada ahli persatuan dan penduduk amatlah dialukan.

Sunday, March 22, 2009

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah Taman Ixora















Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah pada tarikh dan tempat seperti berikut:

Tarikh : 21 Mac 2009 (Sabtu)
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan Ixora 1/9















Diantara aturcara program pada malam itu adalah:
1. Perasmian oleh Ahli Majlis Bandar Baru Salak Tinggi
2. Persembahan Marhaban dan Nasyid Cinta Rasul
3. Forum Perdana Cinta Rasulullah SAW
- Ahli Panel 1 : Dr. Mohd Rushdan Bin Mohd Jailani (Pensyarah USIM)
- Ahli Panel 2 : Ustaz Zainudin Bin Abu Bakar (Pendakwah Bebas)
- Moderator : Ustaz Yusmi Haniff Bin Ariffin

Majlis telah diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang. Seramai 300 orang penduduk Taman Ixora telah hadir mengimarahkan majlis ilmu berkenaan. Semoga dengan kehadiran penduduk ini telah dapat menambah rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW, mengeratkan semangat kejiranan dan hubungan siturrahim sesama muslim.

Sila klik di sini untuk koleksi gambar semasa majlis diadakan.

Wednesday, March 18, 2009

Pembinaan Bonggol Di Taman Ixora


Pada 18 Mac 2009 (Rabu), Majlis Perbandaran Sepang telah melantik kontraktor untuk membina bonggol di laluan masuk Taman Ixora. Pada fasa permulaan sebanyak 7 bonggol telah dibina. Pembinaan bonggol tambahan akan dilakukan pada fasa yang seterusnya.

Tujuan utama pembinaan bonggol adalah bagi tujuan keselamatan penduduk yang terdiri daripada kanak-kanak yang bermain di tepi jalan. Dengan adanya bonggol, kenderaan akan memperlahankan kenderaan seterusnya dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sila klik di sini untuk gambar lokasi pembinaan bonggol berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Sepang yang telah meluluskan peruntukan untuk membina bonggol berkenaan. Semoga kemudahan yang disediakan untuk kemudahan dan keselamatan penduduk dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. InsyaAllah.

Monday, March 16, 2009

Ucapan Takziah Kepada En. A. Rahman Bin Che Din

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...

Dukacita dimaklumkan bahawa cucu kepada Encik A. Rahman Bin Che Din (No. 16, Jalan Ixora 1/5) telah kembali ke rahmatullah pada tengahari 16 Mac 2009(Isnin). Sehubungan dengan itu persatuan mengucapkan takziah kepada beliau dan mendoakan supaya roh cucu beliau ditempatkan di kalangan anak yang solehah.Takziah buat Encik A. Rahman Bin Che Din sekeluarga ...

Al-Fatihah.

Sunday, March 15, 2009

Gotong-Royong Kenduri Kahwin Anak Perempuan Tuan Hj. Mohd Noor Bin Said (Pengerusi PPTI)

Pada 14 dan 15 Mac 2009, penduduk Taman Ixora telah mengadakan gotong-royong membantu persiapan sebelum dan semasa majlis kenduri kahwin Tuan Hj. Mohd Noor Bin Said (Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ixora).

Semua penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada Tuan Haji Mohd Noor yang telah selamat mengadakan majlis kenduri anaknya. Tuan Haji Mohd Noor juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang telah ditunjukkan oleh penduduk bagi memastikan majlis beliau berjalan lancar.

Semoga semangat kerjasama yang telah ditunjukkan oleh penduduk dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. InsyaAllah.

Sila klik di sini untuk koleksi gambar majlis berkenaan.

Thursday, March 12, 2009

Pertandingan Taman Tercantik Majlis Perbandaran Sepang

Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Zon Bandar Baru Salak Tinggi Selatan telah mencalonkan Taman Ixora dan Taman Mawar 1 sebagai wakil pertandingan Taman tercantik di kawasan Majlis Perbandaran Sepang. Hadiah sebanyak RM30,000.00 dalam bentuk projek disediakan kepada pemenang pertandingan.

Diantara kriteria yang dinilai untuk pertandingan berkenaan ialah:
1. Kebersihan Sampah
2. Infrastruktur Longkang Dan Jalan
3. Penyelenggaraan Lampu Jalan Dan Lanskap
4. Taman Permainan
5. Hubungan Sesama Jiran
6. Persatuan Penduduk
7. Aktiviti Penduduk
8. Penyelenggaraan Kawasan Rumah

Lawatan panel pengadil akan diadakan dari semasa ke semasa. Diharap semua penduduk Taman Ixora dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pengadil pertandingan dengan menyelenggara kawasan rumah, hubungan baik dan kenali jiran anda. Semoga kemenangan bakal menjadi milik kita semua.

Saturday, March 7, 2009

Majlis Bacaan Yasin Dan Tazkirah Kaum Ibu Kali Ke-2


Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan majlis bacaan yasin dan tazkirah kaum ibu kali ke-2 pada tarikh dan tempat seperti berikut:

Tarikh : 7 Mac 2009 (Sabtu)
Masa : 2.30 Petang
Tempat : Taska Permata Ixora, No. 67, Jalan Ixora 1/9

Seramai 14 orang kaum ibu telah hadir mengimarahkan majlis ilmu berkenaan. Majlis bacaan yasin ini akan diadakan setiap 2 minggu sekali. Majlis yang seterusnya akan diadakan pada 21 Mac 2009, 4 April 2009 dan 18 April 2009. Tempat dan masa adalah sama dan sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak. Semua kaum ibu dijemput untuk hadir.

Sunday, March 1, 2009

Perbincangan Bersama Pemaju (Getrahome)


Pada 1 Mac 2009(Ahad), jam 1.30 petang, Jawatankuasa PPTI diwakili oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan seorang AJK telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengarah Pembangunan Dan Hartanah Getrahome (En. Zulkafli Bin Hj. Shahar).

Diantara keputusan perbincangan ialah:
1. Pengerusi PPTI mengucapkan terima kasih di atas sumbangan wang tunai sebanyak RM500.00 yang telah diberikan oleh Getrahome untuk Program Gotong-Royong Cegah Denggi Taman Ixora.
2. Tapak surau yang telah disediakan oleh pemaju akan diratakan dan Dewan Serbaguna(Balai Islam) akan dibina dalam waktu terdekat. Peruntukan untuk membina dewan berkenaan akan disumbangkan oleh pemaju dan sumbangan daripada penduduk serta beberapa organisasi termasuk Ahli Parlimen Sepang akan diusahakan.
3. Satu sesi dialog bersama pemaju, Majlis Perbandaran Sepang dan penduduk akan diadakan bagi menjelaskan beberapa isu yang melibatkan penduduk.

Semua penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh pemaju.

Pelancaran Logo Dan Laman Blog PPTI


Logo dan laman blog PPTI telah dilancarkan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Jamal Bin Awang (Ahli Majlis Bandar Baru Salak Tinggi) semasa Mesyuarat Agung Tahunan PPTI Kali Ke-2 pada 1 Mac 2009(Ahad) bertempat di Masjid Sultan Hishamudin, BBST.

Pemenang pertandingan mencipta logo ialah:
1. Tempat Pertama - En. Zulkefli bin Haji Hashim, No. 4, Jalan Ixora 1/9
2. 2 X Hadiah Saguhati - En Ahmad Kamil Bin Zailani (No.110, Jalan Ixora 1/1) dan En. Mohd Shamsul Akhmar Bin Musa (No.20, Jalan Ixora 1/11)

Pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM100.00 beserta hamper dan 2 pemenang saguhati menerima hadiah wang tunai RM30.00 beserta hamper setiap seorang. Tahniah diucapkan. Logo ini akan digunakan untuk letter head persatuan dan urusan rasmi persatuan.

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-2 PPTI


Persatuan Penduduk Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-2 pada tarikh dan tempat seperti berikut:

Tarikh : 1 Mac 2009(Ahad)
Masa : 9.00 Pagi
Tempat : Dewan Besar Masjid Sultan Hishamudin, BBST

Agenda mesyuarat tersebut ialah:
1. Ucapan perasmian oleh Tuan Haji Mohd Jamal Bin Awang (Ahli Majlis BBST)
2. Pelancaran logo dan blog PPTI
3. Pembentangan dan pengesahan minit Mesyuarat Agung Kali Pertama
4. Pembentangan laporan kewangan dan aktiviti tahun 2008
5. Pembentangan dan cadangan usul

Diantara keputusan mesyuarat ialah:
1. Kutipan yuran keahlian daripada RM5.00 setahun kepada RM30.00 setahun akan mula dikuatkuasakan pada tahun 2010.
2. Cadangan supaya setiap penghuni memasang lampu belakang rumah di waktu malam.
3. Cadangan supaya penduduk lelaki mengimarahkan masjid dengan bersembahyang berjemaah dan menghadirkan diri semasa majlis ilmu diadakan.
4. Usul daripada Jawatankuasa supaya persatuan mempunyai peralatan PA System sendiri untuk kegunaan aktiviti persatuan dan membeli pencetak untuk urusan surat-menyurat dan cetakan dokumen persatuan. Majoriti ahli telah bersetuju supaya kutipan RM10.00 daripada setiap ahli untuk membeli peralatan berkenaan. Kutipan akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.
5. Satu sesi dialog bersama Majlis Perbandaran Sepang, Pemaju (Getrahome) dan penduduk Taman Ixora untuk membincangkan isu-isu yang berbangkit akan diadakan dalam waktu terdekat. Kerjasama semua penduduk untuk menghadiri sesi dialog berkenaan adalah dialukan.
6. Pelekat kenderaan yang mempunyai logo Persatuan Penduduk Taman Ixora akan dilaksanakan di Taman Ixora untuk tujuan keselamatan. Ini akan dilaksanakan dalam waktu terdekat setelah mendapat sebutharga dan persetujuan mengenai bayaran yang dikenakan untuk pelekat kenderaan berkenaan.
7. Buletin Ixora akan dikeluarkan dan diedarkan kepada ahli setiap 4 bulan sekali untuk hebahan aktiviti persatuan dari semasa ke semasa.

Mesyuarat berkenaan telah dihadiri oleh 50 orang ahli. Jawatankuasa dan semua ahli persatuan mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Mohd Jamal Bin Awang yang telah sudi hadir merasmikan mesyuarat Agung PPTI Kali Ke-2. Terima kasih juga diucapkan kepada semua ahli yang telah melapangkan masa menghadiri mesyuarat ini.