Sunday, September 29, 2013

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Sempena PMR, SPM, STAM dan STPM 2013

Surau Balai Islam Taman Ixora dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Ixora dan KRT Taman Ixora telah mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Sempena PMR, SPM, STAM dan STPM 2013 pada butiran berikut:

Tarikh : 29 September 2013 (Ahad)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Ibu bapa, anak-anak yang akan menduduk peperiksaan dan semua penduduk Taman Ixora hadir ke majlis berkenaan.

Saturday, September 28, 2013

Kerja-kerja Mencantas Pokok Oleh MPSp

Pada 28 September 2013, pihak MPSp telah menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di hadapan rumah No. 68, Jalan Ixora 1/1. Bertindak atas aduan penduduk, pihak MPSp telah mencantas pokok di hadapan rumah berkenaan. Semasa kerja-kerja mencantas berkenaan dijalankan, wakil penduduk telah mengadakan rundingan dengan pihak MPSp supaya mencantas sebatang pokok lagi di hadapan Tadika Permata Ixora kerana pokok berkenaan tinggi dan merbahaya kepada anak-anak yang belajar di tadika berkenaan. Pihak MPSp telah bersetuju dan mengambil tindakan mencantas pokok berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada pihak MPSp yang telah menyelenggara pokok di Taman Ixora dan berharap supaya kerjasama seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, September 27, 2013

Ceramah Bulanan Surau Balai Islam Taman Ixora - Bahaya Syiah

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Ceramah Bulanan seperti butiran berikut:

Tarikh : 27 September 2013 (Jumaat)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Tajuk Ceramah : Bahaya Syiah
Penceramah : Ustaz Hj. Mohamad Bin Hj. Ismail
(Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA))



Tuesday, September 24, 2013

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Pada 24 September 2013, anggaran jam 2.00 petang hingga 6.00 petang berlaku satu lagi kejadian pecah di Taman Ixora iaitu rumah di No. 53, Jalan Ixora 1/21. Kejadian disedari oleh tuan rumah selepas pulang bekerja pada sebelah petang. Dilaporkan kehilangan sejumlah wang tunai, tv lcd 40 inci dan barangan lain.

Kejadian berkenaan dilaporkan kepada pihak Polis dan pegawai penyiasat PDRM tiba pada jam 9.00 malam. Penyamun telah memecah masuk melalui tingkap hadapan rumah dan keluar melalui pintu. Dimaklumkan rumah berkenaan sedang dalam kerja-kerja ubahsuai dan secara kebetulan kontraktor yang menyiapkan kerja tidak datang bekerja pada hari itu kerana alasan hujan di sebelah pagi.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihatkan penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dengan kejadian jenayah yang menjadi-jadi di Taman Ixora. Sentiasa alert dengan keadaan sekeliling kawasan rumah anda dan hubungi pihak Polis sekiranya terdapat sebarang keadaan yang mencurigakan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, September 23, 2013

Kejadian Cubaan Samun Awal Pagi di Taman Ixora

Pada 23 September 2013, jam 4.00 pagi berlaku satu cubaan samun di Taman Ixora.

Mangsa adalah seorang wanita yang memandu sebuah kereta secara bersendirian selepas pulang dari bekerja pada jam 4.00 pagi melalui Jalan Ixora 1/15, Taman Ixora. Tanpa disedari kenderaan beliau telah diekori dari jarak jauh oleh sebuah kenderaan lain yang dinaiki oleh seorang lelaki dan seorang perempuan.

Apabila memberhentikan kenderaan di kawasan rumah beliau, kenderaan beliau telah dihampiri oleh kenderaan pasangan berkenaan dengan alasan bertanyakan mengenai Taman Ixora, Salak Tinggi dan sebagainya. Mangsa mengesyaki sesuatu perkara buruk akan berlaku apabila lelaki berkenaan cuba mengeluarkan senjata dari dalam kereta. Terkejut dengan tindakan berkenaan, mangsa telah menjerit sekuat hati, menutup pintu kereta, membunyikan hon dan mengunci dari dalam kenderaan.

Menyedari tindakan daripada mangsa berkenaan, pasangan berkenaan mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan memecut laju kenderaan keluar dari Taman Ixora.



Tuan Syed (anggota Polis IPD Sepang) yang menyiasat kes berkenaan, telah menghubungi En. Kamil (AJK Surau Balai Islam Taman Ixora) untuk memeriksa rakaman CCTV yang ditempatkan di surau. Hasil pemeriksaan CCTV di surau, kejadian berkenaan berjaya dirakamkan oleh CCTV pada jam 4.00 pagi hingga jam 4.15 pagi. Kenderaan masuk dan keluar berkenaan berjaya dirakamkan. Walaubagaimanapun nombor plat kenderaan berkenaan tidak dapat dikenalpasti kerana kejadian berlaku di sebelah malam ditambah oleh silau lampu.

Persatuan Penduduk Taman Ixora ingin menasihati penduduk Taman Ixora yang pulang bekerja lewat malam supaya berhati-hati dengan memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum keluar daripada kenderaan.

Friday, September 20, 2013

Kerja-kerja Sukarela Menurunkan Jalur Gemilang di Taman Ixora

Kerja-kerja sukarela untuk menurunkan Jalur Gemilang yang dipasang sempena Pertandingan Kibar Jalur Gemilang telah diadakan pada 20 September 2013 (Jumaat), mulai jam 9.30 malam. Beberapa orang penduduk, remaja dan kanak-kanak Taman Ixora telah menyertai program berkenaan. Sedikit jamuan barbeque ayam telah disediakan selepas program dijalankan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, September 13, 2013

Taman Ixora Johan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Selangor Tahun 2013

Alhamdulillah dan tahniah. Taman Ixora telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Selangor Tahun 2013. Keputusan rasmi telah dikeluarkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor pada 11 September 2013. Berikut adalah keputusan pertandingan:


Johan : KRT Taman Ixora, Sepang
Naib Johan : KRT Kampung Tengah Lembah, Gombak
Tempat Ketiga : KRT Taman Desa Indah, Klang
6 Hadiah Saguhati:
1. KRT Taman Samudera, Gombak
2. KRT Rawang A, Gombak
3. KRT Menara Maju, Klang
4. KRT Fasa 4, Taman Sri Gombak
5. KRT Kampung Lembah Kinrara, Petaling
6. KRT Flat Merpati B, Hulu Langat

KRT yang turut bertanding:
1. KRT Kiambang Sari, Hulu Langat
2. KRT Sepakat Sahabat Berlian, Gombak
3. KRT Fasa 5, Taman Sri Gombak
4. KRT Puteri Height Contry Home, Gombak

Wednesday, September 11, 2013

Lawatan Panel Penilai Pertandingan Landskap Majlis Perbandaran Sepang 2013

Panel Penilai Pertandingan Landskap Majlis Perbandaran Sepang Tahun 2013 telah mengadakan lawatan dan penilaian di Taman Ixora pada 11 September 2013 (Rabu), jam 11.00 pagi.

Berikut adalah beberapa komen daripada panel penilai pertandingan untuk ditambahbaik oleh penduduk Taman Ixora pada masa akan datang:
1. Taman permainan kanak-kanak tidak diselenggara dengan baik kerana peralatan permainan dirosakkan dan wakaf rosak
2. Banyak sampah sarap tidak dibersihkan semasa lawatan diadakan
3. Aduan daripada penduduk mengenai tong ro ro yang tidak diangkut lebih daripada 2 minggu
4. Skop Taman Ixora adalah terlalu besar. Perlu dibuat pecahan secara zon untuk pertandingan pada masa hadapan.

Hasil daripada penilaian dan pemarkahan pertandingan Taman Ixora memenangi Hadiah Saguhati bagi pertandingan berkenaan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama secara langsung atau tidak langsung.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Monday, September 9, 2013

Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Negeri Selangor Tahun 2013

Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah menyertai Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga Negeri Selangor Tahun 2013. Pertandingan ini diadakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengibar Jalur Gemilang sempena Kemerdekaan Malaysia.

Pengadilan bagi pertandingan ini akan bermula dari 1 hingga 16 September 2013. Penilaian bagi Taman Ixora telah dibuat pada 9 September 2013 (Isnin), jam 10.00 pagi. Taman Ixora bertanding mewakili daerah Sepang.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang pertandingan seperti berikut:
- Johan - RM4,000.00
- Naib Johan - RM3,000.00
- Tempat Ketiga - RM2,000.00
- Saguhati X 6 - RM1,000.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sila klik di sini untuk melihat slide presentation yang disediakan kepada panel penilai pertandingan.

Sunday, September 8, 2013

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin Sempena UPSR 2013

Surau Balai Islam Taman Ixora dengan kerjasama KRT Taman Ixora dan Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin Sempena UPSR 2013 pada butiran berikut:

Tarikh : 8 September 2013 (Ahad)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Friday, September 6, 2013

Aktiviti Bacaan Yaasin Kaum Muslimat Taman Ixora

Kaum muslimat Taman Ixora telah mengadakan aktiviti bacaan Yaasin sebagai aktiviti mingguan kaum muslimat pada butiran berikut:

Tarikh : 6 September 2013 ( Jumaat )
Masa : 8.00 Pagi
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Alhamdulillah aktiviti berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Aktiviti ini akan diadakan lagi pada minggu hadapan.