Saturday, July 30, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1432H/ 2011M


InsyaAllah kita akan berpuasa pada hari Isnin (1 Ogos 2011).

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua penduduk Taman Ixora. Perbanyakkanlah amalan kita di bulan yang mulia ini. Semoga puasa  dan amalan yang kita kerjakan pada bulan ini mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sunday, July 24, 2011

Majlis Pecah Tanah Surau Balai Islam Taman Ixora

Jawatankuasa Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Surau Balai Islam Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 24 Julai 2011 (Ahad)
Masa : 10.00 Pagi
Tempat : Tapak Surau Balai Islam Taman Ixora
Dirasmikan oleh : Dato' Shamsuddin Hayroni (Pengerusi Eksekutif Getrahome Sdn. Bhd.)

Alhamdulillah, majlis yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Semoga dengan pembinaan surau ini akan memberikan manfaat kepada seluruh penduduk Taman Ixora. Pembinaan sebuah surau di Taman Ixora telah dinanti oleh penduduk Taman Ixora sejak sekian lamanya. Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan doa kita semua.

Diantara aktiviti yang boleh dijalankan di surau adalah:
- Solat berjemaah
- Kelas mengaji Al-Quran
- Aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah dan sebagainya
- Sebarang aktiviti kemasyarakatan

Kos penganjuran majlis RM1,250.00
- Sewaan khemah RM400.00
- Jamuan ringan RM750.00
- Banner RM100.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, July 23, 2011

Barbeque Sempena Penutup Minggu Keselamatan Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan Barbeque sempena penutup Minggu Keselamatan Taman Ixora seperti butiran berikut:

Tarikh : 23 Jun 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 Malam hingga 1.00 Pagi
Tempat : Tapak Surau Balai Islam Taman Ixora

Tujuan program ini dianjurkan adalah seperti berikut:
- Berkongsi pengalaman dan bertukar fikiran mengenai kejadian jenayah yang telah berlaku di Taman Ixora
- Merumuskan hasil kajian/ survey minggu keselamatan yang telah diadakan
- Merapatkan hubungan silaturrahim di antara satu sama lain
- Menghargai jasa dan pengorbanan penduduk yang telah membuat kawalan keselamatan di Taman Ixora secara sukarela
- Merapatkan hubungan di antara penduduk dengan pihak polis dan skuad pemantau PTT (Push To Talk)

Kos penganjuran program RM400
- Jamuan dan peralatan RM400

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Gotong Royong Cegah Denggi Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menganjurkan Program Gotong Royong Cegah Denggi di Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 23 Julai 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 Pagi
Tempat Berkumpul : Tapak Surau Taman Ixora

Program ini perlu dilaksanakan kerana mulai 18 Julai 2011, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengisytiharkan Taman Ixora sebagai kawasan wabak denggi.

Diantara aktiviti yang telah dilaksanakan:
1. Penduduk berkumpul di tapak surau Taman Ixora. Mula bergerak mengikut lorong masing-masing dan membersihkan kawasan sekitar rumah.
2. Membuang semua bekas-bekas yang boleh menakung air bagi pembiakan nyamuk Aedes.
3. Mencantas pokok-pokok bunga, pokok dan semak di belakang rumah penduduk.
4. Berkumpul semula di tapak surau Taman Ixora untuk menikmati jamuan ringan.

Program gotong-royong ini tidak mendapat sambutan daripada penduduk Taman Ixora. Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora sudah menganjurkan program yang sebaiknya kepada penduduk Taman Ixora bagi mengelakkan kawasan Taman Ixora menjadi wabak demam denggi. Walaubagaimanapun semua yang diusahakan ini terpulang kepada penduduk sendiri untuk menilai dan memberikan kerjasama.

Kos penganjuran program RM531.60:
- Jamuan ringan RM300.00
- Peralatan RM131.60
- Banner RM100.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Wednesday, July 20, 2011

Kejadian Pecah Masuk Rumah Siang Hari di Jalan Ixora 1/1

Pada 20 Julai 2011 (Rabu), berlaku satu kejadian pecah masuk rumah penduduk No. 2, Jalan Ixora 1/1. Kejadian berkenaan disedari oleh tuan rumah selepas pulang dari kerja jam 8.00 malam. Kejadian dipercayai berlaku dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang semasa ketiadaan tuan rumah. Kehilangan sebuah laptop dan beberapa barangan berharga dilaporkan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon penduduk Taman Ixora supaya sentiasa berwaspada dengan kejadian jenayah yang berlaku akhir-akhir ini. Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati penduduk di Fasa 1B dan 1C supaya memasang pad lock di jeriji besi rumah. Dimaklumkan oleh pihak polis, jeriji besi ini amat senang dibuka/ dipecah masuk. Penduduk di perumahan Fasa 1B dan IC terdedah kepada kejadian ini.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Tuesday, July 19, 2011

Notis Penutupan Premis Kerana Pembiakan Aedes


Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan Notis Penutupan Premis Tapak Bina Taman Ixora mulai daripada 19 Julai 2011 jam 5.00 petang hingga 26 Julai 2011 (7 hari) supaya kerja-kerja pembersihan dijalankan sehingga premis ini tidak lagi boleh membiakkan atau memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit.

Berdasarkan kepada laporan pemeriksaan pegawai kesihatan, beberapa tempat takungan nyamuk Aedes telah dijumpai di kawasan premis berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati penduduk supaya membersihkan kawasan rumah dan membuang tempat pembiakan nyamuk Aedes. Hadkan pergerakan keluar masuk rumah pada waktu awal pagi dan lewat petang. Ini adalah kerana Taman Ixora telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi.

Saturday, July 16, 2011

Minggu Keselamatan di Taman Ixora

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan Minggu Keselamatan di Taman Ixora. Butiran aktiviti adalah seperti berikut:-

Tarikh : 16 hingga 24 Julai 2011
Tempat : Kejiranan Taman Ixora

Tujuan minggu keselamatan diadakan adalah:
1. Memberikan kesedaran dan hebahan kepada penduduk Taman Ixora mengenai kejadian jenayah samun yang semakin menjadi-jadi di Taman Ixora sejak kebelakangan ini. Beberapa kes yang telah berlaku akan diwar-warkan untuk pengetahuan bersama.
2. Mengedarkan borang survey mengenai cadangan untuk mewujudkan kawalan keselamatan berbayar di Taman Ixora.

Kaedah:
1. Mengedarkan borang dan memberikan pendedahan kepada penduduk mengenai aspek keselamatan.
2. Menaikkan banner untuk pengetahuan penduduk.
3. Hasil survey berkenaan akan dikumpulkan dan keputusan akan dimaklumkan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, July 15, 2011

Perjumpaan PPTI Dengan Pemaju Mengenai Status Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan perjumpaan dengan wakil pemaju mengenai status pembinaan Surai Balai Islam Taman Ixora seperti butiran berikut:

Tarikh : 15 Julai 2011 (Jumaat)
Tempat : Pejabat Urusan Getrahome, Shah Alam
Masa : 10.30 Pagi hingga 11.30 Pagi

Wakil PPTI:
1. Hj Mohd Noor Bin Hj. Said (Pengerusi)
2. Zainal Abidin Bin Ahmad (Penolong Setiausaha)

Wakil Pemaju (Getrahome):
1. Akmar Fairuz (Pengarah Pembangunan dan Hartanah)
2. Puan Suhana (Arkitek)

Berikut adalah keputusan yang dibuat secara bersama:
1. Getrahome bersetuju untuk menampung sepenuhnya kos pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora. Kontraktor bagi pembinaan surau telah dilantik. Anggaran kos adalah RM200,000.
2. Majlis Pecah Tanah Surau Balai Islam Taman Ixora akan diadakan pada 30 Julai 2011 (Sabtu), jam 9.00 pagi, bertempat di tapak surau, Taman Ixora. Pemaju bersetuju untuk memberikan sumbangan kewangan bagi menganjurkan majlis berkenaan. Pihak pengurusan Getrahome akan merasmikan majlis berkenaan. Beberapa tetamu kehormat lain akan dijemput untuk meraikan majlis. Banner akan dinaikkan dan semua penduduk Taman Ixora dijemput hadir.
3. Proses pembinaan akan dimulakan dengan kadar segera selepas majlis pecah tanah dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidil Adha.

Hal-hal Lain:
1. Papan tanda Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009 akan dibina secara kekal apabila projek fasa 4 siap dilaksanakan.
2. Pihak pemaju mengambil maklum mengenai minit dan tindakan yang perlu diambil semasa Majlis Dialog Bersama Pemaju dan Penduduk Taman Ixora pada 27 Februari 2011. Tindakan susulan ke atas semua aduan yang dikemukakan akan diambil dalam waktu terdekat.
3. Pihak pemaju bersetuju untuk memberikan sumbangan kewangan bagi program bubur lambuk Taman Ixora dan Majlis Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada wakil Getrahome kerana sudi mengadakan perjumpaan dan banyak menyokong usaha PPTI melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Wednesday, July 13, 2011

Selamat Menyambut Nisfu Sya'ban 1432H

InsyaAllah, Nisfu Sya'ban pada tahun ini akan disambut pada malam 15 Sya'ban 1432H bersamaan dengan 16 Julai 2011 (Sabtu) malam. Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Nisfu Sya'ban 1432H kepada semua penduduk Taman Ixora.

Berikut adalah amalan yang digalakkan pada malam Nisfu Sya'ban:
1. Apabila selesai solat Maghrib, hendaklah dibaca surah Yaa Sin dengan diniatkan mohon dipanjangkan umur dalam mentaati Allah S.W.T. kemudian dibacakan doa;
2. Dibaca Yaa Sin bagi kali kedua dan diniatkan supaya dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T. kemudian dibacakan doa; dan
3. Dibaca Yaa Sin bagi kali ketiga dan diniatkan supaya ditetapkan iman dan mati dalam iman kemudian dibacakan doa.
4. Berpuasa pada siang hari 15 Sya'ban (17 Julai 2011).

Saturday, July 9, 2011

Insiden Kemalangan Motosikal Melibatkan AJK PPTI

Adalah dimaklumkan seorang AJK PPTI (En. Zulkifli Bin Sukor, No. 19 Jalan Ixora 1/4) terlibat dengan satu insiden kemalangan motosikal pada hari Sabtu 9 Julai 2011, jam 8.00 pagi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Columbia, Seremban dan bermalam di hospital. Beliau telah dibenarkan keluar wad pada hari Ahad 10 Julai, jam 4.00 petang. Alhamdulillah beliau tidak mengalami kecederaan yang serius dengan beberapa kesan luka di tangan dan kaki kiri beliau.

Motosikal yang ditunggangi beliau telah terbabas semasa melalui kawasan air mengalir melintasi jalan di jalan Labu Lanjut. Keadaan jalan pada pagi itu adalah licin kerana hujan lebat. Motosikal berkenaan telah terseret ke seberang jalan dan melanggar seorang penunggang motosikal lain. Walaubagaimanapun penunggang motosikal yang dilanggar tidak mengalami kecederaan yang serius.

Kepada ahli persatuan yang berkelapangan bolehlah melawat beliau di rumah. Dimaklumkan juga beliau telah mendapat cuti sakit selama tujuh (7) hari. Persatuan Penduduk Taman Ixora mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Thursday, July 7, 2011

Pelan Surau Balai Islam Taman Ixora Telah Diluluskan Oleh MPSp

Alhamdulillah, permohonan kelulusan pelan Surau Balai Islam Taman Ixora telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Sepang di dalam Mesyuarat Unit Pusat Setempat (OSC) bertarikh 6 Julai 2011 (Rabu).

InsyaAllah, permohonan kita untuk mendirikan sebuah surau di Taman Ixora akan tercapai sedikit masa lagi. Bersama-samalah kita berdoa semoga segala urusan berkenaan pembinaan surau ini dipermudahkan oleh Allah S.W.T. demi kesejahteraan penduduk Taman Ixora.

Persatuan Penduduk Taman Ixora bersama-sama dengan pemaju (Getrahome Sdn. Bhd.) akan mengadakan majlis pecah tanah dan pelancaran Tabung Surau Balai Islam Taman Ixora dalam waktu terdekat. Di dalam siri perbincangan di antara PPTI dan wakil pemaju sebelum ini, Getrahome Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk menyumbangkan RM200,000 bagi membiayai pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora. Kutipan tabung surau akan digunakan untuk menampung kos-kos sampingan dan peralatan surau.

Sunday, July 3, 2011

Majlis Perkahwinan Anak Bendahari PPTI

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada Bendahari PPTI (En. Ismail Bin Muit) di atas Majlis Perkahwinan anak perempuan beliau pada 2 Julai 2011 (Sabtu).

Alhamdulillah majlis yang diadakan berjalan dengan lancar dengan ramainya tetamu yang hadir memeriahkan majlis. Semua AJK PPTI dan keluarga dijemput ke majlis perkahwinan berkenaan. Beliau turut menjemput penduduk Taman Ixora untuk meraikan majlis. PPTI mendoakan semoga perkahwinan anak perempuan beliau berkekalan hingga ke akhir hayat.