Thursday, July 29, 2010

Kejadian Samun di Taman Ixora

Pada 29 Julai 2010 (Khamis) jam 11.00 pagi, berlaku satu kejadian samun bersenjata di rumah No. 24, Jalan Ixora 1/2. Dilaporkan sejumlah barang kemas telah berjaya dilarikan oleh penyangak berkenaan. Menurut laporan pihak polis, modus operandi mereka adalah menyamar sebagai juruteknik untuk memeriksa penapis air di dalam rumah.

Apabila tuan rumah membuka pintu untuk tujuan berkenaan, mereka akan menjadi mangsa atau anak sebagai tebusan dan mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya tidak memberikan kerjasama.

Persatuan Penduduk Taman Ixora meminta penduduk supaya sentiasa berwaspada dengan individu yang tidak dikenali yang ingin memasuki rumah kita. Pihak syarikat pembekal barangan atau perkhidmatan tidak pernah menghantar wakil mereka untuk melakukan pemeriksaan atau pembaikan dari rumah ke rumah.

Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan di Taman Ixora, adalah didapati kejadian jenayah sentiasa berlaku dari jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi. Keadaan pada masa ini adalah sunyi dan lengang daripada pergerakan keluar masuk penduduk. Adalah dinasihatkan supaya penduduk tidak membiarkan kanak-kanak bermain di luar rumah pada waktu ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Sunday, July 18, 2010

Kejohanan Futsal Tertutup Kejiranan Taman Ixora Tahun 2010

Kejiranan Taman Ixora dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan kejohanan futsal tertutup pada butiran berikut:-

Tarikh : 18 Julai 2010 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi hingga 12.30 Tengahari
Tempat : MERACIPTA Futsal (Bersebelahan Kilang WRP)

Kejohanan berkenaan adalah di atas inisiatif penduduk Jalan Ixora 1/13. Persatuan Penduduk Taman Ixora telah bekerjasama sebagai urusetia bersama sepanjang penganjuran kejohanan berkenaan. Penyertaan adalah terbuka kepada penduduk Taman Ixora.

Objektif penganjuran kejohanan adalah:
- mengeratkan tali persaudaraan dan silaturrahim dikalangan warga penduduk Taman Ixora.
- memupuk cara hidup sihat melalui aktiviti riadah dan sukan

Syarat-syarat pertandingan:
- Terbuka kepada LELAKI sahaja berumur 13 tahun ke atas dan terbuka kepada semua penduduk Taman Ixora.
- Setiap pasukan hendaklah terdiri daripada seorang pengurus pasukan dan enam (6) orang pemain.
- Yuran penyertaan adalah RM80.00 untuk satu pasukan.

Seramai 10 pasukan telah menyertai kejohanan berkenaan. Berikut adalah senarai pasukan yang bertanding:

Kumpulan A
- Vuvuzelas FC
- Tip Top
- Bran Utd
- FIFA Street
- Asfaragus 12

Kumpulan B
- A Team
- Flu FC
- 1313
- B-Boy
- Jaka 11

Berikut adalah keputusan penuh kejohanan:-

1. Johan - Asfaragus 12
2. Naib Johan - Jaka 11
3. Tempat Ke-3 dan Ke-4 - Bran Utd dan Flu FC

Pemain Remaja Harapan
- Mohd Azri Anuar (FIFA Street)

Penjaring Terbanyak
- Shamsul Akmar (Jaka 11) - 10 Gol

Pemain Terbaik
- Fazmen Raime (Asfaragus 12)

Hadiah kepada semua pemenang pertandingan telah disampaikan oleh Pengerusi PPTI.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada pemenang kejohanan. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak urusetia yang berjaya menganjurkan program dengan jayanya dan AJK PPTI yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menganjurkan kejohanan berkenaan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, July 16, 2010

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PPTI Bil. 5/2010

Jawatankuasa PPTI telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa PPTI Bil 5/2010 pada 16 Julai 2010 (Jumaat) jam 9.30 malam dan membuat beberapa keputusan berikut:-

1. Bersetuju melantik En. Mohd Yusba Asmadi (No. 51, Jalan Ixora 1/13) sebagai AJK Dalaman bagi menggantikan Ustaz Zuki yang telah meletakkan jawatan.
2. Bersetuju untuk bekerjasama dengan penduduk Jalan Ixora 1/13 bagi menganjurkan Pertandingan Futsal Kejiranan Taman Ixora pada 18 Julai 2010.
3. Bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2 Oktober 2010 (Sabtu) jam 8.30 malam.
4. Persatuan telah membuka satu lagi akaun (Maybank) untuk urusan kewangan persatuan pada 25 Mei 2010.
5. Bersetuju untuk mengadakan program Ihya' Ramadhan dengan memasak bubur lambuk pada hari Sabtu minggu pertama dan minggu ketiga puasa bertempat di Taska Permata Ixora. Bubur lambuk akan diedarkan kepada semua penduduk Taman Ixora.
6. Setiausaha memaklumkan seramai 62 orang penduduk telah melengkapkan borang penyertaan Takaful Khairat Kematian Taman Ixora.
7. Bersetuju untuk mengadakan Program Kitar Semula di Taman Ixora pada 8 Ogos 2010.
8. Perjumpaan dengan pihak Getrahome mengenai status Surau Balai Islam telah diadakan pada 30 Jun 2010. Pihak Getrahome besetuju untuk menampung 50% daripada kos projek. Anggaran RM100,000 untuk membina surau berkenaan.
9. Bersetuju dengan cadangan projek Dataran Serbaguna sebagai hadiah Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009. 62 % penduduk telah bersetuju dengan cadangan berkenaan selepas borang survey diedarkan kepada penduduk.

Mesyuarat berakhir jam 11.30 malam.

Tuesday, July 13, 2010

Keputusan Survey Cadangan Projek Infra Taman Ixora

Sehingga 13 Julai 2010, seramai 69 orang responden/ penduduk telah mengembalikan borang survey yang telah diedarkan kepada semua penduduk Taman Ixora. Berikut adalah keputusan survey berkenaan:-

- 51% menyokong cadangan membina sebuah Dataran Serbaguna di Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora
-36 % menyokong cadangan membina sebuah Gelanggang Futsal di Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora
- 13 % mengemukakan cadangan lain

Berdasarkan kepada keputusan survey berkenaan, majoriti penduduk menyokong cadangan untuk membina sebuah Dataran Serbaguna di Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora. Sehubungan itu Persatuan Penduduk Taman Ixora akan mengemukakan cadangan berkenaan kepada pihak Majlis Perbandaran Sepang dalam masa yang terdekat untuk pertimbangan yang sewajarnya.