Sunday, February 27, 2011

Majlis Ramah Mesra (Dialog) Bersama Penduduk Taman Ixora dan Getrahome

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra(Dialog) Bersama Penduduk Taman Ixora dan Getrahome (Pemaju) pada butiran berikut:-

Tarikh : 27 Februari 2011 (Ahad)
Masa : 11.30 Pagi - 12.30 Tengahari
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Majlis ini dianjurkan untuk menyediakan peluang kepada penduduk Taman Ixora mengemukakan sebarang isu atau komen mengenai rumah dan kawasan perumahan Taman Ixora kepada pemaju perumahan (Getrahome). Disamping itu pihak pemaju boleh mendapatkan input daripada penduduk untuk menambahbaik mutu perumahan bagi projek yang akan datang.

Berikut adalah soalan atau isu yang dikemukakan oleh penduduk dan maklumbalas daripada pihak pemaju:-

1. Hj. Mohd Noor (No. 21, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora.

Maklumbalas Pemaju:
- Dokumen untuk kelulusan surau oleh MPSp sedang disediakan oleh pihak pemaju. Pelan IWK dan Pelan Susun Atur Bangunan merupakan dokumen tambahan yang diminta oleh MPSp dan akan disediakan selewat-lewatnya minggu hadapan. Pihak MPSp memaklumkan proses kelulusan adalah sebulan daripada tarikh penyerahan dokumen.

2. Mohd Khuzairi (No. 113, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai jalan pintas daripada Taman Ixora ke Pejabat Veterinar. Laluan berkenaan tidak rata dan berlubang di simpang tangki air SYABAS.

Maklumbalas Pemaju:
- Penyediaan jalan pintas berkenaan sebenarnya adalah di luar bidang kerja Getrahome. Walaubagaimanapun laluan berkenaan akan ditambahbaik selepas pembangunan Fasa 2 disiapkan sepenuhnya.

3. Abdul Rashid Abd Malek (No. 5, Jalan Ixora 1/5) mengemukakan soalan mengenai rumah yang telah merekah dan gangguan pendawaian elektrik di dalam rumah.

Maklumbalas Pemaju:
- Tempoh waranti rumah yang disediakan oleh pemaju adalah 2 tahun. Pihak pemaju tidak bertanggungjawab di atas masalah yang melebihi daripada tempoh berkenaan kecuali bagi kes yang berulang.

4. Hj. Ismail Muit (No. 48, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai:
i) bayaran Duti Setem dan Pertukaran Hak Milik daripada Getrahome kepada pembeli yang dikenakan selepas rumah siap diduduki melebihi 2 - 3 tahun;
ii) kenapa rumah yang menghadap kawasan lapang dikenakan harga jualan yang lebih; dan
iii) penghuni Jalan Ixora 1/2 menghadap tembok sedangkan di atas lakaran pelan tidak ditunjukkan tembok berkenaan. Sepatutnya pihak pemaju hendaklah memaklumkan perkara ini terlebih awal kepada penduduk dan memohon diberikan rebat.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pemaju memaklumkan semasa peringkat awal pembelian rumah status hak milik tanah adalah geran induk. Apabila geran berkenaan telah dipecahkan kepada lot pembeli, pembeli hendaklah membayar kos duti setem dan pertukaran hak milik kepada Peguam untuk menyelesaikan proses tukar hak milik berkenan. Perkara ini telah dimaklumkan kepada pembeli sebelum proses perjanjian jual beli ditandatangani.
ii) Rumah yang menghadap kawasan lapang memang dikenakan harga rumah yang lebih tinggi kerana penduduk berkenaan menikmati pemandangan kawasan lapang dan sebaliknya.
iii) Pemaju memaklumkan terdapat perubahan kepada pelan susun atur keseluruhan Taman Ixora dan mengakui masalah berkenaan. Walaubagaimanapun pemberian rebat yang diminta oleh penduduk tidak dapat dilakukan oleh pemaju.

5. En. Asfar (No. 35, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai banjir yang berlaku pada tahun 2009 di rumah No. 35 dan 37, Jalan Ixora 1/2)

Maklumbalas Pemaju:
- Pemaju memaklumkan beberapa orang pekerja telah dihantar untuk membantu membersihkan rumah selepas kejadian berlaku. Pihak perunding telah melakukan lawatan tapak dan mencadangkan untuk membina terusan di longkang Jalan Ixora 1/7 untuk mengalihkan pengaliran air. Pihak pemaju memohon maaf di atas masalah yang telah berlaku dan memohon penduduk supaya memaklumkan kepada Getrahome sekiranya masalah ini berlaku lagi pada masa hadapan.

6. En. Zainal Abidin (No. 6, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai longkang tersumbat di belakang rumah Jalan Ixora 1/2

Maklumbalas Pemaju:
- Pihak pemaju memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang tersumbat adalah dibawah tanggungjawab MPSp selepas diserah kepada MPSp. Walaubagaimanapun bagi kes ini lawatan tapak akan dilakukan bagi mengenalpasti masalah yang sebenarnya berlaku.

7. En. Salleh Sufian (No. 7, Jalan 1/10) mengemukakan soalan mengenai:
i) jalan belakang rumah Jalan Ixora 1/10 yang lebih tinggi daripada rumah menyebabkan berlaku limpahan air ke dalam rumah;
ii) masalah pendawaian elektrik di dalam rumah;
iii) kekuda bumbung rumah dimakan anai-anai; dan
iv) tangki air rumah pecah/bocor disebabkan oleh konkrit slap yang tidak rata dan berbatu di bawah tangki air.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pihak pemaju memaklumkan bagi kes jalan belakang lebih tinggi daripada rumah perbincangan lanjut akan dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan.
ii) Pihak pemaju sentiasa mematuhi standard elektrikal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi pemasangan di dalam rumah. Kemungkinan masalah elektrikal yang dikemukakan adalah disebabkan oleh sub kontraktor pemasangan elektrik yang dilantik. Pihak pemaju akan membuat semakin lebih lanjut mengenai masalah ini.
iii) Pihak pemaju memaklumkan semburan anai-anai telah dilakukan di seluruh kawasan perumahan Taman Ixora sebelum projek dibangunkan. Pihak pemaju akan menyemak dengan lebih lanjut status semburan anai-anai di Jalan Ixora 1/10.
iv) Pihak pemaju memaklumkan masalah berkenaan tidak sepatutnya berlaku. Walaubagaimanapun bagi fasa perumahan baru di Taman Ixora pihak pemaju telah melakukan konkrit slap di sekeliling tangki air bagi mengelakkan berlakunya limpahan air daripada tangki.

8. Hj. Mohd Noor (No. 21, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status pembinaan sign board Taman Ixora sebagai Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009.

Maklumbalas Pemaju:
- Pihak pemaju sedang meneliti beberapa design dan sebutharga daripada syarikat pembekal. Sign board berkenaan akan dipasang dalam waktu terdekat.

9. En. Mohd Hasiady (No. 119, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status penyelenggaraan lampu spot light di Taman Permainan Kanak-kanak Taman Ixora kerana telah dimaklumkan oleh MPSp penyelenggaraan berkenaan bukan dibawah seliaan MPSp.

Maklumbalas Pemaju:
- Pemaju memaklumkan pihak MPSp sepatutnya menyelanggara lampu spot light berkenaan kerana penyelenggaraan kawasan Taman Permainan berkenaan telah diserahkan sepenuhnya kepada MPSp.

10. Pn. Rohaya (No. 57, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai:
i) beberapa rumah di Jalan Ixora 1/2 dimakan anai-anai;
ii) berlaku keretakan rumah berulang selepas aduan dibuat dan dibaiki; dan
iii) pintu bilik air di tingkat atas berlaga dengan pintu bilik apabila dibuka menyebabkan tombol pintu rosak.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pemaju memaklumkan akan mengambil perhatian mengenai masalah berkenaan dan lawatan ke rumah beliau akan dilakukan dalam waktu terdekat bagi mengenalpasti masalah.
ii) Pihak pemaju akan melakukan lawatan tapak bagi melihat keretakan rumah yang dimaksudkan.
iii) Pemaju memaklumkan masalah berkenaan akan dilihat dengan lebih lanjut selepas lawatan tapak dilakukan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma Kepada Penduduk Taman Ixora

Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk Taman Ixora semasa program Gotong-Royong Cegah Denggi Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 27 Februari 2011
Masa : 8.30 Pagi hingga 12.00 tengahari
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Seramai 58 orang penduduk Taman Ixora telah menjalani pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan ini adalah baik kepada penduduk untuk memastikan kita sentiasa sihat dan sekiranya mempunyai masalah kesihatan bolehlah merujuk ke Klinik Kesihatan atau Hospital yang terdekat untuk pemeriksaan lanjut.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Gotong-Royong Cegah Denggi Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menganjurkan program Gotong-Royong Cegah Denggi pada butiran berikut:-

Tarikh : 27 Februari 2011 (Ahad)
Masa : 8.30 Pagi hingga 11.00 Pagi
Tempat : Kawasan Taman Ixora
Dirasmikan oleh : En. Musa Bin Othman (Penolong Pegawai Perpaduan Kanan, Pejabat Perpaduan Daerah Sepang)

Program gotong-royong ini telah mendapat kerjasama daripada :-
1. Balai Bomba dan Penyelamat KLIA yang telah melakukan semburan longkang tersumbat di kawasan perumahan Taman Ixora.
2. Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) membekalkan lori tangki air.
3. Syarikat Alam Flora yang menyediakan beberapa pekerja dan lori sampah.
4. Majlis Perbandaran Sepang telah mengedarkan Abate untuk menghalang nyamuk Aedes daripada membiak.

Program ini dianjurkan untuk menerapkan budaya cara hidup yang sihat dan menjaga kebersihan kawasan perumahan kita.

Kos Penganjuran Gotong-Royong RM855.65
- Bayaran Air Tangki SYABAS RM200
- Jamuan Ringan RM300
- Plastik Sampah RM15
- Air Mineral RM90.65
- Banner RM100
- Cenderahati RM150

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Ceramah Maulidur Rasul 1432H Anjuran Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menganjurkan Ceramah Maulidur Rasul pada butiran berikut:-

Tarikh : 26 Februari 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora
Tajuk Ceramah : Rasulullah S.A.W Contoh Teladan ; Memartabatkan Ukhuwah dan Memperkasa Ummah
Penceramah : Ustaz Tengku Saipulizan Bin Tengku Hussain (Pensyarah MIAT)

Ceramah yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Ceramah pada malam itu juga turut dihiburkan oleh Kumpulan Nasyid daripada pelajar MIAT. Ceramah ini akan menambahkan lagi penghayatan kita terhadap perjuangan Rasulullah S.A.W dan merapatkan lagi ukhuwah dikalangan penduduk Taman Ixora.

Kos Penganjuran Ceramah Maulidur Rasul RM1,230
- Bayaran Penceramah RM400
- Sewaan Khemah RM280
- Bayaran Persembahan Nasyid RM200
- Sewaan PA System RM200
- Bil Elektrik RM20
- Jamuan Ringan Penceramah RM30
- Banner RM100

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Thursday, February 24, 2011

Kejadian Samun di Taman Ixora

Satu kejadian samun telah dilaporkan berlaku pada 25 Februari 2011 (Jumaat), jam 2.00 pagi di rumah No. 41, Jalan Ixora 1/2, Taman Ixora. Penghuni rumah berkenaan telah kehilangan sebuah kereta Toyota Avanza dan sejumlah wang yang telah dilarikan oleh beberapa orang suspek yang telah memecah rasuk rumah beliau.

Persatuan Penduduk Taman Ixora melahirkan rasa simpati terhadap penduduk yang terlibat dan menasihatkan semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati serta mengambil langkah keselamatan mengawasi kawasan persekitaran rumah daripada kejadian yang tidak diingini.

Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang telah memberikan amaran kepada penduduk sekitar Bandar Baru Salak Tinggi supaya berjaga-jaga kerana sejak kebelakangan ini suspek pecah rumah sedang berkeliaran di kawasan perumahan kita. Harap dapat disebarkan kepada semua penduduk Taman Ixora.

Monday, February 14, 2011

Perarakan Maulidur Rasul 1432H/2011M

Penduduk Taman Ixora telah menyertai perarakan Maulidur Rasul 1432H/2011M yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sepang pada 15 Februari 2011 (Selasa), jam 8.30 pagi bertempat di Stadium Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Seramai sepuluh(10) kontinjen perarakan yang terdiri daripada taman-taman perumahan sekitar Zon Bandar Baru Salak Tinggi telah menyertai perarakan berkenaan. Kontinjen Taman Ixora disertai oleh seramai kira-kira 100 orang penduduk yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak di perumahan Taman Ixora.

Beberapa pertandingan turut diadakan semasa perarakan berkenaan. Berikut adalah keputusan pertandingan yang telah diadakan:-

1. Pertandingan Perbarisan Perarakan Terbaik - Johan : Pusat Aktiviti Kanak-Kanak BBST (89%)
2. Pertandingan Sepanduk Terbaik - Johan : Taman Mawar 2 (88%)
3. Pertandingan Azan - Johan : Mohd Faizal, Taman Dahlia (91%)
4. Pertandingan Syarahan - Johan : Puteri Amirah, Taman Seroja
5. Pertandingan Mewarna - Johan : Puteri Azima

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang telah mengadakan program seumpama ini untuk menghayati perjuangan Rasulullah S.A.W. Tema Himpunan Dirimu Kekasih Allah amat bertepatan kerana telah berjaya mengumpulkan penduduk di sekitar taman perumahan Bandar Baru Salak Tinggi.

Semoga program ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak penyertaan daripada penduduk. PPTI turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penduduk Taman Ixora yang telah mengambil bahagian. Semoga penyertaan kita ini mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah S.W.T dan memupuk semangat cintakan Rasulullah S.A.W di dalam diri setiap penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1432H/ 2011M kepada semua penduduk Taman Ixora. Bersama-samalah kita menghayati perjuangan Rasulullah S.A.W memartabatkan ukhuwah ummat islam seluruhnya dengan mengikuti program dan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid, surau dan persatuan penduduk di kawasan sekitar anda.

Saturday, February 12, 2011

Gotong Royong Membuat Sepanduk Perarakan Maulidur Rasul 1432H Peringkat Zon Bandar Baru Salak Tinggi

Pada 12 Februari 2011 (Sabtu), jam 9.30 malam, bertempat di Dataran Serbaguna Taman Ixora, AJK PPTI bersama-sama AJK KRT Taman Ixora telah bergotong-royong membuat sepanduk bagi perarakan Maulidur Rasul peringkat Zon Bandar Baru Salak Tinggi yang akan diadakan pada 15 Februari 2011 di Stadium Bandar Baru Salak Tinggi.

Sepanduk ini akan dipertandingkan semasa perarakan berkenaan. Pihak urusetia pertandingan menetapkan syarat penyertaan adalah sepanduk hendaklah ditulis tangan dengan kreativiti tersendiri.

Alhamdulillah, berkat kerjasama dan kesepakatan semua AJK, sepanduk berkenaan telah berjaya disiapkan pada jam 1.00 pagi. PPTI mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua AJK yang terlibat. Semoga semangat ukhuwah diantara sesama AJK akan bertambah kukuh bagi memperkasakan lagi ummah Taman Ixora keseluruhannya.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.