Monday, December 26, 2011

Progres Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora Sehingga 26 Disember 2011



Status semasa : Pemasangan siling dan plaster dinding.


Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, December 11, 2011

Progres Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora Sehingga 11 Disember 2011



Status semasa : Pemasangan bumbung dan kerja-kerja elektrikal.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Majlis Perkahwinan Anak Ahli Persatuan (En. Abdul Jaafar)

Seorang ahli PPTI iaitu En. Abdul Jaafar Bin Abdul Ghany telah mengadakan majlis perkahwinan anak beliau pada 11 Disember 2011 (Ahad), bertempat di No. 20, Jalan Ixora 1/2, Taman Ixora. Beliau telah menjemput semua ahli Persatuan Penduduk Taman Ixora ke majlis perkahwinan anak beliau.

Alhamdulillah majlis yang diadakan telah berjalan lancar. Penduduk di kejiranan Jalan Ixora 1/2 telah bergotong-royong membantu beliau dan keluarga semasa majlis berkenaan. Ramai tetamu yang hadir memeriahkan majlis. PPTI mengucapkan selamat pengantin baru kepada anak beliau dan semoga berbahagia ke akhir hayat.

Saturday, December 10, 2011

Pelaksanaan Pemberian Bantuan Tunai RM500 Bagi Meringankan Beban Kos Hidup Rakyat

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia

Kenyataan Akhbar YB Menteri Kewangan II
Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Pelaksanaan Pemberian Bantuan Tunai RM500 Bagi Meringankan Beban Kos Hidup Rakyat

1. Pada pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini, Kerajaan telah mengumumkan untuk memberi bantuan tunai, secara one-off, sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Bantuan ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat.

2. Isi rumah yang layak memohon merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah atau ketua keluarga. Ini merangkumi individu:
- Berkahwin termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa;
- Ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan;
- Individu (bujang, duda, ibu tunggal) bujang yang mempunyai tanggungan; dan
- Warga emas sebatang kara 


3. Ketua isi rumah yang berkerja sendiri juga adalah layak untuk memohon.
 
4. Kerajaan memutuskan, pendaftaran permohonan Bantuan Tunai RM500 akan dibuat mulai hari Sabtu, 10 Disember 2011 untuk tempoh satu bulan. Borang-borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut, di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta agensi-agensi Kerajaan.
 
5. Borang yang lengkap di isi berserta salinan Kad Pengenalan hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah-sekolah terpilih serta pejabat-pejabat cawangan LHDNM
 
6. Pembayaran Bantuan RM500 akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari 2012.
 
7. Bantuan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini. Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM2.6 bilion 

Sila klik di sini untuk memuat turun borang (dimuatrurun dari laman web Kementerian Kewangan).

Kementerian Kewangan Malaysia
30 November 2011

Tuesday, November 29, 2011

Ixora Johan Kejohanan Liga Badminton Tertutup Berkumpulan Zon BBST Utara Sepang Tahun 2011

Pasukan badminton Taman Ixora telah dinobatkan sebagai Johan bagi Kejohanan Liga Badminton Tertutup Berkumpulan Zon BBST Utara Sepang Tahun 2011 anjuran JPP Zon BBST Utara, PeBT Zon BBST Utara dan Majlis Perbandaran Sepang bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi. Peserta telah dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Setiap pasukan terdiri daripada tiga regu dan satu regu simpanan. Taman Ixora menghantar satu pasukan ke kejohanan berkenaan.

Kumpulan A
- Seroja A, MIAT Shuttler, Mawar, Desa Vista

Kumpulan B
- Seroja B, MIAT Eagles, Ixora, Dahlia

Jadual perlawanan dan keputusan yang melibatkan pasukan Ixora adalah seperti di bawah:

Peringkat Kumpulan
- 15 November 2011 (Ixora vs Dahlia) - Keputusan Ixora Menang2 - 1
- 17 November 2011 (Ixora vs Seroja B) - Keputusan Ixora Menang3 - 0
- 22 November 2011 (Ixora vs MIAT Eagles) - Keputusan Ixora Menang : 2 - 1

Separuh Akhir 2
- 24 November 2011 (Ixora vs Seroja A) - Keputusan Ixora Menang : 2 - 1

Perlawanan Akhir
- 29 November 2011 - 9.30 Malam - (Ixora vs MIAT Shuttler) - Keputusan Ixora Menang : 2 - 1

Johan pertandingan menerima hadiah wang tunai RM300 dan piala.

Pasukan Taman Ixora terdiri daripada:
Pengurus : En. Salleh Bin Sufian
Penolong Pengurus : En. Mohd Faisal Bin Omar
Senarai Pemain :
1. Hj. Mohd Noor Bin Hj. Said (No. 21, Jln 1/2)
2. Shahril Azam Bin Abdul Kahar (No. 19, Jln 1/13)
3. Sameri Bin Abdullah (No. 128, Jln 1/1)
4. Abdul Rashid Bin Abdul Malek (No. 5, Jln 1/5)
5. Noranizam Bin Mohd Sahil (No. 12, Jln 1/10)
6. Abdul Hafiz Bin Ahmad (No. 8, Jln 1/4)
7. Mohd Azri Bin Ahmad Khuzari (No. 26, Jln 1/11)
8. Mohd Nazri Bin Mohd Ghazali (No. 21, Jln 1/10)

Persatuan penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain yang telah mengharumkan nama Taman Ixora. PPTI juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada penyokong/ penduduk Taman Ixora yang telah memberikan sokongan yang jitu kepada pasukan Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, November 28, 2011

Kejadian Samun Bersenjata di Taman Ixora

Pada 28 November 2011 (Isnin), anggaran jam 3.00 pagi berlaku satu kejadian samun bersenjata di rumah No. 16, Jalan Ixora 1/10, Taman Ixora. Kejadian berkenaan dilakukan oleh empat(4) orang perompak warga Indonesia bersenjatakan pisau. Perompak berkenaan memasuki rumah melalui pintu gelongsor sisi rumah menggunakan pemotong jeriji besi.

Menceritakan mengenai kejadian berkenaan, pemilik rumah (Tuan Syed), tersedar daripada tidur dan mendapati perompak berkenaan telah mengacukan pisau kepada beliau dan isteri. Beliau tidak melawan dan mengikut arahan yang diberikan oleh perompak berkenaan. Anggaran kerugian adalah RM10,000 yang terdiri daripada jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai. Barang yang paling berbahaya dirompak adalah sepucuk pistol milik beliau (beliau merupakan seorang anggota Polis). Orang ramai dipohon supaya berhati-hati kerana perompak berkenaan telah memiliki senjata api.

Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak Polis yang tiba sejurus kemudian. Unit anjing pengesan telah digunakan untuk mengesan jejak perompak berkenaan. Ekoran daripada kejadian berkenaan satu serbuan telah dilakukan oleh pihak Polis ke rumah kongsi berhampiran Taman Ixora. Beberapa orang penghuni warga Indonesia yang tidak  mempunyai dokumen perjalanan dan disyaki terlibat telah di bawa ke Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi untuk siasatan lanjut. Beberapa jiran terdekat turut keluar rumah membantu dan memberikan sokongan moral kepada beliau dan keluarga.

Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon kepada semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dalam waktu terdekat. Kemungkinan kejadian seumpama ini akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Sunday, November 27, 2011

Selamat Tahun Baru 1433 Hijrah

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 1433 Hijrah kepada semua penduduk Taman Ixora. Bersama-samalah kita menghayati sirah penghijrahan nabi Muhammad S.A.W. dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Berhijrahlah ke arah yang lebih baik dari segala segi termasuklah amal ibadah dan kehidupan seharian. Jadikanlah amal ibadah kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani", surah al Baqarah ayat 218.

Tema Maal Hijrah 1433H Peringkat Kebangsaan adalah Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Thursday, November 17, 2011

Takziah Kepada Keluarga Ahli PPTI Yang Meninggal Dunia Kerana Kemalangan Jalanraya

Adalah dimaklumkan seorang ahli PPTI, En. Azizan Bin Abdul Rahim (No. 8, Jalan 1/1, Taman Ixora) telah terlibat dalam kemalangan jalanraya di persimpangan keluar/ masuk Universiti Kuala Lumpur (MIAT) dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kejadian berlaku pada 17 November 2011 (Khamis), anggaran pukul 5.50 pagi. Beliau dalam perjalanan ke tempat kerja dengan memandu motosikal dari Taman Ixora ke Universiti Putra Malaysia.

Motosikal yang ditunggang oleh beliau telah bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. Pemandu kereta yang melanggar beliau telah membuat laporan Polis dan mengakui kesilapan memasuki laluan bertentangan kerana mengelak sebuah lori.

Jenazah beliau telah di bawa oleh trak Polis ke Hospital Putrajaya. Pemandu kereta berkenaan turut hadir ke Hospital Putrajaya untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham. Jenazah berkenaan kemudiannya dimandikan dan dikafankan di Hospital Putrajaya oleh petugas Badan Khairat Kematian Masjid Sultan Hisamudin, Bandar Baru Salak Tinggi. Jenazah kemudiannya disembahyangkan di ruang Bilik Mayat Hospital Putrajaya sebelum bertolak balik ke Alor Setar, Kedah pada jam 1.45 petang untuk dikebumikan di kampung halaman beliau. Turut hadir ke Hospital Putrajaya adalah jiran-jiran, sanak-saudara, kawan-kawan, rakan pejabat, Pengerusi PPTI, Timb. Pengerusi PPTI, Setiausaha PPTI dan Bendahari PPTI.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mendoakan semoga roh beliau di tempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Al- Fatihah.

Sunday, November 13, 2011

Progres Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora Sehingga 13 November 2011


Status semasa : Pemasangan kekuda bumbung dan kerja-kerja elektrikal.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, November 7, 2011

Ibadah Qurban 1432H/2011M Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menganjurkan ibadah Qurban 1432H/2011M pada butiran berikut:

Tarikh : 7 November 2011 (Isnin)
Masa : 8.00 Pagi hingga 1.00 Petang
Tempat : Tapak Surau Taman Ixora dan Taska Cendekiawan

Sebanyak lima (5) ekor lembu telah dikorbankan pada hari tersebut. Terima kasih diucapkan kepada pihak pemaju (Getrahome) kerana telah menyumbangkan dua(2) ekor lembu untuk dikorbankan dan diedarkan kepada pekerja binaan dan penduduk Taman Ixora.

Alhamdulillah, program yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Penduduk yang hadir hadir telah bergotong-royong melapah lembu dan mengagihkan daging korban kepada penduduk Taman Ixora, pekerja binaan dan rumah kebajikan yang telah dikenalpasti.

Program berkenaan turut diserikan dengan insiden salah seekor daripada lembu korban terlepas daripada ikatan tali dan berlaku adegan kejar-mengejar di sekeliling kawasan perumahan Taman Ixora. Alhamdulillah lembu berkenaan berjaya ditangkap semula tidak lama kemudian dan disembelih tidak jauh daripada tempat ia ditangkap. Walaubagaimanapunpun terdapat sedikit kerosakan kepada pagar rumah seorang penduduk Taman Ixora akibat insiden berkenaan. InsyaAllah, kerosakan berkenaan akan dibaiki dan kos akan ditanggung di bawah bajet penganjuran majlis korban ini. 

InsyaAllah program ini akan dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak penyertaan korban daripada penduduk. Ibadah korban ini adalah untuk mengingati sirah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Semoga ibadah korban yang dilakukan oleh penduduk berkenaan akan mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Tuesday, November 1, 2011

Kejadian Kebakaran Kecil di Rumah AJK PPTI

Pada 31 Oktober 2011 (Isnin), lebih kurang jam 4.00 petang berlaku satu kejadian kebakaran kecil di rumah AJK PPTI (Puan Noraini Bt Saadun - No. 32, Jalan Ixora 1/11). Kejadian berkenaan disedari oleh jiran sebelah rumah beliau yang bertindak menelefon beliau dan suami. Pada masa kejadian Puan Noraini dan suami berada di pekan Salak. Sejurus menerima panggilan telefon, beliau bergegas pulang ke rumah dan sempat mematikan punca api yang menyebabkan kebakaran berkenaan.

Kejadian berkenaan turut dilaporkan kepada BOMBA dan Penyelamat yang tiba sejurus kemudian. Beberapa orang penduduk dan wakil Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora turut hadir membantu dan memberikan sokongan moral. Anggaran kerosakan berjumlah RM6,000.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mendoakan semoga beliau bersabar dengan musibah yang berlaku kerana setiap kejadian itu ada hikmahnya. Kepada penduduk yang berkelapangan bolehlah melawat beliau di rumah.

Monday, October 31, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha 1432H/ 2011M

InsyaAllah Hari Raya AidilAdha pada tahun ini akan disambut pada 6 November 2011 (Ahad), bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1432H. Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha, Maaf Zahir Batin kepada semua penduduk Taman Ixora. Kepada penduduk Taman Ixora yang mengerjakan ibadat haji pada tahun ini adalah didoakan semoga mendapat haji yang mabrur dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Kepada penduduk yang berkelapangan pada 7 November 2011 (Isnin), bersama-samalah kita mengimarahkan ibadah qurban yang akan diadakan di Taman Ixora. Kerjasama anda semua bergotong-royong dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwah di antara penduduk Taman Ixora.

Saturday, October 29, 2011

Taklimat Pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora

Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah diluluskan tiga (3) Skim Rondaan Sukarela iaitu Zon A, Zon B dan Zon C. Taklimat mengenai pelaksanaan skim berkenaan telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 30 Oktober 2011 (Ahad)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Bilik Kuliah Masjid Sultan Hisamudin BBST
Penceramah : En. Musa Bin Othman (Pembantu Pembangunan Masyarakat Daerah Sepang)

Sila klik di sini untuk melihat senarai nama ahli Skim Rondaan Sukarela KRT Taman Ixora bagi setiap zon. Borang permohonan ahli SRS turut diedarkan semasa taklimat berkenaan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, October 28, 2011

Monday, October 24, 2011

Pertandingan Boling Keluarga Taman Ixora Tahun 2011

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan Pertandingan Boling Keluarga Taman Ixora Tahun 2011 pada butiran berikut:

Tarikh : 30 Oktober 2011 (Ahad)
Masa : 2.00 petang hingga 4.00 petang
Tempat : ARL Bowl, Alamanda, Putrajaya

Seramai 48 orang peserta yang terdiri daripada 12 pasukan menyertai pertandingan ini. Setiap pasukan diwakili oleh 4 orang peserta. Setiap pasukan bermain 2 game. Sila klik di sini untuk melihat senarai penuh pemain.

Berikut adalah keputusan pertandingan:
Johan (Piala pusingan, medal dan hamper)
- Pasukan 9 (Mohd Hasiady, Nor Hafisah, Mohd Subhi dan Meor Mohamad Nizam) - 999 skor

Naib Johan (medal dan hamper)
- Pasukan 11 (Barkath Ali, Noruhaiza, Noraznol Adly dan Azlin) - 918 skor

Tempat Ketiga (medal dan hamper)
- Pasukan 5 (Zulkefli, Roziah, Nashrul dan Amirrul) - 899 skor

Tempat Keempat (medal dan hamper)
- Pasukan 7 (Muhamad Faisal, Noraziani, Norazam dan Norhisham) - 883 skor

Jatuhan Pin Tertinggi Lelaki (medal)
- Mohd Subhi Bin Sudin (Jln /10) - 309 skor

Jatuhan Pin Tertinggi Wanita (medal)
- Roziah Bt Sahni (Jln 1/13) - 245 skor

Bayaran penyertaan yang dikenakan adalah RM15 bagi setiap peserta dan diskaun yuran penyertaan diberikan kepada ahli PPTI yang aktif dan membayar yuran keahlian. InsyaAllah pertandingan ini akan dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak penyertaan daripada penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, October 23, 2011

Pertandingan Badminton Tertutup Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan Pertandingan Badminton Tertutup Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 23 Oktober 2011 (Ahad)
Masa : 8.00 Pagi hingga 2.00 Petang
Tempat : Dewan Badminton Kuarters KLIA

Dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori Dewasa dan Kategori Remaja. Kategori Dewasa disertai oleh 20 regu dan Kategori Remaja disertai oleh 6 regu.

Keputusan pertandingan adalah seperti berikut:
Kategori Dewasa :
- Johan (Nizam/ Sabri) - Piala pusingan, medal dan hamper
- Naib Johan (Khalish/ Syahril) - Medal dan hamper
- Tempat Ketiga (Azri/ Shahrizan) - Medal dan hamper
- Keempat (Sameri/ Salleh) - Medal

Kategori Remaja:
- Johan (Arif/ Lokman) - Hamper
- Naib Johan (Ashraf/ Azwan) - Hamper

Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Semoga semangat kesukanan dikalangan penduduk Taman Ixora akan berterusan pada masa akan datang. Terima kasih juga diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa dan Urusetia yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menjayakan pertandingan ini. InsyaAllah pertandingan ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak penyertaan daripada penduduk.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, October 15, 2011

Wednesday, October 12, 2011

Notis Kelulusan Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora

Sukacita dimaklumkan bahawa Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah diluluskan penubuhan Skim Rondaan Sukarela Zon A, Zon B dan Zon C oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Notis Kelulusan Skim Rondaan Sukarela telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional selaku Ketua Pengarah Rukun Tetangga sejajar dengan peruntukan Peraturan 27B, Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 adalah berkuatkuasa pada 8 September 2011.

Salinan Notis Kelulusan Skim Rondaan adalah seperti di lampiran:
- SRS KRT Taman Ixora Zon A
- SRS KRT Taman Ixora Zon B
- SRS KRT Taman Ixora Zon C

Sunday, September 25, 2011

Majlis Hari Raya Aidilfitri Taman Ixora

Majlis Hari Raya Aidilfitri Taman Ixora pada tahun ini telah diadakan pada butiran berikut:-

Tarikh : 25 September 2011 (Ahad)
Masa : 8.00 malam hingga 10.30 malam
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Aturcara majlis:
- Bacaan doa
- Ucapan aluan Pengerusi PPTI dan KRT Taman Ixora
- Ucapan perasmian Ahli Majlis Zon BBST Selatan (En. Titus Gladwyn A/L SG Gomez)
- Jamuan makan
- Cabutan bertuah
- Sumbangan duit raya kepada anak-anak Taman Ixora (bawah 12 tahun)

Diantara menu jamuan yang akan disediakan:
- Barbeque ayam, Nasi tomato, Lemang, Nasi impit, Rendang daging, Nasi lemak
- Kerang rebus, Mee goreng, Roti jala, Char kuey tiaw, Otak-otak, Nuget dan kentang goreng
- Puding, Bihun goreng dan kuih-muih
- Buah-buahan, Bubur kacang, Kerang rebus, Dadih, Air batu campur (ABC), Aiskrim
- Cendol balang, Teh tarik, Sirap dan Oren
- Air mineral

Alhamdulillah majlis yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Semoga ikatan ukhuwah di kalangan penduduk Taman Ixora akan bertambah kukuh dan memberi peluang kepada penduduk untuk bermaaf-maafan dan beramah mesra di antara satu sama lain.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah dan terima kepada semua Ahli Jawatankuasa PPTI dan AJK KRT Taman Ixora yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada pihak yang memberikan seumbangan seperti berikut:-
- Pemaju Getrahome Sdn. Bhd. menyumbang tunai RM2,000
- Ahli Parlimen Daerah Sepang menyumbang tunai RM2,000
- Ahli Majlis menyumbang khemah, peralatan dan makanan RM1,000


Jumlah perbelanjaan adalah RM 7,000 seperti berikut:
- Barbeque ayam - RM900
- Nasi tomato - RM1,000
- Roti jala dan kuah - RM300
- Buah-buahan - RM300
- Sumbangan duit raya anak-anak Ixora RM1,000
- Air mineral - RM200
- Teh tarik, oren dan sirap - RM300
- ABC - RM500
- Char Kuew Tiau - RM500
- Hamper cabutan bertuah - RM300
- Otak-otak - RM500
- Nuget/ kentang goreng - RM300
- Rendang dan nasi impit - RM300
- Lemang - RM300
- Peralatan pingggan, magkuk - RM200
- Lain-lain RM100

InsyaAllah majlis ini akan dianjurkan dengan lebih meriah lagi pada tahun hadapan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, September 24, 2011

Penyelenggaraan Lampu Spotlight di Taman Permainan Ixora

Pemaju (Getrahome Sdn. Bhd.) telah melantik kontraktor untuk menyelenggara lampu spotlight di Taman Permainan Kanak-kanak Taman Ixora. Kerja-kerja berkenaan telah dilakukan pada 24 September 2011 (Sabtu), jam 4.00 petang. Kontraktor yang dilantik telah menukar empat(4) set lampu spotlight berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada pihak pemaju yang telah menyelenggara lampu berkenaan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, September 17, 2011

Friday, September 16, 2011

Majlis Hari Raya Aidilfitri Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora

Penduduk di Jalan Ixora 1/1 telah mengadakan Majlis Hari Raya Aidilfitri Tahun 2011 pada 16 September 2011 (Jumaat), jam 8.30 malam. Majlis yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Persatuan Penduduk Taman Ixora amat mengalukan program seperti ini dianjurkan oleh penduduk kerana dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah di antara satu sama lain.

Sunday, August 21, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin


Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua penduduk Taman Ixora. Kami juga ingin memohon jutaan kemaafan sekiranya sepanjang kami mengendalikan persatuan ini terdapat kekurangan, terkasar bahasa dan sebagainya. Menjelang Aidilfitri yang mulia ini marilah kita mengucapkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana berjaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Monday, August 15, 2011

Kerja-kerja Penentuan Arah Kiblat Surau Balai Islam Taman Ixora

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah melakukan kerja-kerja penentuan arah kiblat Surau Balai Islam Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 18 Ogos 2011 (Khamis)
Masa : 2.30 petang hingga 4.30 petang
Tempat : Tapak Surau Balai Islam Taman Ixora

Penentuan arah kiblat hendaklah dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora dimulakan. Wakil daripada pemaju (Getrahome), Kontraktor, Surveyor dan Jawatankuasa Surau turut hadir sama semasa kerja-kerja berkenaan dilakukan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sila klik di sini untuk mendapatkan pamplet panduan penentuan arah kiblat.

Saturday, August 13, 2011

Program Gotong Royong Memasak Bubur Lambuk Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan program gotong-royong memasak bubur lambuk Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 13 Ogos 2011 (Sabtu)
Masa : 8.00 Pagi hingga 5.00 Petang
Tempat : Tadika Cendekiawan Educare, Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora

Kerja-kerja memasak bubur lambuk Taman Ixora bermula seawal pada jam 6.30 pagi dengan membeli barangan keperluan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Program yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Penduduk telah bergotong-royong memotong daging, mengupas bawang dan ramuan lain, memasak, mengacau, membungkus dan mengedarkan bubur lambuk.

Sebanyak lima (5) periuk bubur lambuk telah dimasak. Bubur lambuk yang siap dimasak diedarkan kepada semua penduduk Taman Ixora. Satu (1) periuk bubur lambuk yang siap dibungkus telah diedarkan kepada pekerja kontrak (kongsi) Getrahome.

Sebanyak 80 bungkus bubur lambuk juga telah diedarkan kepada anak-anak yatim di Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Kota Warisan. Semoga sumbangan ikhlas ini mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penduduk Taman Ixora yang turut serta bergotong-royong memasak bubur lambuk. Semoga kudrat yang tuan-tuan berikan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala di bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini.

Pihak pemaju perumahan Taman Ixora (Getrahome) telah memberikan sumbangan kewangan sebanyak RM1,750.00 untuk membiayai kos memasak bubur lambuk. Tadika Cendikiawan Educare turut menyumbang sebanyak RM200.00 untuk program ini. Terima kasih diucapkan. Terima kasih juga diucapkan kepada Tadika Cendekiawan Educare kerana telah memberikan kebenaran menggunakan kemudahan tempat, elektrik dan air.

Kos sebenar memasak bubur lambuk berkenaan adalah RM1,462.40 seperti berikut :-
- Banner - RM100.00
- Daging - RM425.00
- Barangan basah - RM45.00
- Barangan kering - RM391.85
- Santan - RM 140.00
- Perkakasan - RM123.05
- Gas memasak - RM 107.50
- Sewa periuk - RM100.00
- Bil telefon - RM30.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Thursday, August 11, 2011

Kejadian Kecurian di Jalan Ixora 1/5

Dimaklumkan satu kejadian kecurian pada telah berlaku pada 11 Ogos 2011 (Khamis), dalam lingkungan jam 12.00 tengahari di rumah No. 8, Jalan Ixora 1/5, Taman Ixora. Pemilik kediaman melaporkan kehilangan sebuah motosikal Yamaha LC, 2 buah telefon bimbit dan sebuah playstation.

Berikutan kejadian ini, Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dengan kejadian jenayah yang berlaku pada masa ini terutama bulan Ramadhan.

Saturday, July 30, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1432H/ 2011M


InsyaAllah kita akan berpuasa pada hari Isnin (1 Ogos 2011).

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua penduduk Taman Ixora. Perbanyakkanlah amalan kita di bulan yang mulia ini. Semoga puasa  dan amalan yang kita kerjakan pada bulan ini mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sunday, July 24, 2011

Majlis Pecah Tanah Surau Balai Islam Taman Ixora

Jawatankuasa Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Surau Balai Islam Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 24 Julai 2011 (Ahad)
Masa : 10.00 Pagi
Tempat : Tapak Surau Balai Islam Taman Ixora
Dirasmikan oleh : Dato' Shamsuddin Hayroni (Pengerusi Eksekutif Getrahome Sdn. Bhd.)

Alhamdulillah, majlis yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Semoga dengan pembinaan surau ini akan memberikan manfaat kepada seluruh penduduk Taman Ixora. Pembinaan sebuah surau di Taman Ixora telah dinanti oleh penduduk Taman Ixora sejak sekian lamanya. Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan doa kita semua.

Diantara aktiviti yang boleh dijalankan di surau adalah:
- Solat berjemaah
- Kelas mengaji Al-Quran
- Aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah dan sebagainya
- Sebarang aktiviti kemasyarakatan

Kos penganjuran majlis RM1,250.00
- Sewaan khemah RM400.00
- Jamuan ringan RM750.00
- Banner RM100.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, July 23, 2011

Barbeque Sempena Penutup Minggu Keselamatan Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan Barbeque sempena penutup Minggu Keselamatan Taman Ixora seperti butiran berikut:

Tarikh : 23 Jun 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 Malam hingga 1.00 Pagi
Tempat : Tapak Surau Balai Islam Taman Ixora

Tujuan program ini dianjurkan adalah seperti berikut:
- Berkongsi pengalaman dan bertukar fikiran mengenai kejadian jenayah yang telah berlaku di Taman Ixora
- Merumuskan hasil kajian/ survey minggu keselamatan yang telah diadakan
- Merapatkan hubungan silaturrahim di antara satu sama lain
- Menghargai jasa dan pengorbanan penduduk yang telah membuat kawalan keselamatan di Taman Ixora secara sukarela
- Merapatkan hubungan di antara penduduk dengan pihak polis dan skuad pemantau PTT (Push To Talk)

Kos penganjuran program RM400
- Jamuan dan peralatan RM400

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Gotong Royong Cegah Denggi Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menganjurkan Program Gotong Royong Cegah Denggi di Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 23 Julai 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 Pagi
Tempat Berkumpul : Tapak Surau Taman Ixora

Program ini perlu dilaksanakan kerana mulai 18 Julai 2011, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengisytiharkan Taman Ixora sebagai kawasan wabak denggi.

Diantara aktiviti yang telah dilaksanakan:
1. Penduduk berkumpul di tapak surau Taman Ixora. Mula bergerak mengikut lorong masing-masing dan membersihkan kawasan sekitar rumah.
2. Membuang semua bekas-bekas yang boleh menakung air bagi pembiakan nyamuk Aedes.
3. Mencantas pokok-pokok bunga, pokok dan semak di belakang rumah penduduk.
4. Berkumpul semula di tapak surau Taman Ixora untuk menikmati jamuan ringan.

Program gotong-royong ini tidak mendapat sambutan daripada penduduk Taman Ixora. Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora sudah menganjurkan program yang sebaiknya kepada penduduk Taman Ixora bagi mengelakkan kawasan Taman Ixora menjadi wabak demam denggi. Walaubagaimanapun semua yang diusahakan ini terpulang kepada penduduk sendiri untuk menilai dan memberikan kerjasama.

Kos penganjuran program RM531.60:
- Jamuan ringan RM300.00
- Peralatan RM131.60
- Banner RM100.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Wednesday, July 20, 2011

Kejadian Pecah Masuk Rumah Siang Hari di Jalan Ixora 1/1

Pada 20 Julai 2011 (Rabu), berlaku satu kejadian pecah masuk rumah penduduk No. 2, Jalan Ixora 1/1. Kejadian berkenaan disedari oleh tuan rumah selepas pulang dari kerja jam 8.00 malam. Kejadian dipercayai berlaku dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang semasa ketiadaan tuan rumah. Kehilangan sebuah laptop dan beberapa barangan berharga dilaporkan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon penduduk Taman Ixora supaya sentiasa berwaspada dengan kejadian jenayah yang berlaku akhir-akhir ini. Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati penduduk di Fasa 1B dan 1C supaya memasang pad lock di jeriji besi rumah. Dimaklumkan oleh pihak polis, jeriji besi ini amat senang dibuka/ dipecah masuk. Penduduk di perumahan Fasa 1B dan IC terdedah kepada kejadian ini.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Tuesday, July 19, 2011

Notis Penutupan Premis Kerana Pembiakan Aedes


Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan Notis Penutupan Premis Tapak Bina Taman Ixora mulai daripada 19 Julai 2011 jam 5.00 petang hingga 26 Julai 2011 (7 hari) supaya kerja-kerja pembersihan dijalankan sehingga premis ini tidak lagi boleh membiakkan atau memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit.

Berdasarkan kepada laporan pemeriksaan pegawai kesihatan, beberapa tempat takungan nyamuk Aedes telah dijumpai di kawasan premis berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati penduduk supaya membersihkan kawasan rumah dan membuang tempat pembiakan nyamuk Aedes. Hadkan pergerakan keluar masuk rumah pada waktu awal pagi dan lewat petang. Ini adalah kerana Taman Ixora telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi.

Saturday, July 16, 2011

Minggu Keselamatan di Taman Ixora

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan Minggu Keselamatan di Taman Ixora. Butiran aktiviti adalah seperti berikut:-

Tarikh : 16 hingga 24 Julai 2011
Tempat : Kejiranan Taman Ixora

Tujuan minggu keselamatan diadakan adalah:
1. Memberikan kesedaran dan hebahan kepada penduduk Taman Ixora mengenai kejadian jenayah samun yang semakin menjadi-jadi di Taman Ixora sejak kebelakangan ini. Beberapa kes yang telah berlaku akan diwar-warkan untuk pengetahuan bersama.
2. Mengedarkan borang survey mengenai cadangan untuk mewujudkan kawalan keselamatan berbayar di Taman Ixora.

Kaedah:
1. Mengedarkan borang dan memberikan pendedahan kepada penduduk mengenai aspek keselamatan.
2. Menaikkan banner untuk pengetahuan penduduk.
3. Hasil survey berkenaan akan dikumpulkan dan keputusan akan dimaklumkan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, July 15, 2011

Perjumpaan PPTI Dengan Pemaju Mengenai Status Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan perjumpaan dengan wakil pemaju mengenai status pembinaan Surai Balai Islam Taman Ixora seperti butiran berikut:

Tarikh : 15 Julai 2011 (Jumaat)
Tempat : Pejabat Urusan Getrahome, Shah Alam
Masa : 10.30 Pagi hingga 11.30 Pagi

Wakil PPTI:
1. Hj Mohd Noor Bin Hj. Said (Pengerusi)
2. Zainal Abidin Bin Ahmad (Penolong Setiausaha)

Wakil Pemaju (Getrahome):
1. Akmar Fairuz (Pengarah Pembangunan dan Hartanah)
2. Puan Suhana (Arkitek)

Berikut adalah keputusan yang dibuat secara bersama:
1. Getrahome bersetuju untuk menampung sepenuhnya kos pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora. Kontraktor bagi pembinaan surau telah dilantik. Anggaran kos adalah RM200,000.
2. Majlis Pecah Tanah Surau Balai Islam Taman Ixora akan diadakan pada 30 Julai 2011 (Sabtu), jam 9.00 pagi, bertempat di tapak surau, Taman Ixora. Pemaju bersetuju untuk memberikan sumbangan kewangan bagi menganjurkan majlis berkenaan. Pihak pengurusan Getrahome akan merasmikan majlis berkenaan. Beberapa tetamu kehormat lain akan dijemput untuk meraikan majlis. Banner akan dinaikkan dan semua penduduk Taman Ixora dijemput hadir.
3. Proses pembinaan akan dimulakan dengan kadar segera selepas majlis pecah tanah dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidil Adha.

Hal-hal Lain:
1. Papan tanda Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009 akan dibina secara kekal apabila projek fasa 4 siap dilaksanakan.
2. Pihak pemaju mengambil maklum mengenai minit dan tindakan yang perlu diambil semasa Majlis Dialog Bersama Pemaju dan Penduduk Taman Ixora pada 27 Februari 2011. Tindakan susulan ke atas semua aduan yang dikemukakan akan diambil dalam waktu terdekat.
3. Pihak pemaju bersetuju untuk memberikan sumbangan kewangan bagi program bubur lambuk Taman Ixora dan Majlis Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada wakil Getrahome kerana sudi mengadakan perjumpaan dan banyak menyokong usaha PPTI melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Wednesday, July 13, 2011

Selamat Menyambut Nisfu Sya'ban 1432H

InsyaAllah, Nisfu Sya'ban pada tahun ini akan disambut pada malam 15 Sya'ban 1432H bersamaan dengan 16 Julai 2011 (Sabtu) malam. Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Nisfu Sya'ban 1432H kepada semua penduduk Taman Ixora.

Berikut adalah amalan yang digalakkan pada malam Nisfu Sya'ban:
1. Apabila selesai solat Maghrib, hendaklah dibaca surah Yaa Sin dengan diniatkan mohon dipanjangkan umur dalam mentaati Allah S.W.T. kemudian dibacakan doa;
2. Dibaca Yaa Sin bagi kali kedua dan diniatkan supaya dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T. kemudian dibacakan doa; dan
3. Dibaca Yaa Sin bagi kali ketiga dan diniatkan supaya ditetapkan iman dan mati dalam iman kemudian dibacakan doa.
4. Berpuasa pada siang hari 15 Sya'ban (17 Julai 2011).

Saturday, July 9, 2011

Insiden Kemalangan Motosikal Melibatkan AJK PPTI

Adalah dimaklumkan seorang AJK PPTI (En. Zulkifli Bin Sukor, No. 19 Jalan Ixora 1/4) terlibat dengan satu insiden kemalangan motosikal pada hari Sabtu 9 Julai 2011, jam 8.00 pagi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Columbia, Seremban dan bermalam di hospital. Beliau telah dibenarkan keluar wad pada hari Ahad 10 Julai, jam 4.00 petang. Alhamdulillah beliau tidak mengalami kecederaan yang serius dengan beberapa kesan luka di tangan dan kaki kiri beliau.

Motosikal yang ditunggangi beliau telah terbabas semasa melalui kawasan air mengalir melintasi jalan di jalan Labu Lanjut. Keadaan jalan pada pagi itu adalah licin kerana hujan lebat. Motosikal berkenaan telah terseret ke seberang jalan dan melanggar seorang penunggang motosikal lain. Walaubagaimanapun penunggang motosikal yang dilanggar tidak mengalami kecederaan yang serius.

Kepada ahli persatuan yang berkelapangan bolehlah melawat beliau di rumah. Dimaklumkan juga beliau telah mendapat cuti sakit selama tujuh (7) hari. Persatuan Penduduk Taman Ixora mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Thursday, July 7, 2011

Pelan Surau Balai Islam Taman Ixora Telah Diluluskan Oleh MPSp

Alhamdulillah, permohonan kelulusan pelan Surau Balai Islam Taman Ixora telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Sepang di dalam Mesyuarat Unit Pusat Setempat (OSC) bertarikh 6 Julai 2011 (Rabu).

InsyaAllah, permohonan kita untuk mendirikan sebuah surau di Taman Ixora akan tercapai sedikit masa lagi. Bersama-samalah kita berdoa semoga segala urusan berkenaan pembinaan surau ini dipermudahkan oleh Allah S.W.T. demi kesejahteraan penduduk Taman Ixora.

Persatuan Penduduk Taman Ixora bersama-sama dengan pemaju (Getrahome Sdn. Bhd.) akan mengadakan majlis pecah tanah dan pelancaran Tabung Surau Balai Islam Taman Ixora dalam waktu terdekat. Di dalam siri perbincangan di antara PPTI dan wakil pemaju sebelum ini, Getrahome Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk menyumbangkan RM200,000 bagi membiayai pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora. Kutipan tabung surau akan digunakan untuk menampung kos-kos sampingan dan peralatan surau.

Sunday, July 3, 2011

Majlis Perkahwinan Anak Bendahari PPTI

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada Bendahari PPTI (En. Ismail Bin Muit) di atas Majlis Perkahwinan anak perempuan beliau pada 2 Julai 2011 (Sabtu).

Alhamdulillah majlis yang diadakan berjalan dengan lancar dengan ramainya tetamu yang hadir memeriahkan majlis. Semua AJK PPTI dan keluarga dijemput ke majlis perkahwinan berkenaan. Beliau turut menjemput penduduk Taman Ixora untuk meraikan majlis. PPTI mendoakan semoga perkahwinan anak perempuan beliau berkekalan hingga ke akhir hayat.

Thursday, June 30, 2011

Kejadian Samun Bersenjata Berlaku Lagi di Taman Ixora

Pada hari Jumaat, 1 Julai 2011, jam 3.00 pagi berlaku satu kejadian samun bersenjata di rumah no. 16, Jalan Ixora 1/9, Taman Ixora. Pemilik kediaman dan isteri diikat oleh tiga(3) orang lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang. Pemilik kediaman berkenaan cedera di tangan dan kaki kerana bertindakbalas kepada penyamun berkenaan. Walaubagaimanapun isteri dan anak beliau tidak diapa-apakan.

Kejadian berkenaan dilaporkan kepada Polis dan anggota tiba 20 minit kemudian. Beberapa orang penduduk yang dimaklumkan turut hadir membantu. Pemilik kediaman melaporkan kehilangan sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan sejumlah barang kemas.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menyeru semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dengan situasi yang berlaku. Sentiasa mengawasi kawasan sekitar perumahan dan memaklumkan kepada pihak Polis sekiranya terdapat suspek yang mencurigakan di sekitar taman perumahan kita.

Tuesday, June 28, 2011

Selamat Menyambut Israk Mikraj 1432H

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan selamat menyambut Israk dan Mikraj 1432 H pada 27 Rejab 1432H bersamaan 29 Jun 2011 kepada semua penduduk Taman Ixora. Sedikit sejarah dan peri pentingnya peristiwa Israk Mikraj ini dan pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa tersebut seperti berikut:

Secara dasarnya, maksud ‘Israk‘ ialah perjalanan (rehlah) yang Allah SWT perlakukan kepada Nabi s.a.w. secara terhormat, bermula dari Masjid al-Haram di Makkah hingga ke masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis di Palestin. Sementara maksud ‘Mikraj‘ pula ialah kejadian yang berlaku ekoran dari peristiwa Israk, iaitu naik dari al-Aqsa melepasi beberapa lapis langit yang tinggi, sampai ke suatu peringkat yang tertinggi iaitu suatu tempat bernama ‘Sidratul Muntaha’ di mana ilmu dan akal makhluk Allah di dunia iaitu manusia atau jin tidak mampu sampai kepadanya. Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang individu yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta baginda, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.

Diceritakan sebelum peristiwa ni berlaku Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada/ perut yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (’alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Isra” itu. Malah perkara ini telah dirakam oleh Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat yang pertama :

Maksudnya:
“Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Ha-raam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” Isra’ Dan Mikraj: 2

Pengajaran Pertama
Isra’ dan mikraj berlaku selepas kewafatan Siti Khadijah isteri kesayangan Rasulullah dan kewafatan bapa saudara Rasulullah iaitu Abu Talib. Kerana sedih dengan kewafatan kedua-dua orang yang disayangi, Baginda Rasulullah berhijrah ke Thaif tetapi Allah telah menentukan bahawa Baginda tidak diterima di Thaif. Selepas peristiwa ini, Allah SWT telah mengIsra’ dan mikraj Rasulullah mengadapNya. Secara ringkas pengajaran yang kita boleh ambil di sini adalah, Rasulullah sangat sedih dengan kewafatan orang yang disayanginya sehingga kesedihannya berlarutan berhari-hari. Kemudian ditimpa lagi dengan kesedihan kerana tidak diterima di Thaif. Kesedihan ini adalah hal dunia. Rasulullah sedih kerana hal dunia. Allah SWT mengubat kesedihan Rasulullah dengan mengIsra’ dan mikraj Rasulullah terus mengadap Allah SWT dan ternyata Rasulullah dapat menghilangkan rasa sedih baginda. Ini dapat menyedarkan kita, umat Islam bahawa Allah SWT adalah segala-galanya. Kesedihan yang kita alami kebanyakannya adalah hal dunia dan ia hanya dapat dipulihkan dengan Isra’ dan mikraj. Apakah Isra’ dan mikraj kita pada hari ini? Iaitu doa dengan sabar dan solat. Kita berserah pada Allah SWT, kita berdoa dan bersolat. Mendirikan solat merupakan satu Isra’ kita mengerjakannya dan jiwa kita Mikraj kepada Allah SWT. Malangnya kita pada hari ini tidak melakukan Isra’ dan mikraj ini. Kita hanya mendengar peristiwa Isra’ dan mikraj hanya berlaku pada Rasulullah. Namun diri kita jarang mendapat Isra’ dan mikraj sedangkan di dalam peristiwa Isra’ dan mikraj Rasulullah, Allah bukan sekadar mengfardhukan Solat itu hanya sekadar nama Solat yang perlu dijalan 5 waktu sehari semalam. Tetapi Allah SWT memberikan juga Isra’ dan mikraj kepada kita. Ketika solat, adakah wudhuk kita sempurna? Tukmaninah kita sempurna? Bacaan kita sempurna dan sebagainya. Jika ia belum sempurna, maka Isra’ kita belum sempurna. Kemudian, ketika kita mendirikan solat, adakah kita benar-benar bermikraj kepada Allah SWT? Sejauh mana fikiran dan jiwa kita kekal berhubung dengan Allah SWT ketika solat? Atau jiwa kita melayang entah ke mana. Jiwa kita perlu mikraj kepada Allah SWT dengan berserah, redha dan pasrah. Jika ini tidak dicapai, jiwa kita tidak kuat untuk mengharungi pelbagai halangan dan dugaan. Peristiwa Isra’ dan mikraj bukan sahaja Rasulullah mengalaminya. Ia juga untuk semua umat Islam untuk mengalamimya. Namun pengalaman mengalaminya sudah tentu istimewa untuk Rasulullah di mana Rasulullah berIsra’ dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian bermikraj mengadap Allah SWT. Manakala kita berIsra’ dengan gerakan solat yang betul disamping jiwa kita mikraj kepada Allah SWT.

Pengajaran Kedua
Isra’ dan mikraj berlaku pada tahun ke sebelas (11) kerasulan Rasulullah. Ini bermakna, sebelum Isra’ dan mikraj ini, umat islam mengambil masa 10 tahun untuk menguatkan jiwa mereka. Mereka dikukuhkan kepercayaan dan keimanan mereka pada Allah SWT dan Rasulullah. Perkara yang diingati ramai daripada peristiwa Isra’ dan mikraj adalah tentang kewajipan solat 5 waktu sehari semalam. Rasulullah menasihati kita umat islam agar menyuruh anak-anak kita mendirikan solat ketika umur 7 tahun dan rotan mereka jika tidak mendirikan solat ketika umur 10 tahun. 7 tahun kerana ketika ini, seorang kanak-kanak sudah memahami dengan sebaiknya tentang baik dan buruk. Jiwa mereka mampu beriman dengan sebenar-benarnya. Bukan iman ikut-ikutan. Kerana itu Rasulullah meminta umat Islam untuk menyuruh kanak-kanak berumur 7 tahun mendirikan solat. Kemudian 10 tahun adalah cukup untuk memantapkan jiwa mereka. Jika ibu bapa mendidik mereka sejak kecil dengan menguatkan jiwa mereka, mengajar mereka agar mereka sedar bahawa setiap apa yang mereka lakukan sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT Yang Maha Melihat, dan menanamkan keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT dan Rasulullah, pastinya tidak mempunyai masalah untuk mendirikan solat ketika umur 10 tahun.

Kesimpulan
Dua pengajaran yang saya bawakan daripada peristiwa Isra’ dan mikraj adalah berkenaan dengan soal jiwa. Keyakinan bahawa kebahagian adalah datangnya dari jiwa yang sejahtera dan HANYA ALLAH SWT yang dapat memberikan kesejahteraan itu. Kemantapan jiwa perlu dilakukan sejak kecil lagi. Disamping diri kita, kita seharusnya mendidik anakanak kita untuk memantapkan jiwa agar mencapai kepada kesedaran yang tertinggi. Jiwa yang positif akan dapat menyelesaikan semua masalah yang ada kerana kita benar-benar pasrah, redha, berserah kepada Allah SWT.

Pengajaran Isra’ dan mikraj bukan sekadar peristiwa-peristiwa di dalamnya sahaja tetapi berlakunya peristiwa itu sendiri juga menguji tahap keyakinan jiwa umat islam terhadap kesahihan berlakunya peristiwa itu. Ia adalah hal jiwa dan hati. Semoga kita memiliki jiwa yang positif di dalam kita menjalani hidup berTuhan iaitu meyakini TIADA Tuhan MELAINKAN ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah.

Wednesday, June 22, 2011

Ahli PPTI Menjalani Rawatan di Hospital

Pada 22 Jun 2011 (Selasa), jam 9.30 malam, Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Setiausaha dan dua (2) orang ahli telah melawat En. Muhammad Fuad (No. 10, Jalan Ixora 1/11) di Hospital KPJ, Seremban.

Beliau telah dimasukkan ke Wad Selasih, Tingkat 3, KPJ Seremban mulai daripada 18 Jun 2011, jam 11.00 malam kerana masalah kesihatan (batu karang). Beliau perlu menjalani rawatan lanjut kerana punca sebenar masalah dan kesan sampingan masih belum dikenalpasti oleh doktor pakar.

Kepada penduduk Taman Ixora yang berkelapangan bolehlah melawat beliau di wad berkenaan dan bersama-samalah kita berdoa semoga beliau cepat sembuh untuk menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Monday, June 13, 2011

Perjumpaan Penduduk Jalan 1/14 dan 1/15 Dengan Wakil PPTI

Satu sesi perjumpaan di antara penduduk Jalan 1/14 dan 1/15 dengan wakil Persatuan Penduduk Taman Ixora telah diadakan seperti butiran berikut:

Tarikh : 12 Jun 2011 (Ahad)
Masa : 9.30 Malam
Tempat : No. 28, Jalan 1/14

PPTI telah diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan beberapa orang ahli persatuan. Diantara perkara yang dibangkitkan ialah:

1. Membincangkan kejadian pecah rumah dan samun yang semakin menjadi-jadi di kejiranan Taman Ixora. Penduduk hendaklah berbuat sesuatu untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

2. Penduduk Jalan 1/14 dan 1/15 telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan kawalan keselamatan berbayar di Taman Ixora. Sebutharga daripada beberapa syarikat kawalan keselamatan telah diperolehi dan anggaran kos yang terlibat adalah RM6,000 sebulan bagi mewujudkan pos statik di jalan masuk Taman Ixora beserta 4 orang peronda bermotosikal 24 jam. Anggaran kos bagi sebuah rumah adalah RM30 sebulan dengan kadar minima 200 buah rumah yang menyertai program ini.

3. Persatuan Penduduk Taman Ixora menyambut baik cadangan yang dikemukakan dan bersetuju supaya diadakan satu survey secara menyeluruh kepada semua penduduk Taman Ixora bagi mendapatkan persetujuan serta pandangan daripada penduduk.

4. Dalam masa yang sama, borang permohonan untuk menyertai Skim Rondaan Sukarela, Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora akan turut diedarkan kepada penduduk yang berminat. Dengan itu, penduduk mempunyai pilihan sama ada bersetuju dengan kawalan keselamatan berbayar atau menyertai Skim Rondaan Sukarela.

Sesi perjumpaan berakhir pada jam 11.00 malam.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, June 6, 2011

Kejadian Samun Bersenjata di Taman Ixora

Pada hari Jumaat, 3 Jun 2011, jam 4.00 pagi berlaku satu kejadian samun bersenjata di rumah no. 101, Jalan Ixora 1/2, Taman Ixora. Pemilik kediaman dan isteri diikat oleh empat(4) orang lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang dan pisau. Pada masa kejadian, anak-anak beliau dan pembantu rumah berada bersama mertua di Kajang berikutan cuti persekolahan. Alhamdulillah pemilik kediaman berkenaan tidak dicederakan kerana tidak melawan.

Selepas berjaya melepaskan diri dari ikatan, pemilik kediaman melaporkan kejadian berkenaan kepada IPD Sepang dan anggota tiba 20 minit kemudian. Beberapa orang penduduk yang dimaklumkan turut hadir membantu. Polis mengesahkan modus operandi adalah dengan menggunakan ilmu pukau berdasarkan kepada kesan-kesan yang dijumpai oleh pihak Polis. Pemilik kediaman melaporkan kehilangan sejumlah wang tunai, dua buah laptop, dua buah telefon bimbit dan sejumlah barang kemas.

Persatuan penduduk Taman Ixora menyeru semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dengan situasi yang berlaku. Bersama-samalah kita menghidupkan semangat kerjasama dan saling membantu antara jiran tetangga agar kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Sentiasa mengawasi kawasan sekitar perumahan dan memaklumkan kepada pihak Polis sekiranya terdapat suspek yang mencurigakan di sekitar taman perumahan kita.

Wednesday, May 25, 2011

Kejadian Pecah Rumah Berlaku Lagi di Taman Ixora

Pada 25 Mei 2011, sebelum subuh berlaku satu kejadian pecah rumah di no. 15, Jalan Ixora 1/7. Dilaporkan kehilangan sejumlah wang dan barang kemas. Semasa kejadian tuan rumah berada di dalam rumah dan tidak menyedari rumah di pecah masuk. Kejadian hanya disedari pada sebelah pagi apabila bangkit daripada tidur dan mendapati rumah berselerak.

Pada masa yang sama berlaku juga dua cubaan pecah masuk rumah di belakang Jalan Ixora 1/2 dan 1/3. Beberapa orang penduduk yang menyedari kejadian berkenaan telah membuat rondaan di kawasan sekitar Taman Ixora.

PPTI menyeru semua penduduk Taman Ixora supaya mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya dan mengawasi keadaan sekitar rumah dan jiran bersebelahan. Kejadian sebegini berkemungkinan berlaku lagi pada masa akan datang kerana cuti sekolah yang panjang dan ramai penduduk mengambil kesempatan untuk balik kampung.

Wednesday, April 6, 2011

Kejohanan Jelajah Futsal GEN-S Selangor 2011

Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri Selangor telah menganjurkan Kejohanan Jelajah Futsal GEN-S Selangor 2011 pada butiran berikut:

Tarikh : 17 April 2011 (Ahad)
Tempat : Meracipta Futsal, BBST
Masa : 9.00 Pagi - 3.00 Petang

Syarat-syarat penyertaan:
- Terbuka kepada belia berumur 16 hingga 35 tahun
- Menetap atau bekerja di daerah Sepang
- Terhad kepada 40 pasukan terawal mendaftar
- Tiap-tiap pasukan dibenarkan mendaftar seramai tidak lebih dari 8(lapan) orang pemain
- Pemain yang tidak disenaraikan di dalam Borang Pendaftaran tidak dibenarkan mengambil bahagian
- Pemain boleh dibenarkan mewakili hanya satu pasukan sahaja sepanjang kejohanan
- Yuran penyertaan adalah RM120 setiap pasukan

Hadiah yang ditawarkan:
1. Tempat Pertama - RM2,000 beserta medal
2. Tempat Kedua - RM1,500beserta medal
3. Tempat Ketiga - RM750 beserta medal
4. Tempat Ke-4 - RM500 beserta medal
5. Tempat Ke-5 hingga Ke-8 - Hamper

Sijil penyertaan disediakan kepada semua peserta.


Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menghantar satu pasukan sebagai wakil di kejohanan tersebut. Penyertaan pasukan Taman Ixora di dalam kejohanan ini amat bermakna walaupun tidak berjaya ke peringkat yang seterusnya.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, April 3, 2011

Kajian Status Kesihatan Penduduk dan Program Intervensi Kesihatan di Taman Ixora

Sekumpulan mahasiswa perubatan tahun 3 Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) telah mangadakan kajian status kesihatan penduduk dan Program Intervensi Kesihatan di Taman Ixora. Program Intervensi Kesihatan ini telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 3 April 2011 (Ahad)
Masa : 8.00 Pagi hingga 1.00 Petang
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Aturcara Program:
- Senamrobik
- Sukaneka
- Pemeriksaan Kesihatan Percuma
- Ujian PAP Smear Percuma
- Pameran Kesihatan
- Cabutan Bertuah
- Pertandingan Memasak Sarapan Sihat
- Majlis Pelancaran
- Pembentangan Diagnosis Kajian Kesihatan Komuniti Taman Ixora

Kajian ini adalah sebagai memenuhi tugasan di dalam posting perubatan komuniti dan kesihatan masyarakat. Tujuan aktiviti ini adalah untuk mengetahui status kesihatan penduduk Taman Ixora dan seterusnya mencadangkan intervensi penambahbaikan. Kajian ini telah dijalankan mulai 13 hingga 27 Mac 2011 secara temuduga bersemuka dengan penduduk.

Sila klik di sini untuk mendapatkan laporan penuh status kesihatan penduduk Taman Ixora.

Aktiviti yang dijalankan ini adalah merupakan kerjasama di antara Persatuan Penduduk Taman Ixora, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang dan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya. Ia tidak dipengaruhi oleh fahaman politik, bangsa dan agama. Semua penduduk Taman Ixora telah memberikan kerjasama kepada mahasiswa berkenaan. PPTI juga mengucapkan terima kasih kepada Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya kerana memilih Taman Ixora sebagai lokasi kajian.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, March 28, 2011

Sukaneka Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Sukaneka Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 27 Mac 2011 (Ahad)
Masa : 10.00 Pagi hingga 1.00 Petang
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Berikut adalah acara sukaneka yang telah dipertandingkan:
- Kerusi Berirama
- Jalan Gorilla
- Mencari Harta Karun
- Baling Gelung Rotan
- Isi Air Dalam Botol Menggunakan Span
- Baling Belon Berair
- Sepak Raga Bulatan
- Perlumbaan Basikal Terlambat
- Tarik Tali


Beberapa hadiah cabutan bertuah turut diadakan semasa sukaneka diadakan. Hadiah utama cabutan bertuah adalah sebuah basikal. Cabutan bertuah berkenaan telah dimenangi oleh En. Mohd Hasiady Bin Yasin. Tahniah diucapkan kepada beliau.

Program sukaneka yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. InsyaAllah program ini akan dianjurkan sebagai acara tahunan persatuan. Pihak urus setia pertandingan (Biro Sukan PPTI) mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang pertandingan dan memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap sepanjang penganjuran program. Persatuan Penduduk Taman ixora juga mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Taman Ixora yang telah melapangkan masa mengikuti program yang dianjurkan.

Kos penganjuran sukaneka adalah RM1,275:
- Hadiah dan cabutan bertuah RM 720
- Basikal untuk cabutan bertuah RM 175
- Peralatan RM380

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Wednesday, March 23, 2011

Majlis Pelancaran Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora

Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah dilancarkan secara rasminya semasa Majlis Pelancaran Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 27 Mac 2011 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora
Dirasmikan oleh : Puan Sheela Suresh Kee See Leng (Pegawai Perpaduan Daerah Sepang)

Objektif pelancaran:
- Melancarkan secara rasminya Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora
- Menghebahkan kewujudan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora kepada semua penduduk Taman Ixora
- Menjadikan ia sebagai satu saluran untuk mengeratkan semangat perpaduan dikalangan masyarakat dan penduduk Taman Ixora

Tentatif program:
8.00 Pagi - Ketibaan Penduduk
8.30 Pagi - Ketibaan Tetamu Jemputan
9.00 Pagi
- Ucapan Aluan Oleh Hj. Mohd Noor Bin Hj. Said (Pengerusi KRT Taman Ixora)
- Ucapan Perasmian oleh Puan Sheela Suresh (Pegawai Perpaduan Daerah Sepang
- Pelancaran KRT dan Penyampaian Watikah Pelantikan AJK KRT Taman Ixora
- Penyampaian Cenderahati
10.00 Pagi
- Jamuan Ringan
- Bersurai

Kos penganjuran majlis RM861:
- Banner RM100
- Sewaan Khemah RM280
- Cenderahati RM30
- Jamuan Ringan RM200
- Air Minuman RM51
- Sumbangan Sukaneka RM200

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, March 6, 2011

Mesyuarat Agung Kali Ke-4 Persatuan Penduduk Taman Ixora

Mesyuarat Agung Kali Ke-4 Persatuan Penduduk Taman Ixora telah diadakan pada butiran berikut:-

Tarikh : 6 Mac 2011 (Ahad)
Masa : 10.30 Pagi hingga 1.00 Petang
Tempat : Bilik Kuliah, Masjid Sultan Hisamudin, BBST
Dirasmikan oleh : Puan Rohaya Bt Dato' Mohd Shahir(Ahli Majlis Zon BBST Utara)

Agenda mesyuarat:
1. Majlis Perasmian
2. Pembentangan Minit Mesyuarat Agung Kali Ke-3
3. Pembentangan Laporan Aktiviti PPTI Tahun 2010
4. Pembentangan Laporan Kewangan PPTI Tahun 2010
5. Perbincangan Cadangan Usul Daripada Ahli

Kos penganjuran Mesyuarat Agung RM637.60
- Fotokopi notis mesyuarat agung RM26.00
- Banner mesyuarat agung RM100.00
- Fotokopi laporan tahunan mesyuarat agung RM102.60
- Bayaran jamuan RM400.00
- Pembelian cawan plastik RM9.00

Seramai 42 orang ahli hadir ke mesyuarat berkenaan. Cenderahati telah disediakan kepada ahli yang hadir dan membayar yuran keahlian tahunan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Vest AJK PPTI

Jawatankuasa Persatuan Taman Ixora telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM600 (RM30 X 20 helai) untuk menempah vest AJK PPTI. Vest berkenaan adalah menjadi hak milik persatuan dan hendaklah dipulangkan balik setelah seseorang AJK tidak lagi memegang jawatan di dalam persatuan.

Pemakaian vest berkenaan telah dirasmikan semasa Mesyuarat Agung Kali Ke-4 PPTI pada 6 Mac 2011.

Friday, March 4, 2011

Set Hidangan dan Pinggan Mangkuk VIP

Pada 3 Mac 2011, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM300 untuk membeli set hidangan dan pinggan mangkuk VIP. Set berkenaan akan digunakan setiap kali penganjuran program atau aktiviti PPTI.

Set berkenaan disimpan di rumah Puan Hjh. Noraini Bt Saadun, Ketua Biro Wanita.

Tuesday, March 1, 2011

Perjumpaan Penduduk Jalan Ixora 1/14 dan 1/15

Pada 28 Februari 2011(Isnin), jam 9.30 malam penduduk di Jalan Ixora 1/14 dan 1/5 telah mengadakan sesi perjumpaan dan ramah mesra di hadapan rumah No. 2, Jalan Ixora 1/14. Seramai 28 orang penduduk menghadiri sesi perjumpaan ini. Sesi perjumpaan itu turut dihadiri oleh Pengerusi, Setiausaha dan Penolong Setiausaha PPTI.

Diantara objektif sesi perjumpaan berkenaan adalah:
1. Suai Kenal diantara penduduk di lorong berkenaan
2. Perbincangan mengenai penganjuran aktiviti lorong
3. Penerangan mengenai PPTI oleh Pengerusi dan pengedaran borang ahli PPTI
4. Perbincangan mengenai kawalan keselamatan di kawasan berkenaan kerana kerap berlaku kes pecah rumah di kawasan ini

Persatuan Penduduk Taman Ixora amat mengalukan sesi suai kenal sebegini kerana akan dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara sesama jiran, berkenal-kenalan, bertukar nombor telefon dan sebagainya. PPTI mengajak semua penduduk yang hadir pada malam itu menghantar borang keahlian PPTI dan hadir ke mesyuarat agung pada 6 Mac 2011.

Sunday, February 27, 2011

Majlis Ramah Mesra (Dialog) Bersama Penduduk Taman Ixora dan Getrahome

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra(Dialog) Bersama Penduduk Taman Ixora dan Getrahome (Pemaju) pada butiran berikut:-

Tarikh : 27 Februari 2011 (Ahad)
Masa : 11.30 Pagi - 12.30 Tengahari
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Majlis ini dianjurkan untuk menyediakan peluang kepada penduduk Taman Ixora mengemukakan sebarang isu atau komen mengenai rumah dan kawasan perumahan Taman Ixora kepada pemaju perumahan (Getrahome). Disamping itu pihak pemaju boleh mendapatkan input daripada penduduk untuk menambahbaik mutu perumahan bagi projek yang akan datang.

Berikut adalah soalan atau isu yang dikemukakan oleh penduduk dan maklumbalas daripada pihak pemaju:-

1. Hj. Mohd Noor (No. 21, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora.

Maklumbalas Pemaju:
- Dokumen untuk kelulusan surau oleh MPSp sedang disediakan oleh pihak pemaju. Pelan IWK dan Pelan Susun Atur Bangunan merupakan dokumen tambahan yang diminta oleh MPSp dan akan disediakan selewat-lewatnya minggu hadapan. Pihak MPSp memaklumkan proses kelulusan adalah sebulan daripada tarikh penyerahan dokumen.

2. Mohd Khuzairi (No. 113, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai jalan pintas daripada Taman Ixora ke Pejabat Veterinar. Laluan berkenaan tidak rata dan berlubang di simpang tangki air SYABAS.

Maklumbalas Pemaju:
- Penyediaan jalan pintas berkenaan sebenarnya adalah di luar bidang kerja Getrahome. Walaubagaimanapun laluan berkenaan akan ditambahbaik selepas pembangunan Fasa 2 disiapkan sepenuhnya.

3. Abdul Rashid Abd Malek (No. 5, Jalan Ixora 1/5) mengemukakan soalan mengenai rumah yang telah merekah dan gangguan pendawaian elektrik di dalam rumah.

Maklumbalas Pemaju:
- Tempoh waranti rumah yang disediakan oleh pemaju adalah 2 tahun. Pihak pemaju tidak bertanggungjawab di atas masalah yang melebihi daripada tempoh berkenaan kecuali bagi kes yang berulang.

4. Hj. Ismail Muit (No. 48, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai:
i) bayaran Duti Setem dan Pertukaran Hak Milik daripada Getrahome kepada pembeli yang dikenakan selepas rumah siap diduduki melebihi 2 - 3 tahun;
ii) kenapa rumah yang menghadap kawasan lapang dikenakan harga jualan yang lebih; dan
iii) penghuni Jalan Ixora 1/2 menghadap tembok sedangkan di atas lakaran pelan tidak ditunjukkan tembok berkenaan. Sepatutnya pihak pemaju hendaklah memaklumkan perkara ini terlebih awal kepada penduduk dan memohon diberikan rebat.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pemaju memaklumkan semasa peringkat awal pembelian rumah status hak milik tanah adalah geran induk. Apabila geran berkenaan telah dipecahkan kepada lot pembeli, pembeli hendaklah membayar kos duti setem dan pertukaran hak milik kepada Peguam untuk menyelesaikan proses tukar hak milik berkenan. Perkara ini telah dimaklumkan kepada pembeli sebelum proses perjanjian jual beli ditandatangani.
ii) Rumah yang menghadap kawasan lapang memang dikenakan harga rumah yang lebih tinggi kerana penduduk berkenaan menikmati pemandangan kawasan lapang dan sebaliknya.
iii) Pemaju memaklumkan terdapat perubahan kepada pelan susun atur keseluruhan Taman Ixora dan mengakui masalah berkenaan. Walaubagaimanapun pemberian rebat yang diminta oleh penduduk tidak dapat dilakukan oleh pemaju.

5. En. Asfar (No. 35, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai banjir yang berlaku pada tahun 2009 di rumah No. 35 dan 37, Jalan Ixora 1/2)

Maklumbalas Pemaju:
- Pemaju memaklumkan beberapa orang pekerja telah dihantar untuk membantu membersihkan rumah selepas kejadian berlaku. Pihak perunding telah melakukan lawatan tapak dan mencadangkan untuk membina terusan di longkang Jalan Ixora 1/7 untuk mengalihkan pengaliran air. Pihak pemaju memohon maaf di atas masalah yang telah berlaku dan memohon penduduk supaya memaklumkan kepada Getrahome sekiranya masalah ini berlaku lagi pada masa hadapan.

6. En. Zainal Abidin (No. 6, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai longkang tersumbat di belakang rumah Jalan Ixora 1/2

Maklumbalas Pemaju:
- Pihak pemaju memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang tersumbat adalah dibawah tanggungjawab MPSp selepas diserah kepada MPSp. Walaubagaimanapun bagi kes ini lawatan tapak akan dilakukan bagi mengenalpasti masalah yang sebenarnya berlaku.

7. En. Salleh Sufian (No. 7, Jalan 1/10) mengemukakan soalan mengenai:
i) jalan belakang rumah Jalan Ixora 1/10 yang lebih tinggi daripada rumah menyebabkan berlaku limpahan air ke dalam rumah;
ii) masalah pendawaian elektrik di dalam rumah;
iii) kekuda bumbung rumah dimakan anai-anai; dan
iv) tangki air rumah pecah/bocor disebabkan oleh konkrit slap yang tidak rata dan berbatu di bawah tangki air.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pihak pemaju memaklumkan bagi kes jalan belakang lebih tinggi daripada rumah perbincangan lanjut akan dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan.
ii) Pihak pemaju sentiasa mematuhi standard elektrikal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi pemasangan di dalam rumah. Kemungkinan masalah elektrikal yang dikemukakan adalah disebabkan oleh sub kontraktor pemasangan elektrik yang dilantik. Pihak pemaju akan membuat semakin lebih lanjut mengenai masalah ini.
iii) Pihak pemaju memaklumkan semburan anai-anai telah dilakukan di seluruh kawasan perumahan Taman Ixora sebelum projek dibangunkan. Pihak pemaju akan menyemak dengan lebih lanjut status semburan anai-anai di Jalan Ixora 1/10.
iv) Pihak pemaju memaklumkan masalah berkenaan tidak sepatutnya berlaku. Walaubagaimanapun bagi fasa perumahan baru di Taman Ixora pihak pemaju telah melakukan konkrit slap di sekeliling tangki air bagi mengelakkan berlakunya limpahan air daripada tangki.

8. Hj. Mohd Noor (No. 21, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status pembinaan sign board Taman Ixora sebagai Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009.

Maklumbalas Pemaju:
- Pihak pemaju sedang meneliti beberapa design dan sebutharga daripada syarikat pembekal. Sign board berkenaan akan dipasang dalam waktu terdekat.

9. En. Mohd Hasiady (No. 119, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status penyelenggaraan lampu spot light di Taman Permainan Kanak-kanak Taman Ixora kerana telah dimaklumkan oleh MPSp penyelenggaraan berkenaan bukan dibawah seliaan MPSp.

Maklumbalas Pemaju:
- Pemaju memaklumkan pihak MPSp sepatutnya menyelanggara lampu spot light berkenaan kerana penyelenggaraan kawasan Taman Permainan berkenaan telah diserahkan sepenuhnya kepada MPSp.

10. Pn. Rohaya (No. 57, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai:
i) beberapa rumah di Jalan Ixora 1/2 dimakan anai-anai;
ii) berlaku keretakan rumah berulang selepas aduan dibuat dan dibaiki; dan
iii) pintu bilik air di tingkat atas berlaga dengan pintu bilik apabila dibuka menyebabkan tombol pintu rosak.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pemaju memaklumkan akan mengambil perhatian mengenai masalah berkenaan dan lawatan ke rumah beliau akan dilakukan dalam waktu terdekat bagi mengenalpasti masalah.
ii) Pihak pemaju akan melakukan lawatan tapak bagi melihat keretakan rumah yang dimaksudkan.
iii) Pemaju memaklumkan masalah berkenaan akan dilihat dengan lebih lanjut selepas lawatan tapak dilakukan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma Kepada Penduduk Taman Ixora

Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk Taman Ixora semasa program Gotong-Royong Cegah Denggi Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 27 Februari 2011
Masa : 8.30 Pagi hingga 12.00 tengahari
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Seramai 58 orang penduduk Taman Ixora telah menjalani pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan ini adalah baik kepada penduduk untuk memastikan kita sentiasa sihat dan sekiranya mempunyai masalah kesihatan bolehlah merujuk ke Klinik Kesihatan atau Hospital yang terdekat untuk pemeriksaan lanjut.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.