Thursday, April 29, 2010

Keputusan Mesyuarat JawatanKuasa PPTI Bil. 4/2010

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan mesyuarat pada 29 April 2010 (Khamis), jam 9.00 malam bertempat di Bilik Kuliah Masjid Sultan Hisamudin dan membuat beberapa keputusan berikut:-

1. Sehingga 28 April 2010, seramai 154 daripada 249 orang ahli (61.8%) telah membayar yuran keahlian bagi tahun 2010. Pengerusi mengingatkan Bendahari dan semua AJK Lorong supaya menggandakan usaha membuat kutipan yuran keahlian bagi tahun 2010.

2. Satu sesi pertemuan dengan Y. Bhg. Dato' Samsudin, Pengerusi Eksekutif Getrahome akan diadakan dalam waktu terdekat untuk membincangkan status pembinaan Balai Islam Taman Ixora. Surat untuk memohon pertemuan telah dihantar pada 27 April 2010.

3. Jawatankuasa bersetuju untuk menempah 20 helai 'vest' untuk dipakai oleh AJK PPTI semasa menganjurkan sebarang aktiviti. Kos akan ditanggung oleh PPTI dan 'vest' berkenaan adalah menjadi hak milik PPTI dan hendaklah dipulangkan kembali sekiranya tidak lagi menjadi AJK PPTI. Peruntukan kewangan sebanyak RM600.00 (anggaran RM30.00 sehelai) telah diluluskan untuk pembelian 'vest' berkenaan.

4. Jawatankuasa bersetuju untuk menganjurkan Pertandingan Badminton Tertutup Taman Ixora pada 2 Mei 2010 bertempat di Dewan Badminton Kuarters KLIA.

5. Pengerusi mengucapkan tahniah kepada semua AJK dan penduduk Taman Ixora yang telah bekerjasama menjalankan aktiviti kemasyarakatan sehingga Taman Ixora memenangi Tempat Pertama Pertandingan Taman Terbaik Daerah Sepang Bagi Tahun 2009/2010. Satu majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 4 Mei 2010 (Selasa), jam 3.00 petang bertempat di Majlis Perbandaran Sepang.

6. Jawatankuasa bersetuju untuk mengedarkan Borang Khairat Kematian Masjid Sultan Hisamudin kepada semua penduduk Taman Ixora dan akan dikumpulkan sebelum diserahkan kepada pihak masjid. Kerjasama ketua lorong dipohon untuk mengedarkan borang berkenaan.

7. Jawatankuasa telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM300.00 setahun untuk menampung kos Kelas Pengajian Al-Quran Kaum Ibu Taman Ixora.

8. Bendahari melaporkan kedudukan kewangan persatuan sehingga 28 April 2010 adalah sebanyak RM 7,720 di dalam akaun bank persatuan.

9. Jawatankuasa telah bersetuju dengan projek menaiktaraf gelanggang badminton di Taman Ixora kepada gelanggang Futsal berpagar. Projek ini adalah hadiah bagi Pertandingan Taman Terbaik Daerah Sepang sebanyak RM20,000.

10. Mengucapkan terima kasih kepada pihak MPSp kerana telah memasang 4 bonggol tambahan di Taman Ixora.

11. Permohonan soket alur keluar di taman permainan tidak diluluskan oleh MPSp atas faktor keselamatan.

12. Jawatankuasa bersetuju menerima surat perletakan jawatan AJK Lorong 1/13 (Mohd Zuki Bin Yaakub) dan bersetuju melantik En. Mohd Yusba Asmadi Bin Mat Rahim, No. 51 Jalan 1/13 sebagai AJK Dalaman bagi menggantikan beliau.

13. Jawatankuasa bersetuju untuk menempah banner sebagai hebahan kepada penduduk Taman Ixora kerana Taman Ixora telah memenangi Pertandingan Taman Terbaik Daerah Sepang Bagi Tahun 2010/2011.

14. Satu majlis kesyukuran dan doa selamat akan diadakan di Masjid Sultan Hisamudin pada 12 Mei 2010 (Rabu), jam 9.00 malam selepas solat isyak berjemaah. Semua penduduk Taman Ixora dijemput hadir.

Mesyuarat berakhir jam 11.40 malam.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Kelas Pengajian Al-Quran Kaum Ibu Taman Ixora

Biro Hal Ehwal Wanita, Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan Kelas Pengajian Al Quran untuk kaum ibu Taman Ixora . Sebanyak tiga(3) kelas pengajian telah diadakan iaitu pada 14, 21 dan 28 April 2010 bertempat di Taska Permata Ixora.

Kelas Pengajian Al Quran ini telah dijadikan aktiviti mingguan dan diadakan pada butiran berikut:-

Tarikh : Setiap hari Rabu
Masa : 8.00 malam hingga 10.30 malam
Tempat : Taska Permata Ixora, Jalan 1/2

Semua kaum ibu di Taman Ixora dijemput untuk menghadiri kelas pengajian ini. Kelas ini akan dibimbing oleh ustazah daripada Taman Mawar. Objektif untuk mengadakan kelas pengajian ini adalah untuk memperbetulkan bacaan Al Quran seharian.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, April 25, 2010

Majlis Ramah Mesra Penduduk Lorong 1/12

Pada 24 April 2010 (Sabtu) jam 8.00 malam, penduduk di Lorong 1/12 telah mengadakan Majlis Ramah Mesra bertempat di Pos Kejiranan Lorong 1/12.

Diantara objektif majlis adalah:-
1. Berkenalan dan bertukar pandangan di antara satu sama lain.
2. Membincangkan hal kewangan untuk mengadakan aktiviti di lorong berkenaan.
3. Memperkenalkan ketua lorong (En. Ismail Bin Amat, No. 24, Jalan 1/12).

Seramai 32 keluarga telah hadir ke majlis berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan syabas dan tahniah kepada penduduk lorong 1/12 yang telah hadir mengikuti majlis yang diadakan. Terima kasih diucapkan juga kepada penduduk di lorong 1/12 telah bekerjasama menyediakan juadah makanan dan minuman pada malam itu. Semoga kerjasama yang diberikan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk merapatkan lagi hubungan kejiranan di antara penduduk.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Wednesday, April 21, 2010

Taman Ixora Memenangi Tempat Pertama Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Bagi Tahun 2009/2010

Alhamdulillah dan Tahniah.

Taman Ixora telah dipilih sebagai pemenang Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Bagi Tahun 2009/2010. Pertandingan ini adalah anjuran Majlis Perbandaran Sepang. Kejayaan ini adalah berkat usaha Persatuan Penduduk Taman Ixora dan semua penduduk Taman Ixora yang telah bekerjasama untuk menjaga kebersihan taman melalui gotong-royong yang telah diadakan dan penganjuran aktiviti-aktiviti untuk faedah penduduk oleh persatuan.

Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 4 Mei 2010 bertempat di Majlis Perbandaran Sepang. Hadiah untuk tempat pertama adalah berbentuk geran RM20,000.00 untuk membangunkan fasiliti di Taman Ixora bagi kemudahan dan kegunaan penduduk. Bentuk projek yang akan dibangunkan akan dibincangkan untuk faedah bersama.

Persatuan Penduduk Taman Ixora berharap agar kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Semua ahli persatuan hendaklah memberikan sokongan sepenuhnya kepada Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan menjelaskan yuran keahlian dan mengikuti semua program atau aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan. InsyaAllah semoga usaha yang kita lakukan ini akan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.

Sunday, April 18, 2010

Gangguan Bekalan Air di Taman Ixora

SYABAS sedang giat menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti air yang dibekalkan ke premis tuan/puan, salah satunya adalah kerja-kerja pencucian paip agihan. Dimaklumkan bahawa kerja-kerja pencucian paip agihan tersebut akan dijalankan di Taman Ixora dan gangguan bekalan air akan berlaku. Butiran gangguan adalah seperti berikut:-

Tarikh : 21 April 2010 (Rabu)
Waktu Gangguan Terlibat : 10.00 Pagi - 7.00 Malam

Perhatian kepada penduduk:-
1. Sila tutup injap masuk (stopcock) sebelum meter, semasa gangguan tersebut untuk mengelakkan kemungkinan mendapan dalam sistem paip retikulasi masuk ke sistem paip perkhidmatan di rumah tuan/puan.
2. Sila pastikan tiada kenderaan atau objek lain diletakkan berhampiran dengan pili bomba, injap dan pepasangan milik SYABAS sebelum dan semasa kerja-kerja pencucian paip dijalankan.
3. Adalah diharap pihak tuan dapat menyimpan bekalan air secukupnya untuk kegunaan semasa gangguan bekalan air tersebut.
4. Selepas kerja-kerja pencucian paip dijalankan, pihak tuan/puan dinasihatkan membuka pili paip di sinki dapur atau pili yang disambungkan terus dari meter sejurus selepas injap masuk dibuka selama 30-60 saat untuk membuang mendapan yang mungkin berada di paip komunikasi disebabkan kerja-kerja pencucian paip tersebut.

Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi PUSPEL CENTER 1-800-88-5252. Segala kesulitan amatlah dikesali oleh pihak SYABAS.

Tuesday, April 13, 2010

Pembinaan Bonggol Fasa 2 di Taman Ixora

Pada 13 April 2010 (Selasa), kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Sepang telah membina 4 buah bonggol di Taman Ixora. Lokasi pemasangan bonggol berkenaan adalah :-
- Dua(2) bonggol di Jalan Ixora 1/1
- Dua(2) bonggol di Jalan Ixora 1/2

Permohonan pembinaan bonggol Fasa 2 di Taman Ixora telah dibuat oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora melalui surat bertarikh 23 Februari 2010 kepada MPSp. Sebanyak tujuh (7) buah bonggol telah dipohon untuk dibina. Walaubagaimanapun pihak MPSp hanya meluluskan pembinaan empat (4) bonggol sahaja.

Pihak Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada MPSp yang begitu perihatin dengan masalah penduduk dan meluluskan peruntukan untuk membina bonggol di Taman Ixora bagi memperlahankan kenderaan demi keselamatan kanak-kanak di Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat lokasi pemasangan bonggol berkenaan.

Wednesday, April 7, 2010

Kelulusan Penetapan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora


Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri telah menetapkan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, Daerah Sepang, Selangor menjadi Kawasan Rukun Tetangga di bawah Peraturan 5A, Peraturan-Peratuan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 bertarikh 23 Februari 2010. Surat kelulusan diperolehi daripada Pejabat Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Daerah Sepang bertarikh 30 Mac 2010 diterima pada 5 Apr 2010. Punca kelewatan adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan oleh Jabatan Perpaduan Negara Daerah Sepang.

Sehubungan dengan itu satu perjumpaan dan mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa Penaja akan diadakan dalam waktu terdekat.

Persatuan Penduduk Taman Ixora berharap agar semua penduduk Taman Ixora menyokong penubuhan KRT ini dan memberikan kerjasama terhadap semua aktiviti yang akan dirancangkan.

Sunday, April 4, 2010

Ceramah Maulidur Rasul 1431H Anjuran PPTI

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan program Ceramah Maulidur Rasul 1431H pada butiran berikut:-

Tarikh : 4 April 2010 (Ahad)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Taman Permainan Kanak-kanak Taman Ixora
Tajuk Ceramah : Rasulullah S.A.W. Pemangkin Kejiranan Ummah
Penceramah : Ustaz Ashraf Bin Hj. Ismail, Pensyarah UKM

Alhamdulillah program tersebut telah mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Program berkenaan turut diserikan dengan nyanyian nasyid di bawah pimpinan Ustaz Rahim.

Puan Rohaya Bt Dato' Mohd Shahir, Ahli Majlis Bandar Baru Salak Tinggi Zon Utara turut hadir ke program berkenaan. Terima kasih diucapkan kepada MPSp kerana telah memberikan sumbangan penyediaan makanan, minuman dan khemah semasa program dianjurkan.

Pihak Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menjayakan program yang telah dianjurkan ini.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Thursday, April 1, 2010

Lagi Insiden Kemalangan di Simpang Tiga Taman Ixora

Pada 1 April 2010 (Khamis), jam 5.30 petang berlaku satu lagi insiden kemalangan di simpang tiga Taman Ixora. Kemalangan berkenaan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Innova, Honda Prelude dan Proton Wira. Salah seorang penduduk Taman Ixora yang memandu Proton Wira terlibat dalam insiden kemalangan berkenaan. Alhamdulillah tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku kepada semua pemandu yang terlibat.

Walaupun aduan dan laporan telah dibuat kepada Majlis Perbandaran Sepang, tiada sebarang tindakan susulan yang diambil untuk menangani kejadian kemalangan di simpang tiga berbahaya ini. Walaupun pihak MPSp mengambil tindakan mencantas pokok bunga hiasan dalam jarak 30 meter di kiri dan kanan pembahagi jalan di simpang tersebut pada bulan lepas, adalah didapati pokok berkenaan telah kembali tumbuh dan menghalang jarak penglihatan.

Berikut adalah maklumat aduan yang telah dibuat oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora selepas kejadian kemalangan pada 4 Feb 2010 :-
1. Tarikh 5 Feb 2010, No. Siri Aduan 8068, aduan dibuat melalui Sistem e-Aduan MPSp.
2. Tarikh 6 Feb 2010, No. Siri Aduan 1395, aduan dibuat semasa Hari Bertemu Pelanggan MPSp di Taman Dahlia.
3. Tarikh 11 Feb 2010, Laporan satu muka surat penuh akhbar Sinar Harian mengenai halangan landskap dan insiden kemalangan di simpang berkenaan.

Berikut adalah maklumbalas yang diterima daripada MPSp;
1. Tarikh 23 Mac 2010, Pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Utama BBST dan Taman Ixora masih dalam kajian. Buat masa ini, keperluan pemasangan tersebut adalah tidak perlu jika dilihat dari aspek aliran trafik. Justeru itu, pepasangan tersebut tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Jika terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengarah Kejuruteraan MPSp En. Zulkefli Bin Mohamed Arif ditalian 03-83190200 Ext: 232.

Persatuan Penduduk Taman Ixora amatlah berharap agar disegerakan pembinaan lampu isyarat disimpang berkenaan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku lagi pada masa hadapan. Pihak Majlis Perbandaran Sepang dan Jabatan Kerja Raya hendaklah mengambil tindakan yang serius bagi menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk yang menggunakan simpang berkenaan setiap hari.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.