Tuesday, May 29, 2012

Pemasangan Karpet Surau Balai Islam Taman Ixora

Pada 29 Mei 2012 (Selasa), kerja-kerja pemasangan karpet telah dilakukan di Surau Balai Islam Taman Ixora. Pemasangan karpet berkenaan adalah sumbangan Lembaga Zakat Negeri Selangor. Terima kasih diucapkan kepada  Lembaga Zakat Negeri Selangor yang telah memberikan sumbangan karpet berkenaan.

Saturday, May 26, 2012

Pemasangan PA System Surau Balai Islam Taman Ixora

Pada 26 Mei 2012 (Sabtu), set PA System telah dipasang di Surau Balai Islam Taman Ixora. Kos pemasangan PA System berkenaan adalah RM6,000.00 dan dibiayai melalui duit sumbangan orang ramai. Terima kasih diucapkan kepada semua individu yang menderma. Semoga Allah memurahkan lagi rezeki anda semua.

Sunday, May 20, 2012

Pemasangan Tambahan Dua Unit Penghawa Dingin di Surau Balai Islam Taman Ixora


Pada 20 Mei 2012 (Ahad), tambahan dua unit penghawa dingin telah dipasang di Surau Balai Islam Taman Ixora. Penghawa dingin berkenaan telah disumbangkan oleh seorang hamba Allah. Terima kasih diucapkan, semoga Allah memurahkan rezeki beliau dan keluarga.

Sunday, May 13, 2012

Gotong-royong Membersih Surau Balai Islam Taman Ixora

Pada 13 Mei 2012 (Ahad), jam 9.00 pagi, ahli-ahli Jawatankuasa Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora, AJK Persatuan Penduduk Taman Ixora, AJK KRT Taman Ixora dan beberapa orang penduduk Taman Ixora telah mengadakan gotong-royong membersih Surau Balai Islam Taman Ixora. Kerja-kerja pembersihan adalah bertumpu kepada tandas dan ruang solat di mana ruang solat berkenaan perlu disamak terlebih dahulu sebelum boleh digunakan untuk sembahyang. Ruang solat berkenaan telah disamak dengan 1 kali air tanah dan 7 kali air mutlak. Beberapa hiasan dinding telah disumbangkan dan dipasang semasa program gotong-royong berkenaan dan sebuah rak penyimpanan Al-Quran telah didermakan oleh seorang hamba Allah. Terima kasih diucapkan. Semoga Allah memurahkan rezeki beliau dan keluarga.

Pegawai Khas kepada YB Ahli Parlimen Sepang turut hadir semasa kerja-kerja gotong-royong berkenaan dan bertanyakan mengenai bentuk sumbangan yang boleh diberikan oleh YB Ahli Parlimen Sepang. Setelah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi, Setiausaha dan beberapa orang AJK, pejabat YB Ahli Parlimen Sepang telah bersetuju untuk menyumbang 100 helai sejadah dan RM5,000 tunai untuk pembinaan sebuah setor penyimpanan barang-barang keperluan surau. Terima kasih diucapkan.

Jawatankuasa Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang hadir membantu semasa gotong-royong berkenaan. InsyaAllah, mengikut perancangan surau dijangka dapat beroperasi mulai 31 Mei 2012.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, May 12, 2012

Pemasangan Jam Waktu Solat di Surau

Jam waktu solat telah dipasang pada 12 Mei 2012 (Sabtu) di Surau Balai Islam Taman Ixora. Jam berkenaan telah didermakan oleh seorang hamba Allah. Terima kasih diucapkan, semoga Allah memurahkan rezeki beliau dan keluarga.

Pemasangan Penghawa Dingin (Aircond) Surau

Dua unit penghawa dingin (aircond) telah dipasang di Surau Balai Islam Taman Ixora pada 12 Mei 2012 (Sabtu). Penghawa dingin berkenaan telah disumbangkan oleh seorang hamba Allah. Terima kasih diucapkan, semoga Allah memurahkan rezeki beliau dan keluarga.

Thursday, May 10, 2012

Pemasangan Papan Tanda Surau Balai Islam Taman Ixora

Papan tanda Surau Balai Islam Taman Ixora telah dipasang pada 10 Mei 2012 (Khamis). Papan tanda berkenaan telah didermakan oleh seorang hamba Allah. Terima kasih diucapkan, semoga Allah memurahkan rezeki beliau dan keluarga.

Tuesday, May 8, 2012

Pemasangan Bekalan Elektrik ke Surau Taman Ixora

Pada 7 dan 8 Mei 2012 (Isnin), kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalankan kerja-kerja bagi pemasangan bekalan elektrik ke Surau Balai Islam Taman Ixora. Semua peralatan elektrik yang telah dipasang seperti lampu, kipas dan plug telah diuji dan berfungsi dengan baik.
Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Kerja-kerja Mengukur Karpet Surau

Pada 8 Mei 2012 (Selasa), wakil daripada syarikat Jakel Shah Alam telah datang membuat ukuran karpet di Surau Balai Islam Taman Ixora. Syarikat berkenaan telah dilantik oleh Pusat Zakat Selangor yang telah meluluskan peruntukan untuk membiayai kos pemasangan karpet di surau. Terima kasih diucapkan kepada Pusat Zakat Selangor. Karpet berkenaan akan dipasang dalam tempoh dua minggu setelah mendapat pengesahan warna dan corak karpet. AJK surau telah bersetuju dengan cadangan warna hijau untuk karpet surau. Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, May 7, 2012

Barbeque dan Majlis Suai Kenal Penduduk Jalan Ixora 1/14, 1/15, 1/16 dan 1/17

Pada 5 Mei 2012 (Sabtu), jam 9.30 malam, penduduk Jalan Ixora 1/14, 1/15, 1/16 dan 1/17 (SRS Zon C, KRT Taman Ixora) telah mengadakan barbeque sempena majlis suai kenal di antara penduduk. Penduduk Jalan Ixora 1/16 dan 1/17 baru berpindah masuk mulai awal tahun 2012. Majlis ini adalah merupakan pertemuan pertama kali diantara satu satu sama lain. Masing-masing telah bertukar nombor telefon dan bergotong-royong memasak makanan. Majlis telah dihadiri oleh lebih kurang 30 orang penduduk bersama keluarga.

Pada majlis berkenaan, pihak Polis juga telah dijemput untuk memberikan sedikit taklimat dan pendedahan mengenai isu-isu keselamatan di Taman Ixora. Ini adalah lanjutan daripada berlakunya kejadian pecah rumah di empat buah rumah di Jalan Ixora 1/17 pada awal bulan April yang lalu.

Sedikit taklimat mengenai Persatuan Penduduk Taman Ixora turut diberikan oleh Setiausaha PPTI mengenai pentingnya penduduk menyertai persatuan. Pelbagai aktiviti untuk faedah bersama telah dirancang oleh PPTI untuk manfaat semua penduduk Taman Ixora. Pada malam itu juga seramai tujuh orang penduduk telah menyerahkan borang keahlian.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada penduduk jalan berkenaan yang telah mengambil inisiatif untuk beramah mesra diantara satu sama lain dan bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini di kawasan kejiranan berkenaan. Semoga aktiviti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Taman Ixora vs Taman Bunga Raya


Satu perlawanan bola sepak persahabatan di antara Taman Ixora dan Taman Bunga Raya telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 5 Mei 2012 (Sabtu)
Masa : 5.30 petang
Tempat : Padang Bola Sepak Taman Bunga Raya

Pemain bola sepak Taman Ixora telah diwakili oleh penduduk Taman Ixora dan beberapa orang staf USIM. Manakala pemain bola sepak Taman Bunga Raya diwakili oleh penduduk taman itu sendiri. Tujuan perlawanan persahabatan ini diadakan untuk menjalinkan hubungan ukhuwah di antara penduduk berhampiran melalui aktiviti sukan. Perlawanan berkenaan telah dimenangi oleh Taman Bunga Raya dengan keputusan 4-3. Perlawanan ini adalah anjuran Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.