Tuesday, November 29, 2011

Ixora Johan Kejohanan Liga Badminton Tertutup Berkumpulan Zon BBST Utara Sepang Tahun 2011

Pasukan badminton Taman Ixora telah dinobatkan sebagai Johan bagi Kejohanan Liga Badminton Tertutup Berkumpulan Zon BBST Utara Sepang Tahun 2011 anjuran JPP Zon BBST Utara, PeBT Zon BBST Utara dan Majlis Perbandaran Sepang bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi. Peserta telah dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Setiap pasukan terdiri daripada tiga regu dan satu regu simpanan. Taman Ixora menghantar satu pasukan ke kejohanan berkenaan.

Kumpulan A
- Seroja A, MIAT Shuttler, Mawar, Desa Vista

Kumpulan B
- Seroja B, MIAT Eagles, Ixora, Dahlia

Jadual perlawanan dan keputusan yang melibatkan pasukan Ixora adalah seperti di bawah:

Peringkat Kumpulan
- 15 November 2011 (Ixora vs Dahlia) - Keputusan Ixora Menang2 - 1
- 17 November 2011 (Ixora vs Seroja B) - Keputusan Ixora Menang3 - 0
- 22 November 2011 (Ixora vs MIAT Eagles) - Keputusan Ixora Menang : 2 - 1

Separuh Akhir 2
- 24 November 2011 (Ixora vs Seroja A) - Keputusan Ixora Menang : 2 - 1

Perlawanan Akhir
- 29 November 2011 - 9.30 Malam - (Ixora vs MIAT Shuttler) - Keputusan Ixora Menang : 2 - 1

Johan pertandingan menerima hadiah wang tunai RM300 dan piala.

Pasukan Taman Ixora terdiri daripada:
Pengurus : En. Salleh Bin Sufian
Penolong Pengurus : En. Mohd Faisal Bin Omar
Senarai Pemain :
1. Hj. Mohd Noor Bin Hj. Said (No. 21, Jln 1/2)
2. Shahril Azam Bin Abdul Kahar (No. 19, Jln 1/13)
3. Sameri Bin Abdullah (No. 128, Jln 1/1)
4. Abdul Rashid Bin Abdul Malek (No. 5, Jln 1/5)
5. Noranizam Bin Mohd Sahil (No. 12, Jln 1/10)
6. Abdul Hafiz Bin Ahmad (No. 8, Jln 1/4)
7. Mohd Azri Bin Ahmad Khuzari (No. 26, Jln 1/11)
8. Mohd Nazri Bin Mohd Ghazali (No. 21, Jln 1/10)

Persatuan penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain yang telah mengharumkan nama Taman Ixora. PPTI juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada penyokong/ penduduk Taman Ixora yang telah memberikan sokongan yang jitu kepada pasukan Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, November 28, 2011

Kejadian Samun Bersenjata di Taman Ixora

Pada 28 November 2011 (Isnin), anggaran jam 3.00 pagi berlaku satu kejadian samun bersenjata di rumah No. 16, Jalan Ixora 1/10, Taman Ixora. Kejadian berkenaan dilakukan oleh empat(4) orang perompak warga Indonesia bersenjatakan pisau. Perompak berkenaan memasuki rumah melalui pintu gelongsor sisi rumah menggunakan pemotong jeriji besi.

Menceritakan mengenai kejadian berkenaan, pemilik rumah (Tuan Syed), tersedar daripada tidur dan mendapati perompak berkenaan telah mengacukan pisau kepada beliau dan isteri. Beliau tidak melawan dan mengikut arahan yang diberikan oleh perompak berkenaan. Anggaran kerugian adalah RM10,000 yang terdiri daripada jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai. Barang yang paling berbahaya dirompak adalah sepucuk pistol milik beliau (beliau merupakan seorang anggota Polis). Orang ramai dipohon supaya berhati-hati kerana perompak berkenaan telah memiliki senjata api.

Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak Polis yang tiba sejurus kemudian. Unit anjing pengesan telah digunakan untuk mengesan jejak perompak berkenaan. Ekoran daripada kejadian berkenaan satu serbuan telah dilakukan oleh pihak Polis ke rumah kongsi berhampiran Taman Ixora. Beberapa orang penghuni warga Indonesia yang tidak  mempunyai dokumen perjalanan dan disyaki terlibat telah di bawa ke Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi untuk siasatan lanjut. Beberapa jiran terdekat turut keluar rumah membantu dan memberikan sokongan moral kepada beliau dan keluarga.

Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon kepada semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dalam waktu terdekat. Kemungkinan kejadian seumpama ini akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Sunday, November 27, 2011

Selamat Tahun Baru 1433 Hijrah

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 1433 Hijrah kepada semua penduduk Taman Ixora. Bersama-samalah kita menghayati sirah penghijrahan nabi Muhammad S.A.W. dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Berhijrahlah ke arah yang lebih baik dari segala segi termasuklah amal ibadah dan kehidupan seharian. Jadikanlah amal ibadah kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani", surah al Baqarah ayat 218.

Tema Maal Hijrah 1433H Peringkat Kebangsaan adalah Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Thursday, November 17, 2011

Takziah Kepada Keluarga Ahli PPTI Yang Meninggal Dunia Kerana Kemalangan Jalanraya

Adalah dimaklumkan seorang ahli PPTI, En. Azizan Bin Abdul Rahim (No. 8, Jalan 1/1, Taman Ixora) telah terlibat dalam kemalangan jalanraya di persimpangan keluar/ masuk Universiti Kuala Lumpur (MIAT) dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kejadian berlaku pada 17 November 2011 (Khamis), anggaran pukul 5.50 pagi. Beliau dalam perjalanan ke tempat kerja dengan memandu motosikal dari Taman Ixora ke Universiti Putra Malaysia.

Motosikal yang ditunggang oleh beliau telah bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. Pemandu kereta yang melanggar beliau telah membuat laporan Polis dan mengakui kesilapan memasuki laluan bertentangan kerana mengelak sebuah lori.

Jenazah beliau telah di bawa oleh trak Polis ke Hospital Putrajaya. Pemandu kereta berkenaan turut hadir ke Hospital Putrajaya untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham. Jenazah berkenaan kemudiannya dimandikan dan dikafankan di Hospital Putrajaya oleh petugas Badan Khairat Kematian Masjid Sultan Hisamudin, Bandar Baru Salak Tinggi. Jenazah kemudiannya disembahyangkan di ruang Bilik Mayat Hospital Putrajaya sebelum bertolak balik ke Alor Setar, Kedah pada jam 1.45 petang untuk dikebumikan di kampung halaman beliau. Turut hadir ke Hospital Putrajaya adalah jiran-jiran, sanak-saudara, kawan-kawan, rakan pejabat, Pengerusi PPTI, Timb. Pengerusi PPTI, Setiausaha PPTI dan Bendahari PPTI.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mendoakan semoga roh beliau di tempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Al- Fatihah.

Sunday, November 13, 2011

Progres Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora Sehingga 13 November 2011


Status semasa : Pemasangan kekuda bumbung dan kerja-kerja elektrikal.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, November 7, 2011

Ibadah Qurban 1432H/2011M Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menganjurkan ibadah Qurban 1432H/2011M pada butiran berikut:

Tarikh : 7 November 2011 (Isnin)
Masa : 8.00 Pagi hingga 1.00 Petang
Tempat : Tapak Surau Taman Ixora dan Taska Cendekiawan

Sebanyak lima (5) ekor lembu telah dikorbankan pada hari tersebut. Terima kasih diucapkan kepada pihak pemaju (Getrahome) kerana telah menyumbangkan dua(2) ekor lembu untuk dikorbankan dan diedarkan kepada pekerja binaan dan penduduk Taman Ixora.

Alhamdulillah, program yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Penduduk yang hadir hadir telah bergotong-royong melapah lembu dan mengagihkan daging korban kepada penduduk Taman Ixora, pekerja binaan dan rumah kebajikan yang telah dikenalpasti.

Program berkenaan turut diserikan dengan insiden salah seekor daripada lembu korban terlepas daripada ikatan tali dan berlaku adegan kejar-mengejar di sekeliling kawasan perumahan Taman Ixora. Alhamdulillah lembu berkenaan berjaya ditangkap semula tidak lama kemudian dan disembelih tidak jauh daripada tempat ia ditangkap. Walaubagaimanapunpun terdapat sedikit kerosakan kepada pagar rumah seorang penduduk Taman Ixora akibat insiden berkenaan. InsyaAllah, kerosakan berkenaan akan dibaiki dan kos akan ditanggung di bawah bajet penganjuran majlis korban ini. 

InsyaAllah program ini akan dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak penyertaan korban daripada penduduk. Ibadah korban ini adalah untuk mengingati sirah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Semoga ibadah korban yang dilakukan oleh penduduk berkenaan akan mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Tuesday, November 1, 2011

Kejadian Kebakaran Kecil di Rumah AJK PPTI

Pada 31 Oktober 2011 (Isnin), lebih kurang jam 4.00 petang berlaku satu kejadian kebakaran kecil di rumah AJK PPTI (Puan Noraini Bt Saadun - No. 32, Jalan Ixora 1/11). Kejadian berkenaan disedari oleh jiran sebelah rumah beliau yang bertindak menelefon beliau dan suami. Pada masa kejadian Puan Noraini dan suami berada di pekan Salak. Sejurus menerima panggilan telefon, beliau bergegas pulang ke rumah dan sempat mematikan punca api yang menyebabkan kebakaran berkenaan.

Kejadian berkenaan turut dilaporkan kepada BOMBA dan Penyelamat yang tiba sejurus kemudian. Beberapa orang penduduk dan wakil Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora turut hadir membantu dan memberikan sokongan moral. Anggaran kerosakan berjumlah RM6,000.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mendoakan semoga beliau bersabar dengan musibah yang berlaku kerana setiap kejadian itu ada hikmahnya. Kepada penduduk yang berkelapangan bolehlah melawat beliau di rumah.