Sunday, August 21, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin


Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua penduduk Taman Ixora. Kami juga ingin memohon jutaan kemaafan sekiranya sepanjang kami mengendalikan persatuan ini terdapat kekurangan, terkasar bahasa dan sebagainya. Menjelang Aidilfitri yang mulia ini marilah kita mengucapkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana berjaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Monday, August 15, 2011

Kerja-kerja Penentuan Arah Kiblat Surau Balai Islam Taman Ixora

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah melakukan kerja-kerja penentuan arah kiblat Surau Balai Islam Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 18 Ogos 2011 (Khamis)
Masa : 2.30 petang hingga 4.30 petang
Tempat : Tapak Surau Balai Islam Taman Ixora

Penentuan arah kiblat hendaklah dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora dimulakan. Wakil daripada pemaju (Getrahome), Kontraktor, Surveyor dan Jawatankuasa Surau turut hadir sama semasa kerja-kerja berkenaan dilakukan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sila klik di sini untuk mendapatkan pamplet panduan penentuan arah kiblat.

Saturday, August 13, 2011

Program Gotong Royong Memasak Bubur Lambuk Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan program gotong-royong memasak bubur lambuk Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 13 Ogos 2011 (Sabtu)
Masa : 8.00 Pagi hingga 5.00 Petang
Tempat : Tadika Cendekiawan Educare, Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora

Kerja-kerja memasak bubur lambuk Taman Ixora bermula seawal pada jam 6.30 pagi dengan membeli barangan keperluan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Program yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Penduduk telah bergotong-royong memotong daging, mengupas bawang dan ramuan lain, memasak, mengacau, membungkus dan mengedarkan bubur lambuk.

Sebanyak lima (5) periuk bubur lambuk telah dimasak. Bubur lambuk yang siap dimasak diedarkan kepada semua penduduk Taman Ixora. Satu (1) periuk bubur lambuk yang siap dibungkus telah diedarkan kepada pekerja kontrak (kongsi) Getrahome.

Sebanyak 80 bungkus bubur lambuk juga telah diedarkan kepada anak-anak yatim di Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Kota Warisan. Semoga sumbangan ikhlas ini mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penduduk Taman Ixora yang turut serta bergotong-royong memasak bubur lambuk. Semoga kudrat yang tuan-tuan berikan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala di bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini.

Pihak pemaju perumahan Taman Ixora (Getrahome) telah memberikan sumbangan kewangan sebanyak RM1,750.00 untuk membiayai kos memasak bubur lambuk. Tadika Cendikiawan Educare turut menyumbang sebanyak RM200.00 untuk program ini. Terima kasih diucapkan. Terima kasih juga diucapkan kepada Tadika Cendekiawan Educare kerana telah memberikan kebenaran menggunakan kemudahan tempat, elektrik dan air.

Kos sebenar memasak bubur lambuk berkenaan adalah RM1,462.40 seperti berikut :-
- Banner - RM100.00
- Daging - RM425.00
- Barangan basah - RM45.00
- Barangan kering - RM391.85
- Santan - RM 140.00
- Perkakasan - RM123.05
- Gas memasak - RM 107.50
- Sewa periuk - RM100.00
- Bil telefon - RM30.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Thursday, August 11, 2011

Kejadian Kecurian di Jalan Ixora 1/5

Dimaklumkan satu kejadian kecurian pada telah berlaku pada 11 Ogos 2011 (Khamis), dalam lingkungan jam 12.00 tengahari di rumah No. 8, Jalan Ixora 1/5, Taman Ixora. Pemilik kediaman melaporkan kehilangan sebuah motosikal Yamaha LC, 2 buah telefon bimbit dan sebuah playstation.

Berikutan kejadian ini, Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dengan kejadian jenayah yang berlaku pada masa ini terutama bulan Ramadhan.