Monday, January 28, 2013

Program Lawatan Muhibbah KRT Taman Ixora ke KRT Kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu


KRT Taman Ixora telah mengadakan program lawatan muhibbah ke KRT Bukit Wan, Kuala Terengganu, Terengganu pada 25 hingga 27 Januari 2013. Pengangkutan ke Kuala Terengganu adalah menggunakan bas yang disewa khas (Bank Rakyat Travel).

Objektif lawatan adalah seperti berikut:
- Menjalin hubungan perpaduan dan kekeluargaan di antara penduduk KRT Taman Ixora dan KRT Kampung Bukit Wan.
- Berkongsi maklumat dan panduan mengenai pengurusan dan pentadbiran KRT kerana KRT Kampung Bukit Wan telah terpilih sebagai KRT terbaik peringkat kebangsaan.
- Mengadakan lawatan di sekitar perumahan dan lanskap Kampung Bukit Wan dan menjadikan contoh untuk diterapkan di  Taman Ixora.

Tentatif program lawatan adalah seperti berikut:
25/1/2013 (Jumaat)
- 10.30 malam - Bas bertolak dari Taman Ixora ke Kuala Terengganu
26/1/2013 (Sabtu)
- 6.00 pagi - Tiba di Kuala Terengganu
- 12.00 tengahari - Check in Hotel Seri Malaysia, Kuala Terengganu
- 3.30 petang - Lawatan ke KRT Bukit Wan Kuala Terengganu
- 5.00 petang - Melawat sekitar Kuala Terengganu
27/1/2013 (Ahad)
- 8.00 pagi - Check out Hotel Seri Malaysia
- 9.00 pagi - Melawat sekitar Kuala Terengganu
- 12.00 tengahari - Bas bertolak balik ke Taman Ixora
- 10.00 malam - Bas tiba di Taman Ixora


Peserta lawatan adalah seramai 40 orang penduduk. Setiap peserta dikenakan bayaran RM100 seorang termasuk penginapan. Perbelanjaan makanan dan minuman adalah dibawah tanggungan peserta. KRT Taman Ixora menangggung kos pengangkutan (sewaan bas).

Alhamdulillah program ini telah selamat dilaksanakan dan semua peserta berpuashati dengan perjalanan program. Terima kasih diucapkan kepada pihak Urus Setia dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menjayakan program ini.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, January 20, 2013

Perarakan Maulidur Rasul 1434H Anjuran Jawatankuasa Perunding Penduduk Zon BBST

Jemaah Surau Balai Islam Taman Ixora telah menyertai perarakan maulidur rasul anjuran Jawatankuasa Perunding Penduduk Zon Bandar Baru Salak Tinggi. Surau Taman Ixora telah menghantar satu kontinjen yang terdiri daripada 70 orang penduduk (dewasa dan kanak-kanak), berpakaian baju melayu lengkap bersampin.

Perarakan ini turut disertai oleh semua surau di Bandar Baru Salak Tinggi termasuk Masjid Sultan Hisamudin.Hadiah bagi pertandingan perarakan terbaik telah dimenangi oleh Surau Taman Dahlia dan sepanduk terbaik telah dimenangi Surau Taman Seroja. 

Tentatif program seperti berikut:
 
Tarikh : 24 Januari 2013 (Khamis)
Masa : 8.00 Pagi
Tempat berkumpul : Surau Balai Islam Taman Ixora

Kontinjen telah berarak dari Stadium BBST ke Tapak Pasar Malam Taman Seroja.

Beberapa acara sampingan turut diadakan seperti berikut:
- Pertandingan mewarna kanak-kanak (4-5) tahun dan (6-7) tahun
- Pertandingan azan kategori sekolah rendah dan sekolah menengah (Surau Taman Ixora mendapat Tempat Ketiga bagi kategori sekolah rendah)
- Pertandingan nasyid
- Program Tanyalah Ustaz di Masjid Sultan Hisamudin jam 8.00 malam

Jawatankuasa Surau Balai Islam Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Taman Ixora yang menyertai perarakan. Semoga penyertaan tuan/puan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1434H


Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora, KRT Taman Ixora dan Surau Balai Islam Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1434H pada 24 Januari 2013 (Khamis) bersamaan 12 Rabiul Awal 1434H kepada semua penduduk Taman Ixora. Berikut adalah sedikit biodata Rasulullah S.A.W. untuk renungan kita bersama.

Jiwa Rasulullah SAW merangkum banyak akhlak mulia, seperti sifat malu, mulia, berani, menepati janji, ringan tangan, cerdas, ramah, sabar, memuliakan anak yatim, berperangai baik, jujur, pandai menjaga diri, senang menyucikan diri, dan berjiwa bersih.

Ibnu Qayyim menyatakan bahwa Nabi Muhammad SAW memadukan takwa kepada Allah dan sifat-sifat luhur. Takwa kepada Allah SWT dapat memperbaiki hubungan antara seorang hamba dan Tuhannya, sedangkan akhlak mulia dapat memperbaiki hubungannya dengan sesama makhluk Allah SWT.

Jadi, takwa kepada Allah SWT akan melahirkan cinta seseorang kepada-Nya dan akhlak mulia dapat menarik cinta manusia kepadanya.

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah Alquran." (HR Muslim).

Sungguh, jawapan Aisyah ini singkat, namun sarat makna. Ia menyifati Rasulullah SAW dengan satu sifat yang dapat mewakili seluruh sifat yang ada. Memang tepat, akhlak Nabi SAW adalah Alquran.

Allah SWT berfirman, "...Alquran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus..." (QS. Al-Israa': 9).

"(Yang) memberi petunjuk kepada (jalan) yang paling lurus..." (QS. Al-Jinn: 2).

Akhlak beliau adalah Alquran; kitab suci umat yang disifati dengan firman Allah, "...tidak ada keraguan padanya petunjuk bagi mereka yang bertakwa." (QS. Al-Baqarah: 2).

BIODATA RASULULLAH SAW


  • Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim
  • Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah)
  • Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
  • Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim
  • Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf
  • Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah (SAW)
  • Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
  • Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

USIA 5 TAHUN


  • Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN


  • Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah)
  • Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib

USIA 8 TAHUN


  • Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia
  • Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun)


  • Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan
  • Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu

USIA 20 TAHUN


  • Terlibat dalam peperangan Fijar
  • Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘ Sirah ‘ , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja
  • Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul ‘ : perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah

USIA 25 TAHUN


  • Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah
  • Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah, lelaki suruhan Khadijah
  • Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu
  • Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham

USIA 35 TAHUN


  • Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah
  • Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah
  • Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut

USIA 40 TAHUN


  • Menerima wahyu di gua Hira' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman

USIA 53 TAHUN


  • Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq
  • Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M

USIA 63 TAHUN


  • Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW


  • Khadijah Binti Khuwailid
  • Saudah Binti Zam’ah
  • Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
  • Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab)
  • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
  • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
  • Zainab Binti Jahsy
  • Maimunah Binti Harith
  • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
  • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin' ; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW


  1. Qasim
  2. Abdullah
  3. Ibrahim
  4. Zainab
  5. Ruqaiyah
  6. Ummi Kalthum
  7. Fatimah Al-Zahra

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda)

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN


  • Thuwaibah
  • Hamzah
  • Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

SAUDARA SUSUAN


  1. Halimah Al-Saidiyyah
  2. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
  3. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza
  4. Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza
  5. Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)


  1. Al-Harith
  2. Muqawwam
  3. Zubair
  4. Hamzah 
  5. Al-Abbas 
  6. Abu Talib
  7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
  8. Abdul Ka'bah
  9. Hijl
  10. Dhirar
  11. Umaimah
  12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
  13. Atiqah 
  14. Arwa
  15. Umaimah
  16. Barrah
  17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam)
Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas ).

Tuesday, January 15, 2013

Yuran Tahunan Persatuan Penduduk Taman Ixora Tahun 2013

Kepada semua ahli Persatuan Penduduk Taman Ixora,

Yuran tahunan Persatuan Penduduk Taman Ixora bagi tahun 2013 hendaklah dijelaskan sebelum 28 Februari 2013. Mesyuarat Agung Tahunan PPTI Kali Ke-6 dijadual untuk diadakan pada 3 Mac 2013.

Mengikut Undang-undang tubuh PPTI - Fasal 6 :
(1) Yuran tahunan : RM 30 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Sahaja)
(2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh dua bulan dari awal tahun tiap-tiap tahun.
(4)  Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli persatuan.

Yuran boleh dijelaskan kepada Bendahari, Setiausaha atau AJK PPTI.

Sila klik di sini untuk melihat penyata yuran keahlian PPTI sehingga 1 Januari 2013.

Pungutan Derma Ikhlas Untuk Menampung Kos Program Kuliah Mingguan di Surau Balai Islam Taman Ixora

Jawatankuasa Surau Balai Islam Taman Ixora bersetuju untuk mengadakan pungutan derma ikhlas daripada semua penduduk Taman Ixora sebanyak RM5.00 sebulan atau RM50.00 setahun bagi menampung program kuliah mingguan di surau. Sumbangan boleh dimasukkan ke dalam tabung surau atau melalui AJK surau. Semua penduduk Taman Ixora dijemput mengimarahkan surau. Berikut adalah program kuliah mingguan surau:

1. Setiap Isnin dan Jumaat selepas Maghrib – Kelas Tajwid al-Quran oleh Haji Sahid
2. Setiap Rabu minggu ke-2 dan ke-4 – Kuliah Mahgrib oleh Ustaz Tengku Saipulizan, Pensyarah MIAT (Tafsir)
3. Setiap Rabu minggu Pertama dan ke-3 – Kuliah Maghrib oleh Ustaz Zulrushdi, Pegawai Agama Islam JAKIM (Feqah/ Tauhid)
4.  Ahad minggu Pertama – Kuliah Maghrib oleh Ustaz Nidzamudin (Hadis/ Sirah)
5. Ahad minggu ke-2 dan Ke-4 – Kuliah Subuh oleh Ustaz daripada JAKIM

Pendaftaran Kelas Pengajian Al-Quran di Surau Balai Islam Taman Ixora

Jawatankuasa Surau Balai Islam Taman Ixora bersetuju untuk mengadakan Kelas Pengajian al-Quran bagi kanak-kanak Taman Ixora. Buat permulaan kelas pengajian al-Quran akan diadakan tiga (3) kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Ahad malam selepas Maghrib. Cadangan bayaran dikenakan adalah RM20.00 sebulan. Sila lengkapkan borang penyertaan di bawah dan kembalikan kepada AJK Surau sebelum 31 Januari 2013.

Kelas Pengajian Al-Quran akan dimulakan pada 1 Februari 2013.

Sila klik di sini untuk memuat turun borang.

Sunday, January 13, 2013

Taklimat COMBI di Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama KRT Taman Ixora dan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengadakan taklimat penubuhan COMBI pada butiran berikut:

Tarikh : 13 Januari 2013 (Ahad)
Masa : 10.00 pagi
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Sepang. Diantara kandungan taklimat adalah mengenai apakah itu COMBI, cara penubuhan, pelantikan jawatankuasa, skop dan bidang tugas dan sebagainya.

Apa itu COMBI?
- COMBI adalah singkatan kepada "Communication for Behavioural Impact" (Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku).
- COMBI juga adalah pendekatan komunikasi secara bersepadu ke arah perubahan tingkah laku yang khusus dan bukan peningkatan kesedaran atau pengetahuan semata-mata.
- Ia merupakan satu pendekatan yang menyeluruh lagi fleksibel untuk merancang, melaksana, memantau dan menilai tindakan-tindakan yang mellibatkan komuniti (mobilisasi sosial) dan komunikasi yang boleh diubahsuai dan diuji mengikut objektif-objektif tingkah laku yang telah dipilih.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Senam Robik Kejiranan Taman Ixora

Bagi menyahut seruan ke arah gaya hidup sihat, Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama KRT Taman Ixora telah menganjurkan program senam robik pada butiran berikut:

Tarikh : 13 Januari 2013 (Ahad)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Ruang legar Surau Balai Islam Taman Ixora

Program senam robik ini yang sepatutnya diadakan di tapak parkir surau dan dijadualkan pada jam 7.30 pagi terpaksa dilewatkan kerana hujan di sebelah pagi. Program ini diteruskan juga walaupun kurang mendapat mendapat sambutan daripada penduduk kerana hujan.

InsyaAllah program ini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan bagi menggalakkan penduduk Taman Ixora mengamalkan budaya hidup sihat dan bersenam untuk kesihatan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Saturday, January 12, 2013

Kemalangan Maut di Simpang Masuk Taman Ixora

Pada 11 Januari 2013 (Jumaat), anggaran jam 8.45 pagi berlaku satu kemalangan maut di simpang masuk ke Taman Ixora dan Stadium Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Kejadian berkenaan melibatkan sebuah kereta (Toyota Camry) dan sebuah motosikal berkuasa tinggi. Motosikal berkenaan adalah dari arah Masjid Sultan Hisamudin menuju ke Taman Seroja kerana menghantar anak ke sebuah  tadika di Taman Seroja. Penunggang motosikal berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak beliau cedera parah. Kereta (Toyota Camry) berkenaan dari arah Taman Seroja didapati melakukan kesalahan kerana telah membuat pusingan U di simpang masuk Taman Ixora. Simpang berkenaan tidak boleh dilakukan pusingan U kerana merbahaya kepada pengguna jalan raya dan papan tanda tidak boleh membuat pusingan U diletakkan di simpang berkenaan.

Jalan ke simpang masuk Taman Ixora berkenaan amat berbahaya kepada penduduk yang keluar masuk kerana telah berlaku beberapa kemalangan di simpang berkenaan sebelum ini. Beberapa aduan telah dikemukakan oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora kepada Majlis Perbandaran Sepang sebelum ini supaya diambil tindakan diantaranya supaya memasang lampu isyarat, membina bonggol, speed breaker dan mencantas pokok di pembahagi jalan berkenaan. Walaubagaimapun Majlis Perbandaran Sepang memberikan alasan tiada peruntukan untuk memasang lampu isyarat dan hanya mengambil tindakan mencantas pokok di tiga tiang lampu jalan di simpang berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora akan membuat aduan secara rasmi dalam waktu terdekat kepada MPSp, JKR Sepang dan pihak berkaitan supaya mengambil tindakan yang sebaiknya bagi mengelakkan berlaku lagi kejadian kemalangan di kawasan berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati penduduk Taman Ixora supaya sentiasa berwaspada apabila menggunakan simpang berkenaan dan memastikan tiada kenderaan di kiri kanan simpang kemudian barulah melintas.  

Thursday, January 10, 2013

Perjumpaan Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama Pengerusi KRT Taman Ixora

Satu perjumpaan bersama Pengerusi KRT dan ahli Skim Rondaan Sukarela, KRT Taman Ixora telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 9 Januari 2013 (Rabu)
Masa : 9.30 Malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora


Pada majlis berkenaan juga telah diadakan satu taklimat oleh En. Musa Bin Othman, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Sepang mengenai undang-undang dan peraturan baru rondaan dan pentadbiran Skim Rondaan Sukarela.


Berikut adalah keputusan yang dipersetujui semasa perjumpaan berkenaan:
1. Pelantikan Jawatankuasa Skim Rondaan Sukarela
- Ketua SRS : En. Norhasrizam
- Penolong Ketua SRS : Ustaz Syahril
- Setiausaha : Hj. Khairudin
- Penolong Setiausaha : En. Anas
- Ketua Zon A : En. Rohaizan
- Ketua Zon B : En. Aizam
- Ketua Zon C : En. Hasrizam

2. Bersetuju untuk menjadikan Surau Balai Islam Taman Ixora sebagai pusat kawalan (induk) untuk menyimpan barang-barang rondaan, buku rekod kehadiran, makluman jadual rondaan, penyediaan kudapan (air dan makanan ringan) dan sebagainya. Ahli SRS akan berkumpul sebelum dan selepas rondaan sebelum pergi ke zon masing-masing.
3. Rondaan bagi tahun 2013 akan dimulakan pada bulan Februari 2013, kekuatan 15 orang setiap malam, dua kali seminggu, mula rondaan jam 1.00 pagi dan berakhir jam 5.00 pagi.
4. Peruntukan penyediaan kudapan akan diselaraskan oleh Jawatankuasa KRT Taman Ixora.
5. Hebahan dan promosi bagi mendapatkan ahli SRS baru akan diadakan dari semasa ke semasa.

Sila klik di sini untuk memuat turun Borang Permohonan Menjadi Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS), KRT Taman Ixora.

Seramai 42 orang ahli SRS yang terdiri daripada 3 zon (Zon A, Zon B dan Zon C) di KRT Taman Ixora telah menghadiri perjumpaan berkenaan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Wednesday, January 2, 2013

Kerja-kerja Pembaikan Lampu Jalan di Taman Ixora Oleh TNB Sepang

Pada 2 Januari 2013, jam 6.30 petang pekerja TNB Daerah Sepang telah melakukan pembaikan kepada lampu jalan yang tidak menyala di Jalan Ixora 1/9, 1/10, 1/11, 1/12 dan 1/13 Taman Ixora. Tindakan pembaikan SEGERA daripada pihak TNB ini amatlah dihargai dan terima kasih diucapkan.

Wakil TNB telah menelefon Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Ixora pada 3 Januari 2013 dengan merujuk kepada aduan yang dikemukakan oleh PPTI pada 2 Januari 2013. Maklumbalas yang diterima adalah seperti berikut:
1. Lampu jalan berkenaan telah dipotong mulai 21 Disember 2012 kerana terdapat bil tertunggak yang belum dijelaskan kepada TNB.
2. Semakan semula rekod mendapati tunggakan bil berkenaan sebenarnya adalah di bawah tanggungjawab pemaju (Getrahome Sdn. Bhd.) sebelum Fasa 3B Taman Ixora diserahkan kepada Majlis Perbandaran Sepang untuk diselenggara. Jumlah tunggakan adalah melebihi RM10,000.
3. Pihak Majlis Perbandaran Sepang hanya menjelaskan bil lampu jalan selepas tarikh Fasa 3B Taman Ixora diserahkan kepada pihak MPSp.
4. Pihak TNB mengakui kesilapan pemotongan lampu jalan berkenaan dan tindakan SEGERA penyambungan semula bekalan telah dibuat petang semalam.
5. Pihak TNB akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sepang supaya Getrahome Sdn. Bhd. menjelaskan bil tertunggak berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada individu dan penduduk yang telah membuat follow up dan bekerjasama sehingga masalah ini diselesaikan. Sesungguhnya tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan berkat kerjasama semua pihak melalui rundingan dan perbincangan. Janganlah sesetengah pihak memperbesar-besarkan isu yang tidak diketahui punca yang sebenar sehingga mengeruhkan keadaan penduduk Taman Ixora yang harmoni dah sejahtera ini.

Aduan Lampu Jalan di Taman Ixora Tidak Menyala

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengemukakan aduan bertulis secara rasmi kepada Pejabat Khidmat Pelanggan, TNB Daerah Sepang dan disalinkan kepada Pejabat Khidmat Pelanggan, TNB Daerah Banting pada 2 Januari 2013. Aduan rasmi ini dibuat selepas beberapa siri aduan yang dibuat oleh individu dan penduduk di Taman Ixora tidak diambil tindakan dalam tempoh masa yang sewajarnya oleh pihak TNB. Mengikut aduan yang dikemukakan lampu jalan di Jalan Ixora 1/9, 1/10, 1/11, 1/12 dan 1/13 didapati tidak menyala mulai daripada 21 Disember 2012 lagi. Berdasarkan kepada aduan, tempoh dua(2) minggu adalah terlalu lama untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh TNB.

Sehubungan dengan itu, di dalam surat berkenaan Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon penjelasan  daripada pihak TNB mengenai masalah lampu jalan berkenaan dan membuat tindakan pembaikan dengan kadar SEGERA. Sekiranya melibatkan pihak lain Persatuan Penduduk Taman Ixora akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan saluran yang sepatutnya.

Sekiranya masalah ini masih belum diselesaikan dalam tempoh 48 jam oleh pihak TNB, Persatuan Penduduk Taman Ixora akan membawa aduan ini kepada pihak berkaitan sehinggalah diselesaikan. Justeru itu, buat sementara waktu Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon penduduk di Jalan berkenaan supaya memasang lampu luar rumah buat sementara waktu sehingga masalah ini diselesaikan. Ini adalah  kerana keadaan jalan yang gelap mengundang pelakuan jenayah  oleh pihak luar.

Sila klik di sini untuk melihat surat aduan berkenaan.