Tuesday, December 17, 2013

Pertandingan Boling Keluarga Taman Ixora Tahun 2013




Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama KRT Taman Ixora telah mengadakan Pertandingan Boling Keluarga Taman Ixora Tahun 2013 pada butiran berikut:

Tarikh : 29 Disember 2013 (Ahad)
Masa : 11.30 Pagi
Tempat : Dream Bowl Nilai, Kompleks Sukan Airport

Bayaran penyertaan yang dikenakan adalah RM15.00 seorang. Bermain dua game dan empat orang bagi satu pasukan. Seramai 20 pasukan dewasa dan 5 pasukan remaja telah menyertai pertandingan ini. Setiap peserta mendapat sehelai t shirt percuma.

Johan bagi Pertandingan Boling Keluarga Taman Ixora tahun 2013 telah dimenangi oleh keluarga Sirajudin dengan mengutip1,380 jatuhan pin.

Alhamdulillah pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Tuesday, December 10, 2013

Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran KRT Taman Ixora

Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran KRT Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 10 Disember 2013 (Selasa)
Masa : 9.30 Malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Berikut adalah aturcara majlis:
1. Bacaan doa
2. Ucapan oleh Pengerusi KRT Taman Ixora
3. Ucapan oleh wakil Pegawai Perpaduan Daerah Sepang
4. Slide pembentangan aktiviti dan pencapaian KRT Taman Ixora tahun 2012 dan 2013
5. Pelantikan AJK KRT Tahun 2014 dan 2015
6. Jamuan Barbeque

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, December 6, 2013

Mesyuarat Agung Surau Balai Islam Taman Ixora Tahun 2013

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahun 2013 pada butiran berikut:

Tarikh : 6 Disember 2013 (Jumaat)
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora
Masa : 9.30 Malam

Berikut adalah tentatif aturcara:
- Bacaan doa oleh Imam Surau
- Ucapan Pengerusi Surau
- Pembentangan penyata kewangan surau berakhir 30 Jun 2013
- Pembentangan laporan aktiviti surau tahun 2013
- Perbincangan dan hal-hal lain
- Jamuan ringan

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, November 29, 2013

Program Memasak Bubur Asyura Taman Ixora

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Program Memasak Bubur Asyura pada butiran berikut:

Tarikh : 29 November 2013 (Jumaat)
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora
Masa : 10.00 Pagi

Program ini adalah aktiviti kaum hawa Taman Ixora. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, November 23, 2013

Program Jom Ronda Peringkat Daerah Sepang

Jabatan Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Sepang telah menganjurkan Program Jom Ronda Peringkat Daerah Sepang pada butiran berikut:

Tarikh : 23 November 2013 (Sabtu)
Masa : 8.45 malam
Tempat : Dewan Pangsapuri Rista Villa, Putra Perdana, Puchong

KRT Taman Ixora telah diwakili oleh Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Penolong Setiausaha ke program berkenaan. Semasa program berkenaan dilakukan demonstrasi
sebenar prosedur dan pelaksanaan rondaan oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Semasa program berkenaan juga diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Sepang bagi tahun 2012. KRT Taman Ixora telah dinobatkan sebagai Johan bagi tahun 2012 dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, November 9, 2013

Majlis Pelancaran Kempen 10 Keluarga 1 Anggota Skim Rondaan Sukarela dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kibar Jalur Gemilang 2013

Pengerusi dan Penolong Setiausaha, Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menghadiri Majlis Pelancaran Kempen 10 Keluarga 1 Anggota Skim Rondaan Sukarela dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kibar Jakur Gemilang Tahun 2013 yang telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 9 November 2013 (Sabtu)
Tempat : Taman Pendamar Indah, Klang
Masa : 8.00 Malam
Dirasmikan oleh : Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

KRT Taman Ixora telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Peringkat KRT Negeri Selangor dan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000.00. Tahniah diucapkan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Tuesday, October 15, 2013

Program Ibadah Qurban 1434H Taman Ixora

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Program Ibadah Qurban 1434H pada butiran berikut:

Tarikh : 15 Oktober 2013 (Selasa) (Hari Raya Aidil Adha)
Masa : 10.00 Pagi (Selepas Solat Aidil Adha)
Tempat : Perkarangan Surau Balai Islam Taman Ixora

Harga bagi sebahagian Qurban adalah RM400.00 dan sebahagian Akikah adalah RM500.00. Pada tahun ini sebanyak 6 ekor lembu Qurban dan 1 ekor lembu Akikah telah dilaksanakan.

Ibadah Qurban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Ia telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Hukumnya adalah sunat muakkadah. Sila klik untuk memuat turun Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban Menurut Perspektif Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak JAKIM untuk rujukan kita bersama.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha Kali Pertama di Surau Balai Islam Taman Ixora

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha buat Kali Pertama pada 15 Oktober 2013 (Selasa). Alhamdulillah ramai penduduk Taman Ixora telah hadir ke surau untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidil Adha secara berjemaah.

Solat Sunat Aidil Adha ini telah diimamkan oleh Imam Sahid Bin Kasran, imam Surau Balai Islam Taman Ixora dengan membacakan teks khutbah yang disediakan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Sepang. Pejabat Agama Islam Daerah Sepang telah memberikan kebenaran rasmi secara bertulis kepada Jawatankuasa surau untuk mengadakan solat sunat Aidil Adha di surau ini.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, October 6, 2013

Gotong-Royong Kejiranan Zon C Taman Ixora

Pada 6 Oktober 2013 (Ahad), jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi, Penduduk Taman Ixora Zon C (Jalan Ixora 1/14 hingga 1/21) telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumah. Program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di kejiranan berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah dan syabas kepada penduduk di kejiranan berkenaan yang telah turut sama bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumah masing-masing. Semangat seperti inilah yang patut menjadi amalan kita bersama demi kesejahteraan penduduk Taman Ixora. Terima kasih juga diucapkan terima Majlis Perbandaran Sepang yang telah menyediakan kemudahan tong ro ro untuk membuang sampah sarap yang telah dibersihkan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, September 29, 2013

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Sempena PMR, SPM, STAM dan STPM 2013

Surau Balai Islam Taman Ixora dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Ixora dan KRT Taman Ixora telah mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Sempena PMR, SPM, STAM dan STPM 2013 pada butiran berikut:

Tarikh : 29 September 2013 (Ahad)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Ibu bapa, anak-anak yang akan menduduk peperiksaan dan semua penduduk Taman Ixora hadir ke majlis berkenaan.

Saturday, September 28, 2013

Kerja-kerja Mencantas Pokok Oleh MPSp

Pada 28 September 2013, pihak MPSp telah menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di hadapan rumah No. 68, Jalan Ixora 1/1. Bertindak atas aduan penduduk, pihak MPSp telah mencantas pokok di hadapan rumah berkenaan. Semasa kerja-kerja mencantas berkenaan dijalankan, wakil penduduk telah mengadakan rundingan dengan pihak MPSp supaya mencantas sebatang pokok lagi di hadapan Tadika Permata Ixora kerana pokok berkenaan tinggi dan merbahaya kepada anak-anak yang belajar di tadika berkenaan. Pihak MPSp telah bersetuju dan mengambil tindakan mencantas pokok berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada pihak MPSp yang telah menyelenggara pokok di Taman Ixora dan berharap supaya kerjasama seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, September 27, 2013

Ceramah Bulanan Surau Balai Islam Taman Ixora - Bahaya Syiah

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Ceramah Bulanan seperti butiran berikut:

Tarikh : 27 September 2013 (Jumaat)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Tajuk Ceramah : Bahaya Syiah
Penceramah : Ustaz Hj. Mohamad Bin Hj. Ismail
(Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA))



Tuesday, September 24, 2013

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Pada 24 September 2013, anggaran jam 2.00 petang hingga 6.00 petang berlaku satu lagi kejadian pecah di Taman Ixora iaitu rumah di No. 53, Jalan Ixora 1/21. Kejadian disedari oleh tuan rumah selepas pulang bekerja pada sebelah petang. Dilaporkan kehilangan sejumlah wang tunai, tv lcd 40 inci dan barangan lain.

Kejadian berkenaan dilaporkan kepada pihak Polis dan pegawai penyiasat PDRM tiba pada jam 9.00 malam. Penyamun telah memecah masuk melalui tingkap hadapan rumah dan keluar melalui pintu. Dimaklumkan rumah berkenaan sedang dalam kerja-kerja ubahsuai dan secara kebetulan kontraktor yang menyiapkan kerja tidak datang bekerja pada hari itu kerana alasan hujan di sebelah pagi.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihatkan penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dengan kejadian jenayah yang menjadi-jadi di Taman Ixora. Sentiasa alert dengan keadaan sekeliling kawasan rumah anda dan hubungi pihak Polis sekiranya terdapat sebarang keadaan yang mencurigakan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, September 23, 2013

Kejadian Cubaan Samun Awal Pagi di Taman Ixora

Pada 23 September 2013, jam 4.00 pagi berlaku satu cubaan samun di Taman Ixora.

Mangsa adalah seorang wanita yang memandu sebuah kereta secara bersendirian selepas pulang dari bekerja pada jam 4.00 pagi melalui Jalan Ixora 1/15, Taman Ixora. Tanpa disedari kenderaan beliau telah diekori dari jarak jauh oleh sebuah kenderaan lain yang dinaiki oleh seorang lelaki dan seorang perempuan.

Apabila memberhentikan kenderaan di kawasan rumah beliau, kenderaan beliau telah dihampiri oleh kenderaan pasangan berkenaan dengan alasan bertanyakan mengenai Taman Ixora, Salak Tinggi dan sebagainya. Mangsa mengesyaki sesuatu perkara buruk akan berlaku apabila lelaki berkenaan cuba mengeluarkan senjata dari dalam kereta. Terkejut dengan tindakan berkenaan, mangsa telah menjerit sekuat hati, menutup pintu kereta, membunyikan hon dan mengunci dari dalam kenderaan.

Menyedari tindakan daripada mangsa berkenaan, pasangan berkenaan mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan memecut laju kenderaan keluar dari Taman Ixora.



Tuan Syed (anggota Polis IPD Sepang) yang menyiasat kes berkenaan, telah menghubungi En. Kamil (AJK Surau Balai Islam Taman Ixora) untuk memeriksa rakaman CCTV yang ditempatkan di surau. Hasil pemeriksaan CCTV di surau, kejadian berkenaan berjaya dirakamkan oleh CCTV pada jam 4.00 pagi hingga jam 4.15 pagi. Kenderaan masuk dan keluar berkenaan berjaya dirakamkan. Walaubagaimanapun nombor plat kenderaan berkenaan tidak dapat dikenalpasti kerana kejadian berlaku di sebelah malam ditambah oleh silau lampu.

Persatuan Penduduk Taman Ixora ingin menasihati penduduk Taman Ixora yang pulang bekerja lewat malam supaya berhati-hati dengan memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum keluar daripada kenderaan.

Friday, September 20, 2013

Kerja-kerja Sukarela Menurunkan Jalur Gemilang di Taman Ixora

Kerja-kerja sukarela untuk menurunkan Jalur Gemilang yang dipasang sempena Pertandingan Kibar Jalur Gemilang telah diadakan pada 20 September 2013 (Jumaat), mulai jam 9.30 malam. Beberapa orang penduduk, remaja dan kanak-kanak Taman Ixora telah menyertai program berkenaan. Sedikit jamuan barbeque ayam telah disediakan selepas program dijalankan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, September 13, 2013

Taman Ixora Johan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Selangor Tahun 2013

Alhamdulillah dan tahniah. Taman Ixora telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Selangor Tahun 2013. Keputusan rasmi telah dikeluarkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor pada 11 September 2013. Berikut adalah keputusan pertandingan:


Johan : KRT Taman Ixora, Sepang
Naib Johan : KRT Kampung Tengah Lembah, Gombak
Tempat Ketiga : KRT Taman Desa Indah, Klang
6 Hadiah Saguhati:
1. KRT Taman Samudera, Gombak
2. KRT Rawang A, Gombak
3. KRT Menara Maju, Klang
4. KRT Fasa 4, Taman Sri Gombak
5. KRT Kampung Lembah Kinrara, Petaling
6. KRT Flat Merpati B, Hulu Langat

KRT yang turut bertanding:
1. KRT Kiambang Sari, Hulu Langat
2. KRT Sepakat Sahabat Berlian, Gombak
3. KRT Fasa 5, Taman Sri Gombak
4. KRT Puteri Height Contry Home, Gombak

Wednesday, September 11, 2013

Lawatan Panel Penilai Pertandingan Landskap Majlis Perbandaran Sepang 2013

Panel Penilai Pertandingan Landskap Majlis Perbandaran Sepang Tahun 2013 telah mengadakan lawatan dan penilaian di Taman Ixora pada 11 September 2013 (Rabu), jam 11.00 pagi.

Berikut adalah beberapa komen daripada panel penilai pertandingan untuk ditambahbaik oleh penduduk Taman Ixora pada masa akan datang:
1. Taman permainan kanak-kanak tidak diselenggara dengan baik kerana peralatan permainan dirosakkan dan wakaf rosak
2. Banyak sampah sarap tidak dibersihkan semasa lawatan diadakan
3. Aduan daripada penduduk mengenai tong ro ro yang tidak diangkut lebih daripada 2 minggu
4. Skop Taman Ixora adalah terlalu besar. Perlu dibuat pecahan secara zon untuk pertandingan pada masa hadapan.

Hasil daripada penilaian dan pemarkahan pertandingan Taman Ixora memenangi Hadiah Saguhati bagi pertandingan berkenaan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama secara langsung atau tidak langsung.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, September 9, 2013

Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Negeri Selangor Tahun 2013

Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menyertai Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Negeri Selangor Tahun 2013. Pertandingan ini diadakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengibar Jalur Gemilang sempena Kemerdekaan Malaysia.

Pengadilan bagi pertandingan ini akan bermula dari 1 hingga 16 September 2013. Penilaian bagi Taman Ixora telah dibuat pada 9 September 2013 (Isnin), jam 10.00 pagi. Taman Ixora bertanding mewakili daerah Sepang.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang pertandingan seperti berikut:
- Johan - RM4,000.00
- Naib Johan - RM3,000.00
- Tempat Ketiga - RM2,000.00
- Saguhati X 6 - RM1,000.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sila klik di sini untuk melihat slide presentation yang disediakan kepada panel penilai pertandingan.

Sunday, September 8, 2013

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin Sempena UPSR 2013

Surau Balai Islam Taman Ixora dengan kerjasama KRT Taman Ixora dan Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin Sempena UPSR 2013 pada butiran berikut:

Tarikh : 8 September 2013 (Ahad)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, September 6, 2013

Aktiviti Bacaan Yaasin Kaum Muslimat Taman Ixora

Kaum muslimat Taman Ixora telah mengadakan aktiviti bacaan Yaasin sebagai aktiviti mingguan kaum muslimat pada butiran berikut:

Tarikh : 6 September 2013 ( Jumaat )
Masa : 8.00 Pagi
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Alhamdulillah aktiviti berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Aktiviti ini akan diadakan lagi pada minggu hadapan.

Friday, August 30, 2013

Majlis Mesra Aidilfitri Ahli SRS KRT Taman Ixora

Majlis Mesra Aidilfitri Ahli SRS KRT Taman Ixora telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh :  30 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa : 9.30 Malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora


Alhamdulillah majlis yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli SRS KRT Taman Ixora. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk beramah mesra sesama ahli SRS, bermaafan di Aidilfitri dan berbincang secara tidak formal mengenai hala tuju tiga Zon SRS di Taman Ixora.

Selepas majlis berkenaan, setiap ahli SRS yang hadir diberikan 5 bendera Malaysia untuk dipasang di kediaman masing-masing dan jiran terdekat. Ini adalah kerana KRT Taman Ixora menyertai Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, August 25, 2013

Kali Pertama Jemaah Tabligh di Surau Balai Islam Taman Ixora

Surau Balai Islam Taman Ixora menerima kunjungan pertama jemaah tabligh dari Putrajaya pada 23 hingga 25 Ogos 2013. Jemaah berkenaan bermalam selama tiga hari di surau.

Kehadiran jemaah berkenaan amatlah dialukan oleh Jawatankuasa surau. Jawatankuasa surau berharap dengan kehadiran jemaah ini dapat mengajak lebih ramai penduduk Taman Ixora mengimarahkan surau.

Walaubagaimanapun Jawatankuasa surau mensyaratkan supaya jemaah tabligh berkenaan sentiasa memastikan tahap kebersihan surau dipelihara bagi mengelakkan aduan daripada jemaah surau yang lain.

Jawatankuasa mengucapkan terima kasih di atas kehadiran jemaah berkenaan dan akan sentiasa memberi kerjasama pada masa akan datang.

Saturday, August 24, 2013

Majlis Hari Raya Aidilfitri Peringkat JPP Zon BBST, Salak dan Labu

Jamuan Hari Raya Aidilfitri JPP Zon BBST, Salak dan Labu telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh: 24/8/2013 (Sabtu)
Masa : 5 petang hingga 9 malam
Tempat: Tapak  Pasar Malam Taman Seroja
Konsep: Gerai dari setiap taman

Tentatif Aturcara:
5.00 ptg - Ketibaan jemputan dan penduduk
5.10 ptg - Ucapan Pengerusi Majlis dan Penaung
5.30 ptg - Jamuan makan, cabutan bertuah dan penyampaian duit raya kanak-kanak dan OKU
7.15 mlm - Solat Maghrib berjemaah dan munajat untuk Mesir dan Syria
8.00 mlm - Nasyid, cabutan bertuah utama dan penyampaian hadiah hiasan gerai tercantik

Gerai Makanan Dari Setiap Taman:
1. Dahlia - Nasi impit dan lemang
2. Seroja - Nasi arab
3. Ixora - Satay
4. Mawar I - Ayam gunting, fries
5. Mawar II - Spaghetti
6. Anggerik - Air, buah
7. Cempaka - Tapai, ice-cream
8. Bunga Raya - Burger Raya

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran YB Ahli Parlimen Daerah Sepang yang meluangkan masa beramah-mesra dengan penduduk. Pertandingan gerai tercantik telah dimenangi oleh gerai Taman Seroja.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, August 23, 2013

Majlis Hari Raya Aidilfitri Anjung Ixora

Penduduk Anjung Ixora telah mengadakan majlis hari raya Aidilfitri pada butiran berikut :

Tarikh : 23 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa : 9.30 malam
Tempat : Taman Permainan Anjung Ixora

Majlis berkenaan pertama kali diadakan oleh penduduk Anjung Ixora dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Sesi suai kenal antara penduduk dan ramah mesra kaum hawa dan kanak-kanak dapat mengeratkan lagi silaturrahim.

Keseluruhan perumahan di Anjung Ixora adalah 43 buah rumah atau 43 lot tanah. Sebanyak 10 rumah telah didiami selebihnya ada yang telah siap tetapi belum mengambil kunci dan ada yang dalam pembinaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha dan beberapa AJK turut hadir ke majlis berkenaan. Persatuan menyeru supaya semua warga Anjung Ixora menyertai PPTI bagi menguatkan lagi persatuan pada masa akan datang bagi menganjurkan lebih banyak aktiviti dan program.

Wednesday, August 21, 2013

Pendaftaran Domain Laman Blog Taman Ixora http://www.TamanIxora.com

Domain Laman Blog Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor telah didaftarkan secara rasmi mulai 21 Ogos 2013 dan kini boleh diakses melalui URL

http://www.TamanIxora.com

Walaubagaimanapun akses kepada http://TamanIxora.blogspot.com masih boleh dilakukan dan akan di redirect ke URL tersebut.

Tuesday, August 13, 2013

Panduan Makan Secara Sihat di Hari Raya

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan sebuah buku kecil mengenai pemakanan secara sihat di Hari Raya. Biasanya pelbagai juadah dihidangkan pada hari terbuka. Antara makanan yang biasa dihidangkan adalah seperti lemang, ketupat, rendang, lontong dan pelbagai kuih-muih beraneka rasa. Namun begitu, kita perlulah bijak dalam memilih makanan dan sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat ketika meraikan Hari Raya. Pengambilan makanan yang tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak selain meningkatkan risiko kepada penyakit kronik. Sehubungan itu, pengekalan berat badan perlu ditekankan sepanjang musim perayaan.

Saranan pengambilan kalori berdasarkan Panduan Diet Malaysia, 2010 untuk orang dewasa (berumur 18 - 59 tahun) yang sedentari adalah seperti berikut:
a) Lelaki dewasa : 2,000 kcal/hari
b) Wanita dewasa : 1,500 kcal/hari

Contoh pengambilan kalori mengikut waktu makan sehari untuk seorang dewasa yang sedentari adalah seperti berikut:
a) Sarapan - Lelaki (550 kcal), Wanita (450 kcal)
b) Minum pagi - Lelaki (200 kcal), Wanita (100 kcal)
c) Makan tengahari - Lelaki (550 kcal), Wanita (450 kcal)
d) Minum petang - Lelaki (200 kcal), Wanita (100 kcal)
e) Makan malam - Lelaki (500 kcal), Wanita (400 kcal)

Sil klik di sini untuk memuat turun buku berkenaan.

Monday, August 12, 2013

Pertandingan Landskap Majlis Perbandaran Sepang Tahun 2013

Majlis Perbandaran Sepang telah menganjurkan program Pertandingan Landskap bagi tahun 2013 dan Taman Ixora bertanding mewakili Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Zon BBST Selatan.

Objektif pertandingan:
1. Menggalakkan penglibatan masyarakat dalam meninggikan kualiti nilai budaya landskap di kalangan semua lapisan masyarakat.
2. Menimbulkan minat dan kesedaran masyarakat terhadap seni landskap, tanaman dan bunga-bungaan.
3. Manjadikan sumber untuk masyarakat belajar tentang betapa pentingnya landskap untuk persekitaran alam sekitar.
4. Mewujudkan suasana persekitaran semula jadi yang indah dan menarik.

Tema pertandingan adalah "Tamanku Bersih Tamanku Sejahtera"

Kriteria-kriteria penilaian:
1. Keberkesanan landskap sesuatu kawasan itu memenuhi objektif dan fungsi:-
- Memelihara alam semula jadi dan keindahan
- Mewujudkan keseimbangan alam persekitaran ekosistem, meredakan iklim, membersihkan udara, mengelak dan mengurangkan hakisan
- Berfungsi sebagai panduan arah, penapis dan penghadang, pemeliharaan flora dan fauna, teduhan dan lindungan sinaran matahari atau kenderaan
- Mengurangkan kesan-kesan binaan
- Meningkatkan pemandangan estetik dan menarik
- Mengekalkan sosio budaya dan identiti tempatan

2. Aspek penilaian panel hakim mengambil kira faktor berikut:
- Kesungguhan peserta untuk memelihara landskap dan alam sekitar di halaman rumah
- Penyediaan bentuk landskap yang dapat mencapai dan menepati objektif pertandingan
- Gabungan reka bentuk dan susunan landskap lembut dan kejur
- Kekerapan kerja penyelenggaraan landskap dan kebersihan kawasan yang dilaksanakan
- Kesungguhan kerja kebersihan dan keindahan di kawasan luar pagar rumah
- Keceriaan dan keindahan kawasan halaman rumah secara keseluruhan yang memberikan pemandangan yang menarik

3. Kriteria penilaian dan pemarkahan
A. Jalan masuk ke kawasan Taman Perumahan (20 Markah)
- Keadaan jalan masuk ke kawasan taman perumahan diselenggara dengan baik seperti di sepanjang jalan masuk taman ditanam dengan tanaman hiasan(softcape) atau hardscope
B. Susun atur tanaman hiasan di sekeliling kawasan lapang (20 Markah)
- Teknik dan dekorasi penanaman dari segi keunikan penanaman tanaman hiasan
- Penyusunan, penyesuaian eleman landskap seperti arca-arca, pokok teduhan, bangku, kolam ikan (jika ada) dan sebagainya
- Kreativiti/ idea/ inovasi
C. Penyelenggaraan landskap (20 Markah)
- Kerja pemangkasan, pembajaan, merumpai di keliling tanaman hiasan
- Kesuburan tanaman
- Penyelenggaraan elemen landskap (Hardscape dan Softcape) yang mudah
D. Pemilihan tanaman, penggunaan perkayuan, konkrit (20 Markah)
- Tanaman hiasan yang diutamakan (tahan kepada faktor cuaca yang melampau)
- Sejauh mana/berapa banyak tanaman hiasan di tanam
- Tanaman hiasan yang dipelihara termasuk pokok kayu berbunga, pokok buah-buahan dan sayuran
E. Kebersihan (20 Markah)
- Kebersihan keseluruhan kawasan Taman Perumahan
- Seluruh kawasan taman perumahan termasuk kawasan lapang hendaklah bebas daripada sampah sarap, sisa bangunan, sisa pepejal termasuk tin kosong, tangki, deram dan lain-lain yang berkaitan

Pemenang dan hadiah peserta adalah berupa wang tunai dan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan daripada Majlis Perbandaran Sepang.

Juara : Wang tunai RM3,000
Naib Juara : RM 2,000
Ketiga : RM1,000
Saguhati : RM500 (3 Hadiah)

Program penilaian dan pemarkahan akan bermula pada bulan Ogos 2013 dan berakhir pada November 2013.

Friday, August 9, 2013

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Anjung Ixora, Taman Ixora

Pada pagi Hari Raya Aidilfitri, 8 Ogos 2013 (Khamis), anggaran jam 3.30 pagi berlaku satu lagi kejadian pecah rumah di Lot 42 Anjung Ixora, Taman Ixora. Semasa kejadian pemilik rumah tiada di rumah kerana pulang berhari raya di kampung. Kejadian disedari oleh pemilik rumah pulang dari berhari keesokan hari.

Kejadian berkenaan berjaya dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV). Berdasarkan kepada penelitian rakaman CCTV berkenaan di syaki suspek adalah lelaki warga asing dari Timur Tengah.


Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak Polis yang tiba tidak lama kemudian.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, August 2, 2013

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Majlis Khatam Al-QuranTaman Ixora

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Majlis Khatam Al-Quran pada butiran berikut:

Tarikh : 2 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa : 6.45 Petang
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Tentatif aturcara pada majlis berkenaan adalah seperti berikut:
- Ketibaan penduduk dan tetamu jemputan
- Tahlil arwah
- Penyampaian sumbangan duit raya dan sumbangan kepada rumah anak yatim
- Berbuka puasa
- Solat Maghrib berjemaah
- Majlis Khatam Al-Quran
- Solat Isyak dan solat terawih berjemaah
- Jamuan morah

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh 30 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Baitus Sakinah, Kota Warisan, Sepang dan penduduk Taman Ixora.

Terima kasih diucapkan kepada Getrahome Sdn Bhd yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan majlis berkenaan. Semoga mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sila klik di sini untuk melihat gambar majlis berbuka puasa.

Sila klik di sini untuk melihat gambar majlis khatam al-Quran.

Tuesday, July 30, 2013

Penduduk Cantas Pokok di Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora

Pada 30 Julai 2013, beberapa orang penduduk di Jalan Ixora 1/1 telah mengambil tindakan mencantas beberapa pokok yang besar dan merbahaya di Jalan Ixora 1/1. Tindakan berkenaan diambil kerana penduduk bimbangkan keselamatan rumah dan nyawa ahli keluarga sekiranya pokok berkenaan tumbang atau dahan yang tinggi patah menghempap perumahan atau kenderaan yang di parkir di tepi jalan.

Pihak berwajib tidak mengambil tindakan mencantas pokok di jalan berkenaan sehinggakan pokok tumbuh tinggi dan merbahaya kepada keselamatan. Beberapa aduan telah dibuat kepada Majlis Perbandaran Sepang tetapi pihak MPSp menyalahkan pihak pemaju yang belum menyerahkan secara rasmi pokok-pokok di jalan berkenaan untuk diselenggara oleh pihak MPSp.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, July 28, 2013

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Pada 28 Julai 2013 (Ahad), anggaran jam 6.30 petang hingga 10.00 malam berlaku satu lagi kejadian pecah rumah di kejiranan Anjung Ixora, Taman Ixora. Semasa kejadian pemilik rumah tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa bersama keluarga di luar. Kejadian disedari oleh pemilik rumah yang baru sahaja pulang ke rumah.

Sejumlah wang tunai dan barangan dilaporkan hilang oleh pemilik. Dilaporkan juga pemilik rumah berkenaan baru sahaja memasang CCTV pada dua minggu lepas. Walaubagaimanapun DVR yang merekodkan CCTV berkenaan turut dicuri. Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak Polis yang tiba tidak lama kemudian.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan mengawasi keadaan persekitaran sekiranya terdapat individu yang tidak dikenali, memastikan pintu dan tingkap sentiasa dikunci. Telefon pihak Polis sekiranya terdapat keadaan yang mencurigakan.